Trump ancam mengebom Iran pada tahap jauh lebih tinggi jika perjanjian damai tidak dicapai

Presiden AS Donald Trump berkata pada Rabu bahawa jika Tehran tidak bersetuju dengan perjanjian damai dengan Washington, pasukan AS akan menyambung semula pengeboman “pada tahap dan intensiti yang jauh lebih tinggi daripada sebelumnya”, lapor Xinhua.

“Dengan mengandaikan Iran bersetuju untuk memberikan apa yang telah dipersetujui, yang mungkin merupakan andaian besar, Epic Fury yang sudah legenda akan berakhir, dan sekatan yang sangat berkesan akan membolehkan Selat Hormuz terbukan kepada semua, termasuk Iran,” tulis Trump dalam catatan di akaun Truth Social, menurut Xinhua.

“Jika mereka tidak bersetuju, pengeboman akan bermula, dan malangnya, ia akan berada pada tahap dan intensiti yang jauh lebih tinggi daripada sebelumnya,” tambahnya.

Pada Selasa di taklimat berita Rumah Putih, Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata operasi ketenteraan Epic Fury sudah berakhir, lapor Xinhua.

“Operasi itu sudah berakhir. Epic Fury, seperti yang diberitahu oleh presiden kepada Kongres, kami sudah selesai dengan peringkat itu,” kata Rubio kepada pemberita, menurut Xinhua.

Juga pada Selasa, Trump berkata tentera AS akan menghentikan usahanya untuk membimbing kapal melalui Selat Hormuz buat masa ini sambil mengekalkan sekatannya terhadap pelabuhan Iran, memandangkan “kemajuan besar telah dicapai ke arah perjanjian lengkap dan muktamad dengan wakil Iran.”