Dua orang terbunuh dan empat yang lain, termasuk dua kanak-kanak bawah umur, cedera parah dalam kejadian tembakan lewat Isnin di bandar El Ejido, selatan Sepanyol, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Pengawal Awam Sepanyol menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11:15 malam waktu tempatan (2115 GMT) pada Isnin melaporkan tembakan dekat kawasan El Canalillo di El Ejido.
Pegawai kemudian tiba di tempat kejadian dan menemui sebuah kereta yang dipenuhi lubang peluru, dengan pasangan suami isteri mati di dalam kenderaan itu.
Menurut Xinhua, beberapa saluran media Sepanyol melaporkan suspek lelaki bersenjata itu melarikan diri dari tempat kejadian selepas kejadian tembakan dan kemudiannya ditahan polis.
Suspek, seorang lelaki Sepanyol berusia 25 tahun, dikenal pasti sebagai anak lelaki kepada dua mangsa.
Empat yang lain parah dalam kejadian itu, termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan dan seorang kanak-kanak berusia dua tahun. Bayi itu, yang dilaporkan anak lelaki suspek, masih dalam keadaan kritikal. Seorang wanita mengalami pelbagai luka tembakan dan seorang lagi lelaki turut dimasukkan ke hospital.
Susulan kejadian itu, unit Pengawal Awam, termasuk ahli Kumpulan Tindakan Pantas, bersama-sama dengan kakitangan perubatan kecemasan, telah dikerahkan ke tempat kejadian. Siasatan sedang dijalankan.