Tafsir

  • Surah an-Nas

    1. Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.

    2. Yang menguasai sekalian manusia.

    3. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.

    4. Daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam.

    5. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.

    6. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.

    KETERANGAN:

    Diturunkan di Madinah, mengandungi 6 ayat

    Surah ini mengajar kita memohon perlindungan daripada bahaya batin iaitu bahaya perasaan ragu-ragu dan ingatan buruk yang datangnya daripada angkara makhluk yang tidak kelihatan kepada kita (syaitan atau jin) dan daripada tipu daya makhluk berupa manusia. Perasaan dan ingatan buruk itu menjadi penyakit besar yang menyebabkan rosaknya iktikad kepercayaan, amal ibadat dan segala bawaan hidup.

    Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa ayat-ayat yang terkandung dalam dua surah (iaitu al-Falaq dan an-Nas) tiada tolok bandingnya untuk seseorang memohon pertolongan kepada Allah daripada segala jenis bahaya. Demikian disebutkan hadisnya oleh Imam Muslim.

    Sumber: Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Falaq

    1. Katakanlah (wahai Muhammad), aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk.

    2. Daripada bencana makhluk-makluk yang Dia cipta.

    3. Dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk.

    4. Dan daripada kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).

    5. Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.

    KETERANGAN:

    Diturunkan di Madinah, 5 ayat

    Surah ini mengajar kita memohon perlindungan kepada Allah daripada bahaya yang datangnya daripada segala jenis makhluk, terutama daripada bahaya:

    1. Yang datang daripada kejadian gelap — gelap malam yang menjadi peluang kepada sebahagian besar daripada makhluk jahat yang keluar dari tempat masing-masing melakukan kejahatannya, sedang jalan mendapat keselamatan dan pertolongan pada masa itu tidak banyak dan tidak mudah — gelap mata kepala, gelap mata hati dan gelap jalan kehidupan.

    2. Yang datang daripada makhluk-makhluk berjiwa kotor yang berusaha membuat fitnah melonggarkan simpulan iktikad, menghuraikan ikatan muhibah, meruntuhkan rumah tangga, memecah belah perpaduan kaum kerabat dan merosakkan masyarakat. Ahli sihir dan orang seperti itu yang melakukan perbuatan merosakkan dan membahayakan orang lain adalah daripada golongan makhluk berjiwa kotor, mereka akan menjadi bakaran api neraka jika mereka tidak bertaubat dengan taubat nasuha.

    3. Yang datang daripada manusia menjalankan tipu daya dan angkaranya untuk menghapuskan sesuatu nikmat Tuhan daripada seseorang yang beroleh nikmat itu. Orang yang demikian perangainya ialah orang yang ada dalam jiwanya penyakit hasad (penyakit dengki) iaitu penyakit tidak senang hati melihat atau mendengar orang mendapat nikmat daripada Allah, selagi nikmat itu tidak hilang daripada orang yang mendapatnya — penyakit yang menyebabkan berlaku pelbagai perbuatan derhaka — penyakit inilah yang menyebabkan Iblis menjadi kafir kerana tidak senang hati melihat Nabi Adam mendapat pangkat dan penyakit inilah yang menyebabkan Qabil membunuh saudaranya Habil kerana tidak senang hati mendengar Habil mendapat isteri lebih cantik daripada isteri yang ditetapkan baginya.

    Justeru, diwajibkan tiap-tiap orang membasmi penyakit itu daripada jiwanya — jika tidak, maka penyakit itu akan menghapuskan segala kebajikan dilakukannya.

    Daripada semua itu, kita memohon perlindungan kepada Allah Yang Maha Kuasa, Tuhan menciptakan sekalian makhluk. Demikian menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

    Dalam pada itu, ada disebut dalam Tafsir Ibnu Katsir, dalam riwayat Bukhari: Daripada Aisyah berkata, Rasulullah terkena sihir di mana baginda merasakan seolah-olah sedang bersetubuh dengan isterinya, sedangkan baginda tidak melakukannya. Sufian berkata, sihir itu adalah yang paling berat. Kemudian Nabi SAW bersabda kepada Aisyah: Apakah engkau mengetahui bahawa Allah memberitahu kepadaku apa yang aku tanyakan kepada-Nya. Dua orang datang, lalu duduk di sebelah kepalaku, sementara yang lain duduk di kakiku, mereka berkata: Mengapakah orang ini? Jawabnya, terkena sihir. Siapakah menyihirnya? Labib bin A’sam daripada suku Bani Zuraiq. Di mana? Pada rambut yang melekat di sikatnya, lalu dimasukkan ke dalam perigi Dzarman.

    Aisyah memberitahu, rambut baginda itu dikeluarkan dari perigi yang keruh airnya, sedangkan tumbuhan yang terdapat dalam kebun itu menyerupai kepala jin dan syaitan. Sesudah dikeluarkan rambut baginda dari perigi itu, lalu baginda sembuh. Lalu mereka bertanya lagi: Apakah engkau tidak mahu membalas? Nabi SAW menjawab: Sesungguhnya Allah telah menyembuhkan aku dan aku tidak akan menyebarkan kejahatan terhadap sesiapa pun.

    (Dalam satu lagi riwayat) Asy-Sya’labi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan Aisyah, berkata kedua-duanya, pada suatu ketika dulu seorang pemuda Yahudi pernah menjadi pelayan (berkhidmat) kepada Nabi SAW, kemudian baginda memintanya mengambil sikat rambut baginda. Lalu, diberikan semua itu kepada pemuda Yahudi itu. Dari situlah mereka melakukan sihir terhadapnya dan ia dilakukan oleh Labib bin A’sam, kemudian dimasukkan ke dalam perigi Dzarwan Bani Zuraiq. Maka, Rasulullah SAW sakit, lalu gugurlah rambutnya selama enam bulan, badannya bertambah kurus, sehingga pada suatu malam, semasa baginda tidur, tiba-tiba datang dua malaikat duduk berhampiran kakinya dan yang lain di kepalanya. Yang di kakinya bertanya: Mengapakah orang ini? Jawabnya: Terkena sihir. Siapakah yang menyihirnya? Jawabnya: Labib bin A’sam. Dengan apakah dia menyihir? Dengan rambut yang terlekat pada sikat. Di mana? Di dalam perigi Dzarwan dalam kulit kurma. Kemudian Nabi SAW bangun daripada tidurnya dan bersabda: Wahai Aisyah, Allah telah memberitahu tentang penyakitku. Lalu baginda mengutus Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan Ammar bin Yasir, maka mereka mengurus perigi itu, kemudian mereka mengangkat di dalamnya rambut dan sikat yang diikat dengan tali penuh dengan jarum, maka Allah menurunkan kedua-dua surah ini.

    Apabila membaca kedua-dua surah ini, lalu terbukalah setiap ikatan. Maka, Nabi SAW berasa ringan badannya, sedang Malaikat Jibril membaca: “Bismillahi arqiika min kulli syai-in yu’dziik min haasidin wa ‘ainin Allahu yasyfiik.” Maka, sahabat berkata: Kita bunuh saja penjahat. Nabi menjawab: Allah telah menyembuhkan aku dan aku tidak suka membangkitkan kejahatan di tengah orang ramai. Hadis ini sangat daif (statusnya). Demikian menurut Tafsir Ibnu Katsir

  • Surah al-Ikhlas

    1. Katakanlah (wahai Muhammad); (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.

    2. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

    3. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan.

    4. Dan tidak ada sesiapa pun yang setara dengan-Nya.

    KETERANGAN:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 4 ayat.

    Dinamakan surah al-Ikhlas kerana dalam keseluruhan surah ini Allah perintahkan Nabi Muhammad supaya menegaskan kepada umum, bahawa Allah Maha Esa – dan tidak ada bandingan.

    Intisari kandungannya, memberi kesedaran kepada hati kecil manusia mengenai iktikad tauhid (pegangan tauhid) yang sebersih-bersihnya, untuk dijadikan asas bagi ibadatnya dan bawaannya dalam kehidupan.

    Dengan yang demikian, manusia tidak memperhambakan dirinya melainkan kepada Allah semata-mata, dan tidak tertumpu pada masa senang dan susah melainkan kepada Allah saja, dan tidak menjadikan kata pemutus dalam segala urusan hidupnya melainkan hukum Allah — yang menjadi punca bagi segala keadaan, kekuasaan dan ketetapan.

    Sumber – Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

  • Surah al-Masad

    1. Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama.

    2. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya.

    3. Dia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang.

    4. Dan juga isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api.

    5. Di lehernya sejenis tali daripada tali-tali yang dipintal.

    KETERANGAN:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 5 ayat.

    Dinamakan surah al-Masad (tali yang dipintal) kerana dalam keseluruhan surah ini Allah menegaskan perihal Abu Lahab yang telah memusuhi dan melakukan pelbagai angkara kepada Nabi Muhammad — akan menerima pembalasan yang seburuk-buruknya di dalam neraka yang marak menjulang.

    Demikian juga isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api akan diseksa bersama.

    Selain itu, isterinya dipakaikan di lehernya sejenis tali daripada ‘tali-tali yang dipintal’ untuk menambahkan kehinaannya.

    Intisari kandungan surah ini: Memberi pengajaran kepada sesiapa memusuhi apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad kerana menurut hawa nafsu dan mengutamakan kepercayaan, adat istiadat dan perbuatan (yang salah) yang biasa dilakukan turun-temurun dan kerana terpedaya dengan harta benda dan kuatkuasa serta pengaruh yang ada, padahal semua itu tidak akan memberi sebarang faedah pada hari akhirat bahkan akan menderita azab sengsara.

    Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

  • Surah an-Nasr

    1. Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai Makkah).

    2. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai.

    3. Maka, ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia sangat menerima taubat.

    KETERANGAN:

    Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 3 ayat.

    Dinamakan surah an-Nasr (Kemenangan) kerana dalam surah ini Allah perintahkan Nabi Muhammad SAW apabila baginda berjaya mencapai kemenangan dan menguasai Tanah Suci Makkah serta melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, maka hendaklah baginda bersyukur dengan mematuhi perintah Allah yang melimpahkan nikmat-Nya itu serta memohon ampun kepada-Nya.

    Intisari kandungan surah ini: Mengajar kita supaya, apabila mendapat apa yang kita usahakan, janganlah kita lalai dan lupa daripada bersyukur, dengan mengerjakan amal bakti kepada Allah yang mengurniakan apa yang kita hajati itu, serta meminta ampun kepada-Nya terhadap salah silap kita, dalam usaha yang kita jalankan itu.

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Kafirun

    1. Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang-orang kafir!

    2. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.

    3. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.

    4. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.

    5. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.

    6. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.

    KETERANGAN:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 6 ayat.

    Dinamakan surah al-Kafirun (Orang-orang Kafir), kerana pada awal surah ini Allah perintahkan Nabi Muhammad menegaskan kepada kaum kafir umumnya mengenai soal ibadat yang sebenarnya.

    Intisari kandungan surah ini: Menegaskan amalan ibadat secara Islam dan menolak sebarang penyembahan dan amalan syirik.

    Juga mengingatkan kita supaya tetap di atas dasar tauhid (mengesakan Allah) dan cara-cara beribadat menurut yang dibawa oleh Nabi Muhammad, sekalipun banyak godaan dan tipu helah pihak musuh Islam dan orang-orang yang sesat untuk menjadikan kita menyeleweng dari jalan benar.

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Kautsar

    1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).

    2. Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

    3. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah orang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya).

    KETERANGAN:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 3 ayat.

    Dinamakan surah al-Kautsar (Kebaikan Yang Banyak) kerana pada awal surah ini Allah menegaskan bahawa Dia telah mengurniakan Nabi Muhammad dengan kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).

    Antaranya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis ialah Kolam al-Kautsar yang airnya dari sebatang sungai di syurga dan tidak terhingga lazatnya.

    Pada hari akhirat, baginda sendiri menunggu umatnya yang taat, datang minum daripada airnya.

    Intisari kandungan: Menerangkan nikmat Allah yang banyak yang telah dilimpahkan-Nya kepada baginda, lalu diperintahkan-Nya mengerjakan solat kerana Allah semata-mata dan hendaklah dia menyembelih korban sebagai bersyukur.

    Korban di sini, sebagaimana yang telah diterangkan tidak terhad kepada menyembelih haiwan korban sahaja, bahkan meliputi segala jenis pengorbanan untuk kebaikan masyarakat, seperti memberi tunjuk ajar kepada orang ramai dengan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada mereka, dan bermurah hati mendermakan harta benda untuk kebajikan umum.

    Surah ini diakhiri dengan menegaskan: Bahawa orang yang memusuhi dan membenci Nabi Muhammad, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya).

    Sumber-Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Maa’uun

    1. Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)?

    2. Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim.

    3. Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

    4. (Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli solat.

    5. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.

    6. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (dalam ibadat dan bawaannya).

    7. Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

    KETERANGAN:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 7 ayat.

    Dinamakan surah al-Maa’uun (Pertolongan), kerana pada akhir surah ini Allah menjanjikan seburuk-buruk balasan kepada orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan kepada orang yang berhak menerimanya.

    Intisari kandungan: Menerangkan sifat-sifat orang yang mendustakan agama dan hari pembalasan, lalu ditegaskan bahawa: Orang itu ialah yang menindas serta berlaku kasar terhadap anak yatim dan dia pula tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.

    Kemudian ditegaskan, bahawa orang-orang ahli solat, yang lalai daripada menyempurnakan solatnya, maka mereka akan ditimpa kecelakaan besar.

    Demikian juga halnya yang berkeadaan riyak (dalam ibadat dan bawaannya), dan orang-orang yang tidak memberi sedikitpun pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

    * Keadaan riyak ialah tiap-tiap amalan ibadat yang dilakukan bukan kerana Allah, bahkan kerana sesuatu tujuan yang lain.

    Dalam satu hadis, Nabi Muhammad bersabda (maksudnya): Sesungguhnya perkara yang sangat aku takuti terhadap kamu ialah perbuatan syirik yang kecil.

    Sahabat baginda bertanya: Apakah syirik kecil itu wahai Rasul Allah?

    Baginda menjawab: Ialah perbuatan riyak, pada hari kiamat — sabda baginda lagi — Allah Taala berfirman ketika Dia membalas amalan hamba-Nya: “Pergilah kamu wahai orang-orang yang riyak kepada orang-orang yang kerananya kamu mengerjakan amalan, dan mintalah kepada mereka balasan bagi amalan kamu.”

    Dalam satu hadis lain, baginda bersabda (maksudnya): Allah Taala berfirman: “Sesiapa yang mengerjakan amalan untuk-Ku dengan mempersekutukan orang lain dengan-Ku dalam amalan itu, maka semua amalan yang demikian untuk orang itu sahaja, tidak kena-mengena langsung dengan-Ku, dan sebenarnya Akulah yang tidak berhajat sama sekali kepada sebarang sekutu.”

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah Quraisy

    1. Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah).

    2. (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam).

    3. Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Ka’bah) ini.

    4. Tuhan yang memberi mereka penghidupan; menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan.

    Keterangan:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 4 ayat.

    Dinamakan surah Quraisy (kaum Quraisy), kerana pada keseluruhan surah ini Allah menerangkan perihal kaum Arab — suku Quraisy penduduk Makkah.

    Intisari kandungannya: Mengingatkan kaum Quraisy secara khusus dan umat manusia secara umum supaya tunduk taat memperhambakan diri kepada Allah, terutama dalam keadaan mereka hidup mewah dan senang-lenang, lagi aman tenteram, supaya keadaan itu kekal dan bertambah-tambah.

    Kaum Quraisy ialah suku besar Nabi Muhammad dan dalam kalangan merekalah dakwah Islamiah mula-mula disiarkan.

    Meskipun pada mulanya sebahagian besar daripada mereka menentang Nabi Muhammad, tetapi akhirnya — dalam masa hayat baginda — seluruh kaum Quraisy telah memeluk Islam disertai oleh suku-suku Arab yang lain.

    * Negeri Syam meliputi Syria, Lubnan, Palestin dan Jordan.

    Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

  • Surah al-Fiil

    1. Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?

    2. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang merugi dan memusnahkan mereka?

    3. Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasuk.

    4. Yang melontar mereka dengan batu-batu daripada sejenis tanah yang dibakar keras.

    5. Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

    Keterangan:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi lima ayat.

    Dinamakan surah al-Fiil (Gajah), kerana pada keseluruhan surah ini, Allah menceritakan kepada Nabi Muhammad perihal angkatan tentera yang dipimpin oleh ketuanya yang berkenderakan gajah, yang merempuh masuk ke Makkah dengan tujuan hendak meruntuhkan Baitullah (Kaabah), tetapi akhirnya mereka dibinasakan oleh Allah sebelum mereka mencapai maksudnya.

    Intisari kandungannya: Menyatakan akibat buruk orang-orang yang hendak merosakkan sesuatu yang mulia di sisi Allah, dan menjadi pengajaran kepada sesiapa yang menaruh ingatan buruk terhadap makhluk yang dipelihara kehormatan dan keselamatannya.

    Kesudahannya, tentera musuh yang menceroboh Tanah Suci Makkah punah-ranah (binasa) diserang oleh burung Abaabiil (burung berpasuk-pasuk), yang melontarkan mereka dengan sejenis batu kecil yang membunuh dan “menjadikan mereka hancur seperti daun-daun kayu dimakan ulat”.

    Tafsir Pimpinan ar-Rahman