Tafsir

  • Surah al-Humazah

    1. Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.

    2. Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya.

    3. Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (di dunia ini).

    4. Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam al-Hutamah.

    5. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa al-Hutamah itu?

    6. (Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintah-Nya).

    7. Yang naik menjulang ke hati.

    8. Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.

    9. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.

    Keterangan:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 9 ayat.

    Dinamakan surah al-Humazah (Pencaci), kerana pada awal surah ini Allah memberi amaran dengan azab yang seburuk-buruknya kepada pencaci, pengeji.

    Intisari kandungan: Memberi penjelasan tentang keburukan orang-orang yang mencemuh dan memandang rendah kepada orang lain, kerana dia senang-lenang dan kaya-raya, padahal kesenangan dan kekayaannya tidak memberikan sebarang faedah kepadanya pada hari akhirat, disebabkan dia bakhil kedekut dan tidak menggunakannya pada jalan kebajikan.

    Sebagai seorang yang telah dilapangkan hidupnya sepatutnya dia bersyukur kepada Allah, dan menghormati serta berhubung mesra sesama manusia.

    Orang yang sombong dan bermegah-megah dengan kesenangan dan kemewahannya, yang mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain, yang tidak mempunyai perasaan rahim (kasih sayang) untuk menolong orang-orang yang memerlukan bantuan, tidak akan dikenal atau disebut dengan sebutan yang baik di dunia, apatah lagi untuk menyelamatkan dirinya di akhirat.

    “Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (di dunia ini). Tidak!”

    Sebab yang mengekalkan dan mengharumkan nama seseorang di dunia dan akhirat ialah ilmu yang berguna dan amalan kebajikan.

    Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Asr

    1. Demi masa.

    2. Sesungguhnya manusia dalam kerugian.

    3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

    Keterangan:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 3 ayat.

    Dinamakan surah al-Asr (Masa), kerana pada awal surah ini Allah bersumpah dengan masa, bahawa sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali…

    Intisari kandungannya: Menerangkan bahawa manusia umumnya berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran — meliputi iktikad kepercayaan, tutur kata, dan amalan perbuatan serta berpesan-pesan dengan sabar, yakni bersabar dalam menjalankan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

    Apakah kerugian yang dimaksudkan itu?

    Kerugian bermakna hilang modal, dan modal seseorang itu ialah umurnya.

    Dengan ini nyatalah bahawa manusia tidak terlepas daripada kerugian, kerana tiap-tiap satu detik yang berlalu daripada umurnya, kalau dia gunakan pada maksiat, maka tidak syak lagi ruginya, kalau dihabiskan dengan perkara yang harus, maka itu pun merugikan juga, kerana habisnya tidak meninggalkan sebarang faedah yang dapat menolongnya apabila dia mati.

    Bagi mengelakkan kerugian itu, tidak ada jalan lain melainkan dengan jalan yang diterangkan pada ayat yang ketiga dengan menyempurnakan segala yang tersebut sebagaimana yang sewajibnya dan sepatutnya.

    Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah at-Takaatsur

    1. Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amalan bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta-benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh).

    2. Sehingga kamu masuk kubur.

    3. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati).

    4. Sekali lagi (diingatkan); jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat).

    5. Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

    6. (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

    7. Selepas itu – demi sesungguhnya! – Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya).

    8. Selain daripada itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya).

    Keterangan:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 8 ayat.

    Dinamakan surah at-Takaatsur (Memperbanyak) yakni berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya harta-benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh, kerana pada awal surah ini Allah menegur orang-orang yang berbuat demikian.

    Intisari kandungannya: Setelah membentangkan teguran Allah terhadap orang-orang yang melakukan perbuatan itu, lalu diberi amaran:

    “Jangan sekali-kali bersikap demikian. Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati).”

    Diingatkan lagi: Demi sesungguhnya, kalaulah kamu mengetahui – apa yang kamu akan hadapi – dengan pengetahuan yang yakin, tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat.

    Kemudian diterangkan, bahawa masing-masing — yang mukmin dan yang kafir, akan ditanya pada hari akhirat kelak.

    Orang-orang mukmin akan ditanya tentang nikmat-nikmat itu kerana hendak menyatakan kemuliaan mereka, disebabkan mereka bersyukur dengan menggunakan segala nikmat dikurniakan pada perkara diredai Allah.

    Sebaliknya orang-orang kafir pula akan ditanya tentang nikmat-nikmat itu kerana hendak menyatakan kejahatan dan kehinaan mereka, dengan sebab mereka menyalahgunakan nikmat-nikmat pemberian Allah pada perkara dimurkai-Nya.

    Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Qaari’ah

    1. Hari yang menggemparkan.

    2. Apakah hari yang menggemparkan itu?

    3. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu?

    4. (Hari itu ialah hari kiamat) hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran.

    5. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan.

    6. Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amalan masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amalan baiknya.

    7. Maka dia berada dalam kehidupan yang senang-lenang.

    8. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amalan baiknya.

    9. Maka tempat kembalinya ialah Haawiyah.

    10. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa Haawiyah itu?

    11. (Haawiyah itu ialah) api yang panas membakar.

    KETERANGAN:

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 11 ayat.

    Dinamakan surah al-Qaari’ah (Hari Yang Menggemparkan) kerana pada awal surah ini Allah menerangkan bahawa hari yang menggemparkan itu ialah hari kiamat.

    Intisari kandungannya: Menggambarkan peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat, hari manusia menjadi seperti kelkatu yang berkeliaran dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang berterbangan.

    Yakni kedahsyatan yang menimpa manusia pada hari kiamat yang menggemparkan itu, menjadikan mereka seperti kelkatu yang terbang berkeliaran dengan tidak tentu arah, dan menjadikan gunung-ganang yang sedemikian besarnya dan kukuhnya hancur berterbangan seperti bulu yang dibusar.

    Kemudian Allah menerangkan: Setelah berlaku yang demikian, maka manusia akan diberikan tempatnya menurut amalan masing-masing.

    Adapun orang yang berat timbangan amalan baiknya, maka dia berada dalam kehidupan yang senang-lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amalan baiknya, maka tempat kembalinya ialah Haawiyah, iaitu api neraka yang membakar.

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Aadiyaat

    1. Demi kuda perang yang tangkas berlari dengan kedengaran kencang nafasnya.

    2. Serta mencetuskan api daripada telapak kakinya.

    3. Dan meluru menyerbu musuh pada waktu Subuh.

    4. Sehingga menghamburkan debu pada waktu itu.

    5. Lalu menggempur ketika itu di tengah-tengah kumpulan musuh.

    6. Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya.

    7. Dan sesungguhnya dia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian.

    8. Dan sesungguhnya dia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba).

    9. (Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur?

    10. Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada?*

    11. Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikan-Nya kepada) mereka — pada hari itu.

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 11 ayat.

    Dinamakan surah al-Aadiyaat (Kuda Perang Yang Tangkas Larinya) kerana pada awal surah ini Allah bersumpah dengan kuda perang yang demikian sifatnya untuk menegaskan setakat mana derhakanya manusia yang tidak bersyukur terhadap nikmat Tuhannya.

    Intisari kandungan surah ini — Allah bersumpah dengan kuda perang yang demikian handalnya kerana hendak menanamkan semangat kepahlawanan dan semangat jihad dalam jiwa orang-orang beriman, supaya sentiasa sedia berjuang mempertahankan agama dan keselamatan negara daripada sebarang pencerobohan.

    Kedua, Tuhan bersumpah dengan kuda perang yang sangat dihargai untuk menerangkan sifat-sifat keji yang terdapat pada jenis manusia yang sangat kufur nikmat Tuhannya dan yang memperlihatkan dengan tingkah lakunya itu — keadaan yang demikian.

    Manusia juga disebabkan tamak halobanya kepada harta benda, sangat bakhil kedekut dan menyekat dirinya daripada melakukan amalan kebaikan.

    “(Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur?

    “Dan dikumpulkan serta didedahkan segala yang terpendam di dalam dada?

    “Sesungguhnya Tuhan mereka, Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikan-Nya kepada) mereka — pada hari itu.”

    * Tuhan sebutkan secara khusus perkara-perkara yang terpendam dalam dada dengan tidak menyebutkan amalan anggota, kerana segala gerak-geri anggota zahir tidak berlaku melainkan dengan desakan dan kemahuan hati.

    Sumber – Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Bayyinah

    1. Orang-orang yang kafir daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (daripada kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.

    2. Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci.

    3. Terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.

    4. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) itu, tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata.*

    5. Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.

    6. Sesungguhnya orang-orang yang kafir daripada Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.

    7. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.

    8. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda terhadap mereka dan mereka pula reda (serta bersyukur) terhadap nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. **

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 8 ayat.

    Dinamakan surah al-Bayyinah (Bukti Yang Jelas Nyata) kerana pada awal surah ini Allah menerangkan bahawa: Orang-orang yang kafir daripada Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas daripada kepercayaan dan amalan masing-masing sehingga datang kepada mereka “Bukti Yang Jelas Nyata” iaitu seorang rasul dari Allah yang membacakan kepada mereka Lembaran-lembaran Suci mengandungi pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.

    Intisari kandungannya — Menerangkan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani yang diberikan Kitab Taurat dan Injil tidak berpecah-belah melainkan setelah datang kepada mereka bukti yang jelas nyata. Yakni bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW ialah Rasul yang dijanjikan kedatangannya di dalam kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka.

    Berlakunya perpecahan dan perselisihan itu semata-mata kerana ada antara mereka yang sayang meninggalkan kepercayaan dan amalan yang diterimanya turun-temurun, dan ada pula yang berperasaan hasad dengki serta sayangkan pangkat dan pengaruh yang mereka nikmatinya faedahnya.

    Kemudian ditegaskan: (Bahawa mereka berpecah-belah dan berselisihan pada dasar-dasar agama dan cabangnya) padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya mereka mengikhlaskan ibadat kepada Allah, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan solat dan memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.

    Surah ini diakhiri dengan menerangkan azab seksa yang akan menimpa orang-orang yang kufur ingkar, dan balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang beriman dan beramal soleh.

    * Yakni bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW ialah rasul yang dijanjikan kedatangannya di dalam kitab Taurat dan Injil yang diturunkan kepada mereka.

    ** Ayat ini menolak salah faham yang ada dalam kalangan kebanyakan kita iaitu dengan semata-mata mengakui beriman sebagaimana yang diwarisi dan menurut dengan buta-tuli kepada apa yang dilakukan oleh datuk nenek, juga dengan semata-mata melakukan rupa amalan ibadat seperti gerak-geri solat, menahan diri daripada makan minum dalam bulan Ramadan — boleh mendapat balasan baik, padahal hatinya penuh dengan hasad dengki, perasaan dendam dan riyak takbur, dan mulutnya tidak putus-putus berdusta, mengumpat dan membuat fitnah, dan sikapnya pula memperhambakan diri kepada apa saja yang boleh memenuhi kemahuan nafsunya. Sesiapa yang demikian keadaannya, jauh sekali daripada dapat mencapai balasan baik yang disediakan untuk orang-orang yang takut melanggar perintah Tuhannya dengan iman yang sebenar-benarnya serta amalan ibadat yang dilakukan dengan khusyuk dan ikhlas, dan dengan bersihnya daripada maksiat zahir dan batin.

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah az-Zalzalah

    1. Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya.

    2. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.

    3. Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?”

    4. Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya.

    5. Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).

    6. Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) — untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amalan-amalan mereka.

    7. Maka, sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya). *

    8. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya).

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 8 ayat.

    Dinamakan surah al-Zalzalah (Gegaran), kerana pada awal surah ini, Allah menegaskan: Bahawa bumi — pada hari kiamat — akan digegarkan dengan gegaran yang dahsyat.

    Intisari kandungannya — Kerap kali orang-orang kafir yang menentang Nabi Muhammad SAW bertanya kepada baginda secara mengejek-ejek: Bilakah datangnya hari kiamat yang dijanjikan itu?

    Bagi menjawabnya, Allah menegaskan: Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang dahsyat, sehingga terbongkar segala isinya yang terpendam, maka saat itu manusia yang menyaksikan peristiwa itu akan bertanya sesama sendiri dengan cemas takut: Apa sudah jadi? Apa sebabnya berlaku demikian?

    Kemudian Allah menerangkan lagi tentang peristiwa-peristiwa yang terjadi selepas itu:

    “Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing), untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amalan-amalan mereka.

    “Maka, sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya).

    “Dan sesiapa yang berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya).”

    Kandungan surah ini memberi galakan supaya kita jangan meninggalkan amalan yang baik sekalipun sedikit, dan mengingatkan kita supaya menjauhi sebarang maksiat (yang berdosa) walau yang sekecil-kecilnya.

    * Ayat ini dan yang berikutnya menerangkan bahawa masing-masing akan menerima balasan amalannya sama ada yang baik atau yang buruk, walau yang seberat debu sekalipun.

  • Surah al-Qadr

    1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. *

    2. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apakah kebesaran Malam Lailatul Qadar itu?

    3. Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. **

    4. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).

    5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 5 ayat.

    Dinamakan surah al-Qadr (Kemuliaan) kerana pada awal surah ini Allah menegaskan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran pada malam Lailatul Qadar (Malam Kemuliaan dan Kebesaran).

    Yakni Allah mulai menurunkan al-Quran pada malam yang mulia itu, kemudian diturunkan sedikit demi sedikit selama 23 tahun (13 tahun di Makkah, 10 tahun di Madinah).

    Intisari kandungannya: Menerangkan bahawa al-Quran yang mulia , mula-mula diturunkan ialah pada malam yang mulia — Malam Lailatul Qadar.

    Kemudian Allah menerangkan kemuliaan dan kebesaran malam itu kepada baginda: “Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”

    Yakni ibadat yang dilakukan pada malam yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amalan ibadat yang dilakukan pada seribu bulan lain.

    Oleh kerana dalam surah lain diterangkan bahawa al-Quran itu diturunkan oleh Allah dalam bulan Ramadan, maka dapatlah diketahui bahawa Malam Lailatul Qadar yang berkat itu ialah salah satu malam dari bulan Ramadan, tetapi tidak diterangkan malam yang mana satu.

    Tujuannya supaya baginda dan umatnya memperbanyakkan ibadat dan amalan kebaikan di sepanjang bulan Ramadan, terutama pada 10 malam yang akhirdari bulan yang mulia itu.

    * Lailatul Qadar seperti yang telah diterangkan ialah Malam Kemuliaan dan Kebesaran.

    ** Yakni amalan ibadat yang dilakukan pada malam yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amalan ibadat yang dilakukan pada seribu bulan lain. Oleh sebab itu ada disebutkan dalam hadis sahih bahawa Rasulullah SAW biasanya mulai dari malam 21 Ramadan, baginda memperbanyakkan ibadat sepanjang malam kerana mengharapkan amalannya bertepatan dengan Malam Lailatul Qadar yang berkat itu yang berlaku pada salah satu malam dari sepuluh atau sembilan malam yang akhir dari bulan Ramadan.

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Alaq

    1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).

    2. Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku.

    3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.

    4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.

    5. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

    6. Ingatlah! Sesunggunya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya).

    7. Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.

    8. (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu tempat kembali (untuk menerima balasan).

    9. Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang)?

    10. Seorang hamba Allah apabila dia melakukan solat?

    11. Adakah engkau nampak (buruknya) jika dia berada di atas jalan yang betul?

    12, Atau dia menyuruh orang bertakwa (jangan melakukan syirik)?

    13. Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika dia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta dia berpaling ingkar?

    14. Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amalan perbuatannya dan membalasnya)?

    15. Jangan sekali-kali berlaku derhaka. Demi sesungguhnya jika dia tidak berhenti (daripada perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka).

    16. Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.

    17. Kemudian biarlah dia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya).

    18. Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya).

    19. Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh).

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 19 ayat.

    Dinamakan surah al-Alaq (Darah Beku) kerana pada bahagian awal surah ini Allah menegaskan bahawa Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku.

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah at-Tin

    1. Demi buah Tin dan Zaitun.

    2. Dan Gunung Tursina.

    3. Serta negeri (Makkah) yang aman ini.

    4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

    5. Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalah guna kelengkapan itu) Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.

    6. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.

    7. (Jika demikian) kekuasaan-Ku), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaan-Ku mengadakan hari pembalasan) itu?

    8. Bukankah Allah (yang demikian kekuasaan-Nya) seadil-adil Hakim?

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 8 ayat.

    Dinamakan surah at-Tin (Buah Tin) kerana pada awal surah ini Allah bersumpah dengan buah tin dan zaitun, juga dengan Gunung Tursina dan negeri Makkah yang aman, tentang bagaimana Dia menciptakan manusia dalam bentuk dan keadaan yang sebaik-baiknya.

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman