Menurut buku Tanbihul Ghafilin, Abu Laits as-Samarqandi menegaskan, berhati-hatilah anda daripada gelak tawa, kerana mengandungi lapan bahaya:
Dicela oleh ulama serta orang yang sopan dan sempurna akal.
Memberanikan orang bodoh (orang jahil) kepada anda.
Jika anda bodoh (jahil) nescaya bertambah kebodohan (kejahilan) anda dan anda alim berkurang ilmu anda, sebab ada riwayat – seorang alim jika bergelak tawa bererti telah memuntahkan ilmu.
Melupakan dosa lampau.
Memberanikan berbuat dosa di masa mendatang, sebab apabila bergelak tawa, hati anda membeku.
Melupakan mati dan akhirat.
Anda menanggung dosa orang yang bergelak tawa kerana gelak tawa anda.
Ketawa gelak-gelak menyebabkan banyak menangis di akhirat.
Peringatan itu wajar diambil perhatian, kerana dalam menghadapi senario hari ini, tak sedikit mereka yang ketawa disusuli dengan duka. Banyak contoh boleh dibuat perbandingan, sama ada di sekeliling kita atau kita sendiri.
Lebih buruk apabila ketawa yang dibuat-buat semata-mata untuk mempersendakan atau merendahkan orang lain, kawan ataupun orang tak dikenali.
Bukan tidak boleh ketawa, kerana ia karakter semulajadi manusia, bahkan ia mujarab bagi menghilangkan rasa hati yang resah, tetapi biar bertempat, jaga-jaga dan ingat-ingat, agar tidak berlebihan.
Dalam Tanbihul Ghafilin, ada dilaporkan, seorang bijaksana berkata: Bagi keselamatan suatu amalan memerlukan empat perkara; ilmu, niat, sabar dan ikhlas.
Ilmu pengetahuan
Sebab amalan tanpa ilmu menjurus kepada kesalahan. Bukan saja lebih banyak salah daripada benar atau tepat, bahkan membuatkan hati dilanda resah, akal keliru manakala badan pula letih dan berasa membebankan.
Niat
Sebab setiap amalan bergantung kepada niatnya. Malah, dalam apa pekerjaan sekalipun bersama dengan niat, kehendak, keinginan atau hasrat, yang lahir atau membenih, timbul atau muncul dari dalam diri, yakni hatinya. Seorang yang makan dan minum, ada kehendaknya, keinginan atau niat dalam hatinya. Ambil contoh paling ringkas, kehendak atau mahu makan kuih, minum air – tiada orang secara tiba-tiba saja makan dan minum, melainkan dalam keadaan tertentu (digelar) secara tidak sengaja – disebut termakan, terminum.
Sabar
Kesabaran penting dan sangat dituntut terutama dalam pelaksanaan ibadat, supaya dapat melakukan amalan dengan baik dan sempurna, ada tamakninah dan tidak tergesa-gesa.
Ikhlas
Sebab amalan tidak diterima tanpa ikhlas. Ertinya, mesti melakukan amalan itu kerana Allah semata-mata, yakni bukan beramal ibadat kerana selain daripada-Nya. Ikhlas itu satu, fokus dan terarah, hanya kepada-Nya. Manakala yang tidak ikhlas ataupun bercampur antara ikhlas dan tidak itu banyak, boleh jadi bersedekah kerana undi dan cinta kepada pujaan ramai, bersolat di masjid-masjid dan sengaja dipertontonkan agar bertambah sokongan manusia, ataupun bertudung kerana jaga hati suami, ibu bapa atau guru, bukan kerana Allah – dan sesuatu bukan kerana Allah bersifat sementara.
Lima sikap tercela di sini ialah nifaq, riyak, ujub, lalai dan mengganggu orang lain.
Orang Islam wajib memelihara diri daripada sifat atau sikap terbabit, apatah lagi semua itu sangat bertentangan dengan anjuran dan nilai murni diajarkan Islam.
Mari kita sama-sama perhatikan dan mengambil peringatan terhadapnya.
NIFAQ iaitu sikap berpura-pura — orang memilikinya, disebut munafik iaitu orang yang tidak mendapat hidayah daripada Allah. Dia hanya beriman pada mulut. Perbuatannya nampak baik, namun semuanya adalah tipu daya yang bertujuan memancing mata orang ramai saja.
Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 142 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik).
Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riyak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”
RIYAK disifatkan sebagai syirik kecil kerana mengandungi erti menyekutukan pada niat atau tujuan dalam ibadat.
Jika syirik besar akan menyebabkan runtuhnya asas binaan Islam, syirik kecil atau riyak akan menyebabkan runtuhnya nilai pahala dalam ibadat.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 264 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir itu dan riyak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
UJUB boleh ditakrifkan sebagai rasa kagum bercampur bangga atau megah dengan suatu nikmat dimiliki, di samping lupa kepada Allah yang memberi nikmat berkenaan.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan perang dan di medan Perang Hunain iaitu ketika kamu berasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai, maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikit pun dan (semasa kamu berasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (Surah at-Taubah, ayat 25)
LALAI iaitu cuai, lengah atau lupa (termasuk lagha, membuang masa, terbabit dalam hal tidak berfaedah) sehingga tidak sedar terhadap sesuatu yang sepatutnya.
Dalam surah al-Asr, ayat 1 hingga 3 diterangkan: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman serta beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Manusia menjadi lalai disebabkan banyak perkara membabitkan dorongan nafsu, pujukan syaitan, dikuasai dunia dan terpengaruh dengan manusia lain.
Salman al-Farisi RA berkata: “Sesungguhnya hamba Allah, jika dia berzuhud terhadap dunia, hatinya akan bersinar dengan hikmah dan anggota badannya pula akan saling membantu untuk beribadat.”
MENGGANGGU orang lain (sesiapa saja baik muslim atau bukan muslim) bukan peribadi orang Islam.
Firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat 1, antara lain bermaksud: … “dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika benar kamu orang-orang yang beriman.”
Daripada Abdullah bin Amr RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah yang terselamat orang-orang Islam daripada lidahnya dan tangannya.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Menurut Abu Laits, orang fakir miskin akan mendapat lima kemuliaan:
Pahala amalannya lebih daripada pahala amalan orang kaya dalam solat, sedekah dan lain-lain.
Jika ingin sesuatu dan tidak tercapai, dicatat baginya pahala.
Mereka lebih dahulu masuk syurga.
Hisab (hitungan) mereka di akhirat lebih ringan.
Penyesalan mereka sangat kurang, sedangkan orang kaya ingin seperti orang fakir di akhirat manakala orang fakir tidak ingin seperti orang kaya.
Begitulah antara kelebihan orang miskin, namun masyarakat sesetengahnya memandang sebelah mata kepada orang miskin, mengapa?
Sebabnya masyarakat itu sudah rosak, masyarakat dirasuk harta, lebih cenderung kepada harta, yakni mata zahir mereka lebih tertarik kepada harta, hati melekat dengan harta, berbanding pertimbangan lain yang lebih utama seperti agama dan keelokan budi.
Oleh kerana memandang kepada harta benda, maka berlakulah dengki khianat, pertelingkahan, kezaliman dan jatuh-menjatuh sesama anggota masyarakat.
Sebenarnya, banyak atau sedikit harta, ataupun tiada langsung, itu adalah adat dunia yang sepatutnya tidak dijadikan beza dalam menjalani kehidupan bermasyarakat yang lebih berjaya.
Orang berharta tidaklah mulia, jika sifatnya meninggi diri, berlagak, kedekut dan berkira untuk bersedekah bahkan untuk makan dirinya, dan orang miskin pula tiada sedikit pun hina jika berakhlak baik, jujur dan penyantun.
Ada yang mengatakan: Ubat hati adalah lima perkara:
Bergaul atau berkumpul dengan orang soleh.
Suka membaca dan memerhatikan al-Quran.
Membersihkan perut daripada makanan haram.
Suka solat malam.
Zikir dan berdoa kepada Allah ketika Subuh.
Bercampul gaul atau menyertai perkumpulan orang baik-baik (orang soleh) secara tidak langsung dapat mendidik hati kita, membawa kita berkelana dan meninjau warna-warni budi baik yang tersimpan di gedung jiwa orang soleh, seperti amalan memberi salam, tertib dan sopan, beradab apabila bercakap, bersih dan menghargai sesama manusia. Ia secara tidak langsung mengajar diri kita untuk meniru watak-watak yang terpuji seperti itu.
Membaca al-Quran tidak hanya membuahkan pahala, bahkan mendekatkan diri kita kepada Allah, menjaga hati daripada jauh dengan-Nya, dan apabila kita memerhatikan perkataan al-Quran akan membuatkan kita bertambah keyakinan mengenai hakikat hidup mati makhluk ciptaan-Nya, dan betapa agungnya Allah yang mencipta kita dan seluruh alam ini.
Kemudian, membersihkan perut daripada yang haram iaitu tidak makan yang haram terutama daripada hasil usaha yang haram seperti hasil yang dirompak, dicuri, hasil rasuah atau segala macam lagi melalui cara tidak betul. Sebab itu, mereka yang tidak cakna mengenai hal ini, hati mereka tidak tenteram, walaupun mereka mendakwa tenang kerana sudah dibius dengan rasa seronok harta benda diperolehi.
Seterusnya solat malam, zikir dan doa boleh mententeramkan jiwa, yang tidak ramai orang melakukannya kerana tidak mudah untuk berjaga malam atau bangun awal fajar, semata-mata untuk beribadat kepada Pencipta, lagi pun ia berlawanan dengan nafsu diri yang suka kepada keselesaan dan bermalas-malasan.
Berzikir iaitu dalam maksud zikir kepada Allah adalah amalan terpuji dan sangat dianjurkan.
Zikir (atau dalam maksud zikir) secara umumnya boleh berlaku dalam pelbagai keadaan; kata-kata atau perkataan yang dilafazkan, dengan (atau dalam) hati, bahkan dengan amalan perbuatan seperti melaksanakan solat.
Namun, yang selalu kita fahami biasanya merujuk kepada pengucapan di bibir mulut (selain pengucapan dalam hati) seperti mengucapkan “subhanallah wa bihamdih” (Maha Suci Allah dan pujian kepada-Nya)
Menurut Tanbihul Ghafilin, zikir mengandungi lima jenis kebaikan:
Begitu pun, tidak semua manusia yang mampu berzikir, apatah lagi manusia yang diselaputi dengan noda duniawi – bibir kaku, jiwa gersang – bahkan tidak mengenal antara tenang dan keluh-kesah, antara haq dan batil, antara abadi dan sementara.
Justeru, untuk berzikir bahkan mudawamah (sentiasa) sehingga menjadi santapan dan perhiasan diri memerlukan kepada usaha, tekad dan latihan, ertinya bukan terjadi begitu saja atau semudah seperti disebut di bibir mulut.
Dan kerana zikir itu mulia, agung dan tinggi darjatnya, maka ia tidak terhias pada diri yang bergelumang dengan kejahatan – dengki khianat, menindas, membohong, adu domba dan lagha (hari ini terutama di media sosial), membunuh, curi rompak, rasuah, atau berpeleseran dengan penyalahgunaan dadah. Renung-renungkan!
Hadis daripada Tsauban yang marfu’ (daripada Nabi SAW): Sesungguhnya apabila seorang muslim menjenguk orang muslim lain, maka dia berada dalam khurfatul jannah.
Dalam riwayat lain ditanyakan kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, apakah khurfatul jannah?
Baginda menjawab: Iaitu taman buah syurga.
2. Menyelam dalam rahmat.
Hadis daripada Jabir yang marfu’: Sesiapa menjenguk orang sakit bererti dia menyelam dalam rahmat, sehingga ketika dia duduk bererti dia berhenti di situ (dalam rahmat).
3. Mendapat pujian malaikat.
Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa menjenguk orang sakit, maka berserulah penyeru dari langit (malaikat): “Bagus engkau, bagus perjalanan engkau dan engkau telah mempersiapkan tempat tinggal di dalam syurga”.
4. Mendapat ganjaran di sisi Allah
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla akan berfirman pada hari kiamat: Hai anak Adam, Aku sakit, tetapi kamu tidak menjenguk-Ku.
Orang itu bertanya: Wahai Tuhan, bagaimana aku harus menjenguk-Mu, sedangkan Engkau adalah Tuhan bagi alam semesta.
Allah menjawab: Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku polan (seseorang) sedang sakit tetapi kamu tidak menjenguknya? Apakah kamu tidak tahu bahawa andai kamu menjenguknya, pasti kamu dapati Aku di sisinya? Hai anak Adam, Aku minta makan kepadamu, tetapi tidak kamu beri Aku makan?
Orang itu menjawab: Wahai Tuhanku, bagaimana aku memberi makan Engkau, sedangkan Engkau adalah Tuhan bagi alam semesta?
Allah menjawab: Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku polan (seseorang) meminta makan kepadamu, tetapi tidak kamu beri makan? Apakah kamu tidak tahu bahawa andai kamu beri makan dia nescaya kamu dapati hal itu di sisi-Ku? Wahai anak Adam, Aku minta minum kepadamu tetapi tidak kamu beri minum?
Orang itu bertanya: Wahai Tuhan, bagaimana aku memberi-Mu minum sedangkan Engkau adalah Tuhan bagi alam semesta?
Allah menjawab: Hamba-Ku polan (seseorang) meminta minum kepadamu, tetapi tidak kamu beri minum. Apakah kamu tidak tahu bahawa andai kamu memberinya minum nescaya kamu dapati (ganjarannya) itu di sisi-Ku?
5. Didoakan tujuh puluh ribu malaikat.
Diriwayatkan daripada Ali RA, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang muslim yang menjenguk orang muslim lain pada pagi hari kecuali dia didoakan oleh tujuh puluh ribu malaikat hingga petang hari, dan jika dia menjenguknya pada petang hari, maka dia didoakan oleh tujuh puluh ribu malaikat hingga pagi hari, dan baginya kurma yang dipetik di taman syurga. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan beliau berkata hadis hasan [baik])
Bersedekah mempunyai banyak kebaikan, sama ada pada diri orang yang menerima sedekah, orang yang memberi sedekah dan masyarakat sekeliling.
Amalan bersedekah memupuk sikap kebersamaan, bantu-membantu, sekali gus memastikan hajat dan keinginan antara kita tercapai, dan membawa kepada hidup yang dirasakan lebih bermakna – ada sinar, ada gembira.
Abu Laits as-Samarqandi pernah menasihatkan, bersedekahlah dengan sesuatu, sedikit atau banyak, kerana sedekah mempunyai sepuluh kebaikan, iaitu lima di dunia dan lima di akhirat. Adapun lima di dunia ialah:
Membersihkan harta kekayaan.
Membersihkan badan daripada dosa.
Menolak bala dan penyakit.
Menyenangkan hati orang miskin, sedang sebaik-baik amal menyenangkan orang Mukmin.
Menjadikan berkat dalam harta dan luas rezeki.
Lima di akhirat:
Sedekah menjadi naungan baginya.
Sedekah akan meringankan hisab perhitungan amalnya.