Addin

  • 6 wasiat berharga daripada Abdullah bin Abbas

    Disebutkan Tanbihul Ghafilin, seorang datang kepada Abdullah bin Abbas RA dan berkata: Berilah nasihat saya.

    Abdullah bin Abbas RA berkata: Saya berwasiat kepada anda dengan enam perkara:

    1. Keyakinan hati anda terhadap sesuatu yang dijamin Allah untuk anda.
    2. Melaksanakan kewajipan pada waktunya.
    3. Lidah basah dengan zikir kepada Allah.
    4. Jangan menuruti syaitan, kerana ia hasad kepada manusia.
    5. Jangan memakmurkan dunia kerana ia akan merosakkan akhirat anda.
    6. Hendaklah anda sentiasa menasihatkan orang Muslimin.
  • Ar-Raqqah dan kesinambungannya

    Jambatan lama, “Jambatan Mansour” di bandar Raqqa – SANA

    Ar-Raqqah, disebut juga Raqqa adalah sebuah bandar lama di Syria. Perjalanan sejarahnya sangat panjang, bermula dari zaman kuno lama dan seterusnya pada zaman Rom menjadi sebahagian daripada wilayah Osrhoene.

    Pada 466 Masihi, Maharaja Byzantine Leo I menamakannya Leontopolis, namun lebih dikenali sebagai Kallinikos dan pada 542 Masihi, bandar ini dimusnahkan oleh pemerintah Parsi, Khusrau I, tetapi dibina semula oleh Maharaja Byzantine, Justinian I.

    Bandar ini dilaporkan jatuh ke tangan pihak Muslim melalui Iyad ibnu Ghanam pada 639 atau 640 Masihi. Sejak itu, ia digambarkan dalam pelbagai sumber Arab sebagai ar-Raqqah.

    Menurut ahli sejarah Parsi kurun ke-9, Ahmad ibnu Yahya al-Baladhuri pada detik penyerahan bandar itu, penduduk Kristian mengikat perjanjian dengan Iyad. Ini memberikan kebebasan kepada mereka untuk mengamalkan agama mereka di gereja sedia ada.

    Pertembungan sengit diantara Ali dan Muawiyah dalam Perang Siffin pada 656 Masehi berlaku kira-kira 45 kilometer di barat ar-Raqqah.

    Makam beberapa pengikut Ali seperti Ammar ibnu Yasir dan Uwais al-Qarni (dikatakan) terletak di kawasan berkenaan dan menjadi tempat ziarah.

    Kepentingan strategik ar-Raqqah meningkat sewaktu peperangan pada akhir tempoh Umaiyah dan permulaan rejim Abbasiyah.

    Terletak di persimpangan antara Syria dan Iraq dan jalan antara Damsyik dan Palmyra, menjadikan ar-Raqqah begitu strategik sehingga Khalifah al-Mansur membina sebuah bandar garison kira-kira 200 meter di sebelah barat ar-Raqqah antara 771 dan 772 Masihi.

    Pada 796 Masihi, khalifah Harun ar-Rasyid memilih bandar ini sebagai kediaman empayar beliau. Selama 13 tahun ar-Raqqah menjadi ibu kota empayar Abbasiyah yang menjangkau dari Afrika Utara ke Asia Tengah, manakala badan pentadbiran utama kekal di Baghdad.

    Ar-Raqqah pernah didakwa sebagai pusat gerakan kumpulan radikal Negara Islam (IS) seperti dilaporkan dalam sumber di Internet, IS ataupun Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) mendakwa kawalan penuh ke atas wilayah ini pada 24 Ogos 2014.

  • 7 tanda takut

    Abu Laits as-Samarqandi dalam Tanbihul Ghafilin, dipetik berkata: Tanda takut kepada Allah terbukti dalam tujuh macam:

    1. Terbukti di lidahnya, maka tertahan lidahnya daripada dusta, ghibah (mengumpat, bercerita keburukan orang lain) dan bercakap yang tidak penting, lantas digunakan untuk berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan mempelajari ilmu.
    2. Menjaga perutnya, sehingga tidak makan melainkan yang halal dan menurut kadar keperluannya.
    3. Memperhatikan penglihatannya, sehingga tidak melihat yang haram dan tidak melihat dunia ini melainkan sekadar untuk peringatan.
    4. Menjaga tangannya, sehingga tidak menghulurkannya kepada yang haram, hanya digunakan untuk taat kepada Allah semata-mata.
    5. Menjaga kedua-dua kakinya, sehingga tidak digunakan untuk maksiat.
    6. Menjaga hatinya, sehingga membersihkannya daripada hasad dengki dan digantikan dengan rasa sayang kepada sesama Muslim.
    7. Menjaga taatnya supaya benar-benar tulus ikhlas kepada Allah dan selamat daripada riyak (menunjuk-nunjuk amalan ibadat) dan nifaq (berpura-pura).
  • Adab ziarah orang sakit

    Menziarahi orang sakit terutama yang mempunyai hubungan persaudaraan, jiran sekeliling, sahabat ataupun guru, sangat dianjurkan. Ziarah itu bukan saja menunjukkan rasa simpati, ambil tahu atau cakna, bahkan mempertautkan hubungan yang lebih rapat, sekali gus memperlihatkan kerukunan hidup yang manis dalam Islam.

    Bagaimanapun, menziarahi orang sakit ada adabnya, bukan main terjah saja dan berikut adalah adabnya:

    1. Tidak berkunjung pada waktu tidak sesuai untuk berkunjung, seperti pada masa orang sakit minum ubat, masa menggantikan pembalut luka, masa tidur.
    2. Tidak terlalu lama (kecuali bagi orang mempunyai hubungan khusus dengan orang sakit).
    3. Menundukkan pandangan (apabila di tempat itu ada wanita yang bukan mahramnya).
    4. Jangan banyak bertanya dan hendaklah menunjukkan rasa belas kasihan.
    5. Menimbulkan optimisme (hal positif) kepada orang sakit.
    6. Menggalakkan bersabar, kerana sabar besar pahalanya dan melarang keluh-kesah, kerana keluh-kesah berdosa.
    7. Tidak menyebut identiti diri secara tidak jelas, seperti mengatakan ‘saya’ tanpa menyebutnya nama sebenar.
    8. Mendoakannya secara ikhlas.

    Rujukan: Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi, 315-316

  • Adab makan

    1. Membasuh dan membersihkan tangan sebelum menjamah makanan dan selepas makan.
    2. Membaca basmalah ketika menjamah makanan dan membaca pujian bagi Allah apabila selesai makan.

    Nabi SAW apabila makan dan minum sentiasa mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kita makan dan minum serta menjadikan kita orang Islam.” (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan selainnya)

    1. Hendaklah makan dengan tangan kanan dan yang di hadapannya – tidak menerpa pada makanan jauh dari jangkauannya.

    Daripada Umar bin Abu Salamah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari yang lebih dekat denganmu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    1. Tidak mencemuh makanan dihidangkan.

    Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan sama sekali. Jika dia suka dimakannya dan jika dia tidak suka ditinggalkannya saja. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • 5 sifat utama bagi muslim

    Menurut pernyataan dalam Tanbihul Ghafilin, yang paling utama ialah orang yang mempunyai lima sifat:

    1. Tekun beribadat kepada Tuhan.
    2. Sangat berguna terhadap sesama manusia.
    3. Semua orang berasa aman daripada gangguannya.
    4. Tidak iri hati (dengki) terhadap hal orang lain.
    5. Selalu bersiap (bersedia) untuk menghadapi maut (dengan amalan yang baik).

    Lima sikap itu sangat terpuji dan perlu diutamakan bagi orang muslim, terutama mereka yang yakin dengan Allah, syurga, neraka, dosa dan pahala – bukan mengucapkan semua itu sekadar lunak di bibir mulut.

    Namun tak mudah untuk menjadi orang yang tekun beribadat, kerana ada-ada saja gangguan dan godaan. Ia memerlukan usaha, latihan, tekad dan kesungguhan.

    Begitu juga dalam dunia mutakhir ini yang berpaksi kepada mengejar material, tak mudah untuk jumpa orang berguna dan memudahkan sesama manusia – banyak kes menyusahkan dan merugikan sesama manusia, bahkan sengaja dibuat ruang yang menyusahkan, kerana di situ dilihat ada ruang menjana wang, misalnya – boleh diperhatikan dalam pelbagai bidang.

    Manusia aman daripada gangguan orang muslim – tiada kekasaran, tiada keganasan, tiada penipuan dan manipulasi, malah tiada ancaman, sebagaimana dipamerkan oleh pemimpin bukan muslim di pentas antarabangsa.

    Orang Islam juga tidak dengki kepada orang lain. Tapi ada orang berasa tak sedap duduk apabila melihat kawannya dinaikkan pangkat dan pendapatan lebih tinggi daripadanya, padahal kawan yang didengkinya itu lebih lama berkhidmat daripadanya yang baru beberapa tahun di tempat itu, contoh.

    Selalu bersiap untuk menghadapi maut – ini sikap yang lagi payah hendak jumpa. Umumnya manusia takut apabila sebut maut dan jika boleh, jangan disebut. Sebab masing-masing mahu hidup lebih lama lagi, belum habis keseronokan dunia, belum capai cita-cita dan keinginan, misalnya.

  • Iktibar maut suul khatimah murid Imam Fudhail

    Ada diceritakan, seorang murid Imam Fudhail bin Iyadh dalam keadaan sakratul maut. Fudhail mengunjunginya dan duduk berdekatan dengan kepalanya sambil membaca surah Yasin.

    Maka, murid yang dalam keadaan sakratul maut itu berkata: “Wahai guru, janganlah tuan membaca surah itu.”

    Mendengar ucapan itu, maka dia menghentikan bacaannya dan berkata kepada muridnya: “Jika demikian bacalah ‘La ilaha illallah’.

    Jawab murid itu: “Aku tidak akan mengucapkannya kerana aku sudah melepaskan diriku daripada ucapan itu.”

    Setelah dia mengatakan yang demikian itu, dia pun mati dalam keadaan suul khatimah walaupun dia seorang daripada murid Fudhail.

    Menurut cerita itu, setibanya di rumah, Fudhail menangis selama 40 hari. Dia tidak keluar dari rumah.

    Kemudian, pada suatu malam dalam tidurnya Fudhail bermimpi muridnya itu sedang ditarik ke neraka Jahannam.

    Maka, Fudhail bertanya kepadanya: “Mengapa Allah menghilangkan imanmu? Padahal selama di dunia engkau adalah muridku yang paling alim.”

    Jawab murid itu: “Aku kehilangan iman kerana tiga sebab:

    1. Aku suka mengadu domba atau memfitnah. Aku mengatakan kepada teman-temanku berlainan dengan apa yang aku kata kepada tuan.
    2. Aku dengki dan iri hati kepada teman-temanku.
    3. Ketika sakit aku berjumpa dengan doktor menanyakan mengenai penyakitku. Kemudian doktor memberikan rawatannya iaitu meminum arak setiap tahun sebagai ubat. Kata doktor, jika aku tidak meminumnya, penyakitku tidak akan sembuh. Oleh kerana itu, aku minum arak.
  • 8 adab belajar perlu dijaga murid

    1. Merendah diri terhadap guru.
    2. Memandang kepada guru dengan pandangan hormat.
    3. Mengakui hak guru terhadap dirinya. Dia tidak melupakan kelebihan dan budinya.
    4. Mendoakan untuk gurunya.
    5. Duduk di depan guru dengan sopan.
    6. Menjaga diri daripada segala yang mengganggu ketenangan gurunya.
    7. Tidak memasuki bilik, rumah atau tempat khusus gurunya dengan sewenang-wenang, melainkan selepas meminta izin.
    8. Tidak melalaikan dirinya daripada mendengar atau memahami apa yang disampaikan gurunya.
  • Lapan anugerah yang kita tidak sedar

    Amirul Mukminin Umar al-Khattab RA dilaporkan berkata:

    1. Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam berkata-kata, maka dia dianugerahkan hikmah (kebijaksanaan).
    2. Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam melihat, nescaya dianugerahkan hati yang khusyuk.
    3. Sesiapa mengelak daripada berlebih-lebihan dalam makan, nescaya dianugerahkan kelazatan dalam beribadat.
    4. Sesiapa menghindari daripada berlebih-lebihan dalam ketawa, maka dianugerahkan kewibawaan.
    5. Sesiapa meninggalkan bergurau, nescaya dianugerahkan wibawa yang anggun.
    6. Sesiapa mengelak daripada cinta dunia, maka dianugerahkan cinta akhirat.
    7. Sesiapa meninggalkan kesibukan meneliti aib orang lain, nescaya memperbaiki aib dirinya sendiri.
    8. Dan sesiapa meninggalkan daripada mengintai-intai keadaan Allah Taala, maka dia dianugerahkan kebebasan daripada kemunafikan.
  • Sikap tawaduk Umar Abdul Aziz

    Tawaduk termasuk dalam akhlak yang sangat mulia dan menjadi nilai daripada akhlak orang soleh. Justeru, selayaknya kita mengikuti jejak orang-orang soleh.

    Pada suatu malam, Umar bin Abdul Aziz didatangi tetamu dan selalunya beliau selepas Isyak menulis apa-apa yang diperlukannya, sedang tamunya tidak jauh kelihatan lampu sudah berkelip-kelip hampir padam.

    Maka tamu itu berkata: Wahai Amirul Mukminin, saya akan bangun membaiki lampu itu.

    Jawab Umar: Bukan daripada kemanusiaan apabila menggunakan tenaga tamunya.

    Berkata tamu itu: Apakah saya bangunkan pelayan (pekerja)?

    Jawab Umar: Tidak, sebab dia baru tidur.

    Lalu Umar sendiri mengisi gas lampunya.

    Tamu itu bertanya: Wahai Amirul Mukminin! Tuan sendiri yang membetulkan (melakukannya)?

    Jawab Umar: Ketika saya bangun, saya tetap Umar. Dan kembali juga masih tetap Umar. Dan sebaik-baik manusia di sisi Allah ialah orang tawaduk (merendah diri atau tidak meninggi diri).