Addin

  • Hukum fotografi

    (Soalan berkaitan) — Saya mempunyai kamera untuk mengambil foto ketika berekreasi atau pada acara tertentu lainnya, apakah yang demikian itu berdosa atau haram? Di bilik saya juga ada foto beberapa tokoh, selain itu saya mempunyai beberapa akhbar yang di dalamnya ada foto-foto wanita, apakah yang demikian itu terlarang? Bagaimana hukumnya menurut syariat Islam?

    Mengenai foto dengan kamera, maka seorang mufti Mesir pada masa lalu iaitu Al-Allamah Syeikh Muhammad Bakhit Al-Muthi’i — termasuk salah seorang pembesar ulama dan mufti pada zamannya — dalam risalahnya berjudul Al-Jawabul Kaafi fi Ibahaatit Taswiiril Futughrafi berpendapat bahawa fotografi itu hukumnya mubah (harus).

    Beliau berpendapat bahawa pada hakikatnya fotografi tidak termasuk dalam aktiviti mencipta sepertimana disebutkan hadis dengan kalimat “yakhluqu kakhalqi” (menciptakan seperti ciptaan-Ku), tetapi foto itu hanya menahan bayangan. Lebih tepat, fotografi ini diistilahkan dengan ‘pemantulan’ sepertimana yang diistilahkan oleh putera-putera Teluk yang menamakan jurufoto dengan sebutan al-‘akkas (tukang memantulkan), kerana dia memantulkan bayangan seperti cermin. Aktiviti ini hanyalah menahan bayangan atau memantulkannya, tidak seperti yang dilakukan oleh pemahat patung atau pelukis. Justeru, fotografi ini tidak diharamkan, ia terhukum mubah.

    Fatwa Syeikh Muhammad Bakhit ini disetujui oleh banyak ulama dan pendapat ini pula yang saya pilih dalam buku saya Al-Halal wal Haram (Halal dan Haram).

    Fotografi ini tidak terlarang dengan syarat objeknya adalah halal. Dengan demikian, tidak boleh mengambil gambar wanita telanjang atau hampir telanjang atau mengambil gambar pemandangan yang dilarang syarak. Tetapi jika mengambil gambar objek-objek yang tidak terlarang seperti rakan dan anak-anak, pemandangan alam, ketika kenduri atau lainnya, maka hal itu dibolehkan.

    Kemudian ada pula keadaan tertentu yang tergolong darurat, sehingga memperbolehkan fotografi meski terhadap orang yang diagungkan sekalipun, seperti untuk urusan kepegawaian (pekerjaan), pasport atau foto identiti.

    Adapun mengumpulkan foto artis dan sejenisnya, maka hal itu tidak layak bagi seorang muslim yang memiliki perhatian terhadap agamanya.

    Apa manfaatnya seorang muslim mengumpul foto artis? Tidaklah akan mengumpul foto seperti ini melainkan orang tertentu yang kurang pekerjaan, yang hidupnya hanya disibukkan dengan foto-foto.

    Adapun jika mengumpul majalah yang di dalamnya terdapat foto wanita telanjang, hal yang demikian patut disesalkan. Lebih-lebih pada zaman sekarang ini, ketika foto wanita dipaparkan sebagai model iklan, mereka dijadikan perangkap untuk memburu pelanggan. Model iklan seperti ini biasanya dipotret dengan penampilan yang seronok.

    Majalah dan akhbar juga menggunakan cara seperti itu, mereka sengaja memasang foto wanita pemfitnah untuk menarik minat pembeli. Anehnya mereka enggan memasang foto pemuda atau orang tua.

    Bagaimanapun juga, apabila saudara pena mengumpulkan majalah tertentu kerana berita atau pengetahuan yang ada di dalamnya — tidak bermaksud mengumpulkan foto bahkan menganggap hal itu sebagai suatu yang tidak dia perlukan — maka tidak mengapalah melakukannya. Namun yang lebih utama ialah membebaskan diri daripada foto telanjang yang menyimpang daripada adat dan kesopanan. Jika tidak dapat menghindarinya, maka hendaklah disimpan di tempat tidak mudah dijangkau dan dilihat orang, dan hendaklah dia hanya membaca isinya.

    Menggantungkan atau memasang foto itu tidak dibolehkan, kerana hal itu dimaksudkan untuk mengagungkan. Dan yang demikian itu bercanggah dengan syarak, kerana pengagungan hanya ditujukan kepada Allah Rabbul Alamin.

    Kumpulan Fatwa, Yusuf Qardawi

  • Menjenguk orang sakit dan hukumnya

    Orang sakit adalah orang yang lemah, yang memerlukan perlindungan dan sandaran.

    Perlindungan (penjagaan, pemeliharaan) atau sandaran itu tidak hanya berupa material (kebendaan) seperti anggapan ramai orang, melainkan dalam bentuk material dan spritual sekali gus.

    Sebab itu menjenguk orang sakit termasuk dalam bab berkenaan. Menjenguk orang sakit memberi perasaan kepadanya bahawa orang di sekitarnya menaruh perhatian kepadanya, cinta kepadanya, menaruh keinginan kepadanya dan mengharapkan agar dia segera sembuh.

    Faktor spritual ini akan memberikan kekuatan dalam jiwanya untuk melawan serangan penyakit lahiriah.

    Oleh sebab itu, menjenguk orang sakit, menanyakan keadaannya dan mendoakannya merupakan bahagian daripada pengubatan menurut orang-orang yang mengerti.

    Maka, pengubatan tidak seluruhnya bersifat material.

    Justeru, hadis-hadis Nabawi menggalakkan ‘menjenguk orang sakit’ dengan berbagai-bagai metode (cara) dan dengan menggunakan bentuk targhib wat tarhib (menggalakkan dan menakut-nakutkan, yakni menggalakkan orang yang mematuhinya dan menakut-nakutkan orang tidak melaksanakannya).

    Diriwayatkan dalam hadis sahih muttafaq alaih daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi bersabda: Hak orang muslim atas orang muslim lainnya ada lima; menjawab salam, menjenguk yang sakit, menghantarkan jenazahnya, memenuhi undangannya dan mendoakannya ketika bersin.”

    Imam al-Bukhari meriwayatkan; daripada Abu Musa al-‘Asy’ari, dia berkata Rasulullah bersabda: Berilah makan orang yang lapar, jenguklah orang sakit dan tolonglah orang kesusahan.

    Imam al-Bukhari juga meriwayatkan; daripada al-Barra bin Azib, dia berkata: Rasulullah menyuruh kami melakukan tujuh perkara…lalu dia menyebutkan salah satunya adalah menjenguk orang sakit.

    Apakah perintah dalam hadis di atas dan hadis sebelumnya menunjukkan kepada hukum wajib atau mustahab? Para ulama berbeza pendapat dalam masalah ini.

    Imam al-Bukhari berpendapat bahawa perintah di sini menunjukkan hukum wajib dan beliau menterjemahkan hal itu dalam kitab sahihnya dengan mengatakan: Bab Wujubi ‘Iyadatil Maridh (bab wajib menjenguk orang sakit).

    Ibnu Bathal berkata: Kemungkinan perintah ini menunjukkan hukum wajib dalam erti wajib kifayah, seperti memberi makan orang yang lapar dan melepaskan tawanan dan boleh jadi mandub (sunah), untuk menggalakkan menyambung kekeluargaan dan berkasih sayang.

    Ad-Dawudi memastikan hukum yang pertama (yakni fardu kifayah). Beliau berkata: Hukumnya adalah fardu, yang dipikul oleh sesetengah orang, tanpa sebahagian yang lain.

    Jumhur ulama berkata: Pada asalnya hukumnya mandub (sunah), tetapi kadang-kadang boleh menjadi wajib bagi orang tertentu.

    Ath-Thabari menekankan bahawa menjenguk orang sakit merupakan kewajipan bagi orang yang diharapkan berkatnya, disunahkan bagi orang yang memelihara keadaannya dan mubah (harus) bagi orang selain mereka.

    Imam Nawawi mengutip kesepakatan (ijmak) ulama mengenai tidak wajibnya, yakni tidak wajib ain.

    Menurut zahir hadis, pendapat yang kuat menurut pandangan saya ialah fardu kifayah, ertinya jangan sampai tidak ada seorang pun menjenguk orang sakit. Dengan demikian, wajib bagi masyarakat Islam ada yang mewakili mereka untuk menanyakan keadaan orang sakit itu dan menjenguknya serta mendoakannya agar sembuh dan sihat.

    Sebahagian ahli kebajikan dan kalangan muslim zaman dahulu mengkhususkan sebahagian wakaf untuk keperluan ini, demi memelihara sisi kemanusiaan.

    Adapun masyarakat secara umum, maka hukumnya sunah muakad (sunat dituntut) dan kadang-kadang boleh meningkat menjadi wajib bagi orang tertentu yang mempunyai hubungan khusus dan kuat dengan orang sakit itu.

    Misalnya, kerabat, semenda, tetangga yang berdampingan rumahnya, orang yang telah lama menjalinkan persahabatan, sebagai hak guru dan rakan akrab dan lain-lain, yang sekiranya dapat menimbulkan kesan yang berjenis-jenis bagi orang sakit itu seandainya mereka tidak menjenguknya atau orang sakit itu berasa kehilangan terhadap yang bersangkutan (apabila tidak menjenguknya).

    Barangkali orang-orang macam inilah yang dimaksudkan dengan perkataan hak dalam hadis “hak orang muslim terhadap muslim lainnya ada lima” kerana tidaklah tergambar bahawa seluruh muslimin harus menjenguk setiap orang yang sakit. Maka, yang dituntut ialah orang yang memiliki hubungan khusus dengan orang sakit itu yang menghendaki ditunaikannya hak itu.

    Disebutkan dalam Nailul Authar: Yang dimaksudkan dengan sabda baginda “hak orang muslim” ialah tidak layak ditinggalkan dan melaksanakannya ada ketikanya hukumnya wajib atau sunah muakad yang menyerupai wajib. Sedangkan menggunakan perkataan tersebut – yakni hak – dengan kedua-dua erti di atas termasuk bab menggunakan lafaz musytarik dalam kedua-dua maknanya, kerana lafaz al-haq itu dapat digunakan dengan erti wajib dan dapat juga digunakan dengan erti ‘tetap’, ‘lazim’, ‘benar’ dan sebagainya.

    Kumpulan Fatwa, Yusuf Qardawi

  • Menjampi orang sakit dan syaratnya

    Antara hal yang berdekatan dengan hal ini ialah jampi-jampi syar’iyah yang bersih daripada syirik, terutama yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW dan khususnya jika dilakukan oleh orang muslim yang soleh.

    Imam Muslim meriwayatkan daripada Auf bin Malik, dia berkata: Kami menggunakan jampi-jampi pada masa jahiliah, lalu kami tanyakan: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda mengenai hal itu? Baginda menjawab: Tunjukkan kepadaku jampi-jampimu itu. Tidak mengapa menggunakan jampi-jampi, asalkan asalkan tidak mengandungi kesyirikan.

    Imam Muslim juga meriwayatkan daripada Jabir: Rasulullah SAW pernah melarang jampi-jampi. Kemudian datang keluarga Amr bin Hazm seraya berkata: Wahai Rasulullah, kami mempunyai jampi-jampi yang biasa kami pergunakan kalau disengat kala.

    Jabir berkata: Lalu mereka menunjukkannya kepada Rasulullah. Kemudian baginda bersabda: Saya lihat tidak apa-apa, sesiapa yang dapat memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah dia memberikan manfaat kepadanya.

    Kebolehan menggunakan jampi-jampi ini sudah ada dasarnya daripada sunah qauliyah (sabda Nabi SAW), sunah fi’liyah (perbuatan baginda) dan sunah taqririyah (pengakuan atau pembenaran baginda terhadap jampi-jampi yang dilakukan orang lain).

    Bahkan Nabi SAW sendiri pernah menjampi beberapa orang sahabat, dan baginda pernah dijampi oleh malaikat Jibril alaihissalam. Baginda juga menyuruh sesetengah sahabat agar menggunakan jampi-jampi dan menasihati sesetengah sanak keluarganya dengannya. Dan baginda membenarkan sahabat-sahabat baginda yang menggunakan jampi-jampi.

    Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW apabila ada seseorang yang mengeluhkan sesuatu kepada baginda, atau terluka, maka baginda berbuat demikian dengan tangan baginda. Lalu Sufyan – yang meriwayatkan hadis – meletakkan jari telunjuknya ke tanah, kemudian mengangkatnya kembali seraya mengucapkan: “Dengan menyebut nama Allah, debu bumi kami, dengan ludah sebahagian kami, disembuhkan dengannya orang sakit daripada kami dengan izin Tuhan kami.”

    Daripada keterangan hadis ini dapat kita ketahui bahawa baginda mengambil ludah baginda sedikit dengan jari telunjuk baginda, lalu ditaruh (diletak) di atas tanah (debu) dan debu yang melekat di jari itu baginda usapkan di tempat sakit atau luka, dan baginda ucapkan perkataan itu (jampi) pada waktu mengusap.

    Diriwayatkan juga daripada Aisyah, dia berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila baginda jatuh sakit, malaikat Jibril menjampi baginda.

    Juga daripada Abu Said bahawa malaikat Jibril pernah datang kepada Nabi SAW dan bertanya: Wahai Muhammad, apakah anda sakit? Baginda menjawab: Ya. Lantas Jibril mengucapkan: Dengan menyebut nama Allah, saya jampi anda daripada segala sesuatu yang menyakiti anda, daripada kejahatan semua jiwa atau mata pendengki. Allah menyembuhkan anda. Dengan menyebut nama Allah, saya menjampi anda.

    Diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Nabi SAW apabila sakit membaca dua surah al-Mu’awwizat (surah al-Falaq dan surah an-Nas) untuk diri baginda sendiri dan baginda meniup dengan lembut tanpa mengeluarkan ludah. Dan ketika sakit baginda berat, saya (Aisyah) yang membacakan atas baginda dan saya usapkannya dengan tangan baginda, kerana mengharapkan berkatnya.

    Diriwayatkan daripada Aisyah juga bahawa Rasulullah SAW menyuruhnya meminta jampi kerana sakit mata.

    Juga diriwayatkan daripada Jabir bahawa Nabi SAW pernah bertanya kepada Asma binti Umais: Mengapa saya lihat tubuh anak-anak saudaraku kurus-kurus, apakah mereka ditimpa keperluan? Asma menjawab: Tidak, tetapi penyakit ain yang menimpa mereka. Nabi bersabda: Jampilah mereka. Asma berkata: Lalu saya menolak. Kemudian baginda bersabda: Jampilah mereka.

    Di samping itu pernah salah seorang sahabat menjampi pemuka suatu kaum – ketika mereka sedang berpergian dengan surah al-Fatihah, lalu pemuka kaum itu memberinya seekor kambing potong, tetapi sahabat itu tidak mahu menerimanya sebelum menanyakan kepada Nabi SAW. Lalu dia datang kepada Nabi SAW dan memaklumkan hal itu kepada baginda seraya berkata: Dengan Allah, saya tidak menjampinya melainkan dengan surah al-Fatihah. Lalu, Nabi SAW bersabda: Terimalah pemberian mereka itu dan berilah saya sebahagian untuk saya makan bersama anda.

    Sumber-Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi, 321-324

  • Orang menderita gangguan jiwa dan biaya pengubatan

    Antara hal yang perlu diingatkan di sini ialah berkenaan dengan penderita gangguan jiwa, kerana dalam hal yang demikian ini ramai orang, hinggakan keluarganya sendiri bahkan orang paling dekat dengannya melupakannya dan tidak memperhatikan hak-haknya, sebab mereka tidak melihat wujud penyakit ini pada organ tubuh. Maka, mereka menganggapnya sebagai orang sihat, padahal anggapan demikian tidak benar.

    Oleh kerana penyakitnya yang tidak tampak – sebab berkaitan dengan perasaan, fikiran dan pandangannya terhadap manusia dan kehidupan – maka dia harus dipergauli secara baik.

    Dia harus disikapi dengan lemah lembut dalam berbicara dan menilai sesuatu, dan diperlakukan dengan kasih sayang.

    MEMBIAYAI PENGUBATAN ORANG YANG SAKIT

    Antara hak terpenting bagi orang yang sakit harus ditunaikan oleh keluarga dan kerabatnya – yang memiliki kemampuan dan kelapangan untuk itu – ialah menanggung perbelanjaan pengubatannya jika orang yang sakit itu tidak mempunyai harta.

    Misalnya memeriksakan orang sakit kepada doktor pakar, membeli ubat, membiaya rawatan, membiaya operasi dan sebagainya sesuai dengan kemampuan dan keperluan, tanpa israf (berlebih-lebihan) dan tanpa bersifat bakhil.

    Allah berfirman, maksudnya: “Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang miskin menurut kemampuannya (pula).” (Surah al-Baqarah, 236)

    “Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya.” (Surah ath-Thalaq, 7)

    Namun hal yang demikian ini tidak menjadi keharusan bagi setiap jenis penyakit, melainkan untuk penyakit yang sangat parah, atau yang dikhuatirkan akan bertambah parah, juga penyakit yang dapat menjadikan penderita mengabaikan kewajipannya. Sedangkan dalam hal yang demikian ini terdapat ubat yang mujarab, sesuai dengan sunah Allah pada manusia.

    Apabila penyakitnya benar-benar berat dan ubatnya lebih mujarab, sementara penderita benar-benar memerlukan pengubatan, maka memberi biaya untuk pengubatannya merupakan pendekatan diri kepada Allah yang sangat mulia.

    Sebab orang yang menghilangkan suatu kesusahan seorang muslim di dunia, maka akan dihilangkan oleh Allah kesusahannya pada hari kiamat dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi dia menolong saudaranya.

    Firman-Nya bermaksud: “Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Surah al-Maidah, 32)

    Namun tidak lazim bagi kerabat atau rakan untuk memikul seluruh biaya pengubatannya sendirian, melainkan harus berkongsi dengan orang lain.

    Firman-Nya bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” (Surah az-Zalzalah, 7)

    Boleh jadi biaya itu diperlukan sebelum berubat atau selepas berubat, iaitu ketika orang sakit keluar dari hospital yang memerlukan biaya sangat besar sehingga tidak dapat dipenuhi olehnya.

    Maka, sesiapa yang menolong menghilangkan kesulitannya pada saat yang kritis itu nescaya dia akan mendapat kedudukan tersendiri di sisi Allah.

    Pada kenyataannya, keluarga orang sakit dalam kaitannya dengan biaya pengubatan dapat (juga) dibahagikan kepada dua:

    1. Orang-orang bakhil yang tidak mahu membantu memenuhi keperluan orang sakit, sama ada untuk biaya pengubatan, makan, mahupun segala sesuatu yang diperlukan orang sakit demi memulihkan kesihatannya, meskipun yang sakit adalah ibunya sendiri yang telah melahirkannya, atau ayahnya yang telah mendidik dan memeliharanya atau anaknya yang menjadi buah hatinya atau isteri dan ibu anak-anaknya. Bagi orang seperti ini harta lebih berharga daripada keluarga dan kerabatnya.

    Kadang-kadang orang sakit memerlukan ubat berkualiti sesuai nasihat diberikan doktor pakar atau perlu menjalani operasi, perlu rawatan di hospital atau perlu dikuarantin selama beberapa waktu untuk mendapatkan pemeliharaan dan perawatan secara sempurna yang semua itu memerlukan biaya. Tetapi hati keluarganya tidak ada yang berasa hiba, tangan mereka juga tidak ada yang terhulur memberikan bantuan, kerana mereka benar-benar dilanda penyakit syuhh (bakhil dan bakhil), suatu penyakit hati yang merosak.

    Dalam hadis sahih Rasulullah SAW bersabda: Jagalah dirimu daripada penyakit syuhh kerana penyakit syuhh ini telah membinasakan orang-orang sebelum kamu, mendorong mereka untuk melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan apa yang diharamkan atas mereka.

    2. Keluarga orang sakit yang berlebih-lebihan dalam membiaya orang sakit untuk sesuatu yang layak ataupun tidak layak, yang diperlukan mahupun yang tidak diperlukan, demi mempamerkan kekayaan , menunjukkan bahawa mereka berharta banyak, dan berharap mendapat sanjungan orang.

    Anda lihat mereka memindah-mindahkan dari satu doktor kepada doktor yang lain, dari satu hospital ke hospital lain, dari satu negara ke negara lain, padahal penyakitnya sudah diketahui dan diagnosisnya sudah jelas bahkan doktor sudah mencurahkan segenap kemampuannya secara maksimum, sehingga tinggal terserah kepada keputusan Allah yang tidak dapat ditolak, apakah sembuh atau meninggal dunia. Dalam pemindahan ini sudah tentu menambah beban dan kepayahan bagi orang sakit, padahal pemindahan itu tidak mendesak, belum lagi beban-beban di sebalik semua itu.

    Selain itu, keadaan orang sakit sudah lebih dekat kepada kematian, dan dia lebih utama mati di kampung halamannya, di tengah-tengah keluarganya, tetapi sikap berlebihan pihak keluarga untuk menampakkan bantuannya, tidak bakhil dan demi menunjukkan kemampuannya membiayai betapa pun besarnya, hal itulah kadang-kadang mendorong mereka melakukan tindakan berlebihan.

    Padahal dalam keadaan seperti itu lebih utama jika dia membelanjakan (infaq) harta tersebut atas namanya sendiri di jalan kebaikan, khususnya untuk hospital, untuk biaya pengubatan fakir miskin yang penghasilannya sangat terhad.

    Pemberian sedekah seperti ini kadang-kadang mendorong orang-orang mendapatkan bantuan itu untuk mendoakan orang sakit agar diberikan kesembuhan oleh Allah, lalu Allah mengabulkannya.

    Rasulullah bersabda: Ubatilah orang-orang sakitmu dengan sedekah.

    Andai wang yang dihambur-hamburkan itu dibuat sedekah jariah, nescaya dia akan terus mendapat pahala selagi sedekah jariah itu dimanfaatkan orang sampai hari kiamat.

    Sumber – Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi, 336-340