Addin

  • Suara dari perigi dan harta ditinggalkan

    Menurut cerita dikisahkan dalam Tanbihul Ghafilin, dahulu di Makkah ada seorang soleh berasal dari Khurasan dan orang-orang selalu meletakkan harta mereka kepadanya untuk dijaga.

    Maka, ada seorang meletakkan kepadanya wang sepuluh ribu dinar, lalu dia pergi untuk kepentingannya.

    Kemudian orang itu kembali ke Makkah manakala orang yang diamanahkan untuk menjaga (harta) itu telah mati.

    Dia bertanya kepada keluarga dan anak-anaknya (orang yang diamanahkan) mengenai harta jagaannya itu.

    Dijawab, yang mereka tidak mengetahui sebab tidak diberitahu apa-apa.

    Lalu orang itu bertanya kepada ulama di Makkah. Saya amanahkan kepada seseorang sepuluh ribu dinar dan kini orang itu sudah mati dan saya bertanya kepada keluarga dan anak-anaknya, mereka menjawab tidak mengetahui hal itu, maka bagaimanakah pendapat anda?

    Jawab ulama ditanya itu: Kami berharap semoga orang itu daripada ahli syurga, nanti jika sudah lewat tengah malam, pergilah kamu ke zamzam dan panggillah namanya di dalam perigi zamzam itu, katakan polan bin polan (nama orang itu) saya yang menitipkan (beri untuk simpan) kepadamu itu.

    Maka, dilaksanakan nasihat itu dan dipanggil nama orang itu sampai tiga kali tetapi tidak ada jawapan apa-apa.

    Dia kembali kepada ulama yang memberitahu kepadanya. Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Kami khuatir kalau-kalau kawanmu itu ahli (penghuni) neraka. Sekarang kamu pergi ke Yaman dan Beirut. Di sana ada perigi. Jika lewat tengah malam, kamu panggil: Wahai polan (nama orang itu), sayalah yang menitipkan wang kepadamu.

    Ketika dia memanggil satu kali, sudah mendapat jawapan. Lalu ditanya, kasihan kamu, kenapa kamu di sini, padahal kamu dulu seorang yang baik?

    Jawabnya: Saya mempunyai keluarga di Khurasan, maka saya putuskan hubungan dengan mereka sehingga mati, maka Allah menuntut aku dengan ini dan menempatkan diriku di sini, adapun hartamu masih tetap ada dan saya tidak menyerahkannya kepada sesiapa pun walaupun kepada anak-anakku, harta itu aku tanam di rumah, maka kamu minta izin anakku untuk masuk ke rumahku, kemudian kamu masuk dan gali di tempat yang aku tunjukkan itu.

    Segera dia kembali dan minta izin kepada anak-anak orang itu untuk menggali di tempat yang ditunjukkan itu, maka benar hartanya masih utuh semuanya.

  • Ramadan tamu istimewa, sarat perbendaharaan

    Ramadan sarat dengan perbendaharaan. Padanya terkandung rahmat Tuhan mencurah-curah. Alangkah beruntung mereka dapat bersamanya dan mendapat buah istimewa daripadanya!

    Jika kita amati, tamu istimewa ini juga banyak mengajar kita erti kehidupan. Di sini, tiga perkara paling nyata ingin disentuh:

    Ketaatan

    Puasa kita sebulan Ramadan kerana ketaatan kepada Allah. Bukan kerana adat, bukan kerana tiada makanan ataupun mengikut orang. Maknanya, kita sanggup berlapar dan dahaga semata-mata kerana menyempurnakan suruhan-Nya.

    “Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Maksud ayat 183, surah al-Baqarah)

    Firman-Nya pada surah an-Nisa, ayat 59 bermaksud: “Wahai orang beriman! Taatkan kamu kepada Allah…”

    Sekiranya kita dapat memahami konsep ketaatan ini, nescaya hidup kita lebih fokus. Kita tidak bermasalah untuk berpuasa, solat, menutup aurat dan suruhan-Nya yang lain.

    Kejujuran

    Puasa mengajar kita erti kejujuran. Walaupun berseorangan, kita tetap berpuasa sampai waktu berbuka. Begitu juga walaupun kita berada di bilik yang gelap lagi sunyi, kita tidak makan.

    Selagi belum tiba waktu berbuka, kita tetap berpuasa. Kita sedar bahawa Allah Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar.

    Firman-Nya bermaksud: “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-An’am, ayat 103)

    Aspek kejujuran melalui ibadat puasa ini sangat baik jika kita dapat menerapkan atau mengamalkannya juga pada ibadat lain, bahkan dalam hidup kita seharian terutama apabila melakukan sesuatu pekerjaan dan berurusan dengan orang lain.

    Disiplin

    Perkara ini menjadi syarat bagi orang yang ingin menempa kejayaan. Tiada disiplin, usah mengharapkan kejayaan. Dan puasa mengajar kita aspek ini, terutama dalam penjagaan waktu.

    Kita dilatih menepati waktu sama ada untuk memulakan puasa mahupun berbuka. Apabila masuk waktu, kita segera berbuka puasa. Kita tidak menangguhkannya sebab disiplinnya memang begitu.

    Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagi mereka terus menyegerakan berbuka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Kita juga tidak berkata kotor, mencela, menipu, mengumpat dan menghasut. Kita menahan syahwat dan godaannya. Kita juga menjaga hati daripada sifat keji seperti dengki. Tapi, mengapa disiplin seperti ini tertanggal pada bulan selainnya?

  • Hajar Aswad

    Hajar Aswad ialah batu yang tertanam di pojok selatan Kaabah pada ketinggian kira-kira 1.10 meter dari tanah, panjang 25 cm dan lebarnya sekitar 17 cm.

    Awalnya adalah satu bongkah batu sahaja, tetapi sekarang berkeping-keping menjadi 8 gugusan batu-batu kecil kerana pernah pecah.

    Hal ini terjadi pada zaman Qaramithah, iaitu sekte daripada Syiah Islamiyyah al-Batiniyyah daripada pengikut Abu Thahir al-Qarmathi yang mencabut Hajar Aswad dan membawanya ke Ihsa’ pada 319 H, tetapi kemudian dikembalikan pada 339 H. Gugusan yang terbesar seukuran satu buah kurma, dan tertanam di batu besar yang lain yang dikelilingi oleh ikatan perak. Inilah batu yang kita dianjurkan untuk mencium dan menyalaminya, bukan batu di sekitarnya, dan bukan pula yang diliputi perak. Mengalami renovasi pada masa Raja Fahd, iaitu pada bulan Rabiul Awal 1422 H.

    Mengenai warna Hajar Aswad, Rasulullah bersabda (mafhumnya): Hajar Aswad diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu, dan dosa-dosa anak cucu Adam yang menjadikannya hitam.

    Namun ada satu riwayat yang mengatakan bahagian yang tertanam di dinding Kaabah berwarna putih. Iaitu diriwayatkan oleh Mujahid, bahawa dia berkata: Ketika Ibn Zubair memugar Kaabah, saya melihat ke hujung di mana terdapat Hajar Aswad, dan ternyata semua bahagiannya yang di dalam Kaabah berwarna putih.

    Dari sini dapat disimpulkan bahawa warna hitam yang disebabkan dosa-dosa manusia, ialah bahagian batu yang nampak di permukaan, oleh kerananya dinamakan dengan Hajar Aswad (Batu Hitam).

    Dalam hal ini, Ibn Zhahirah mengingatkan bahawa dosa-dosa manusia sahaja dapat menghitamkan batu, apatah lagi pengaruhnya terhadap hati manusia, maka jelas lebih besar dan nyata, sehingga kita diwajibkan untuk menghindarinya.

    Sumber — Kursus Kesempurnaan Ibadat Haji & Umrah, Datuk Md Daud Che’ Ngah

  • Syurga

    Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua syurga.

    Maksud ayat 46, surah Ar-Rahman | Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

    ✦✧✦✧

    (Dua syurga) yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan.

    Maksud ayat 48, surah Ar-Rahman | Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

    ✦✧✦✧

    Di dalam syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata) yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.

    Maksud ayat, 56, surah Ar-Rahman | Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

    ✦✧✦✧

    Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

    Maksud ayat 133, surah Ali-Imran | Tafsir Pimpinan Ar-Rahman

  • Gambaran mengenai neraka

    Mengenai neraka, banyak sekali gambarannya. Antaranya:

    1. Membakar muka

    “Api neraka itu membakar muka mereka dan tinggalah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat.” (Surah al-Mukminun, ayat 104)

    2. Kulit jadi masak

    “Sesungguhnya orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu…” (Surah an-Nisa, ayat 56)

    3. Diseret dengan muka

    “Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka (serta dikatakan kepada mereka), rasailah kamu bakaran api neraka.” (Surah al-Qamar, ayat 48)

    4. Makanan daripada Zaqqum

    “(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum. (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka).

    “(Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut. Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.” (Surah ad-Dukhan, ayat 43 hingga 46)

    5. API BERTUKAR WARNA

    Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Api neraka dinyalakan selama seribu tahun sehingga menjadi merah. Kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga menjadi putih. Kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga menjadi hitam gelap, bagaikan malam yang gelap kelam.”

    Apakah kita tidak gentar melakukan kejahatan dengan sewenang-wenangnya? “Ingatlah kekuasaan Allah dan takutlah pada-Nya. Takutlah kepada-Ku (jangan cuai perintah-Ku) jika betul kamu orang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 175)

  • Dunia dalam puisi gubahan Sayidina Ali

    Sayidina Ali bin Abi Talib adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang mulia. Beliau adalah sepupu Nabi Muhammad SAW. Beliau juga adalah menantu baginda SAW (melalui perkahwinan Ali dengan puteri baginda SAW, Fatimah az-Zahra).

    Sayidina Ali terkenal dengan kata-katanya yang berhikmah. Banyak ungkapan beliau sebagaimana kita dapati pada catatan buku-buku; yang menggugah jiwa, mengajak kepada keimanan, keyakinan dan keteguhan hati kepada yang abadi.

    Beliau juga adalah seorang penggemar puisi Arab. Berikut adalah antara beberapa rangkap puisi yang digubah oleh beliau:

    Dunia akan musnah, ia tidak akan berkekalan selama-lamanya
    Ia seperti jaring labah-labah
    Oh, kamu yang mengharapkan kepadanya
    Ingatlah, sudah mencukupi baginya memeliharamu

    Sesetengah orang mati
    Tetapi kerjanya yang mulia tidak akan musnah
    Sesetengah orang lain hidup
    Tetapi tidak menjadi perhatian seperti orang yang telah mati

    Dunia ini seperti bayang-bayang yang bergerak
    Seorang tetamu untuk semalam
    Suatu mimpi bagi seorang yang tidur
    Dan seperti cahaya petir yang menyinari di ufuk harapan

    Rujukan: Asas Kesusasteraan Islam, Ismail Hamid

  • Syair Perahu

    Oleh Hamzah Fansuri, penyair Aceh

    Inilah gerangan suatu madah
    Mengarangkan syair terlalu indah
    Membutuhi jalan tempat berpindah
    Di sana iktikad diperbetuli sudah

    Wahai muda, kenali dirimu
    Ialah perahu tamtsil tubuhmu
    Tiadalah berapa lama hidupmu
    Ke akhirat juga kekal hidupmu

    Hai muda arif budiman
    Hasilkan kemudi dengan pedoman
    Alat perahumu jua kerjakan
    Itulah jalan membetuli iman

    Perteguh juga alat perahumu
    Hasilkan bekal air dan kayu
    Dayung pengayuh taruh di situ
    Supaya laju perahumu itu

    Sudahlah hasil kayu dan air
    Angkatlah pula sauh dan layar
    Pada beras bekal janganlah taksir
    Nescaya sempurna, jalan yang kabir

    Perteguh juga alat perahumu
    Muaranya sempit tempatmu lalu
    Banyaklah di sana ikan dan hiu
    Menanti perahumu lalu di situ

    Muaranya dalam, ikan pun banyak
    Di sanalah perahu karam dan rosak
    Karangnya tajam seperti tombak
    Ke atas pasir kamu tersesak

    Ketahui olehmu hai anak dagang
    Riaknya rencam ombaknya kurang
    Ikan pun banyak datang menyerang
    Hendak membawa ke tengah sawang

    Muaranya itu terlalu sempit
    Di mana lalu sampan dan rakit
    Jikalau ada pedoman dikepit
    Sempurnalah jalan terlalu ba’id

    Baiklah perahu engkau perteguh
    Hasilkan pendarat dengan tali sauh
    Anginnya keras ombaknya cabuh
    La ilaha illa llah akan tali yang teguh

    Barang siapa bergantung di situ
    Teduhlah selalu yang rencam itu
    Pedoman betuli perahumu laju
    Selamat engkau ke pulau itu

    La ilaha il lallah juga yang engkau ikut
    Di laut keras taufan dan ribut
    Hiu dan paus di belakang menurut
    Pertetaplah kemudi jangan terkejut

    Laut Sailan terlalu dalam
    Di sanalah perahu rosak dan karam
    Sungguhpun banyak di sana menyelam
    Larang mendapat permata nilam

    Laut Sailan Wahid al-Kahhar
    Riangnya rencam ombaknya besar
    Anginnya songsong membelok sengkar
    Perbaik kemudi jangan berkisar

    Itulah laut yang maha indah
    Ke sanalah kita semuanya berpindah
    Hasilkan bekal dan juadah
    Selamatlah engkau sempurna musyahadah

    Sailan itu ombaknya kisah
    Banyaklah akan ke sana berpindah
    Taufan dan ribut terlalu ‘azamah
    Perbetuli pedoman jangan berubah

    Laut Kalzum terlalu dalam
    Ombaknya mahit pada sekalian alam
    Banyaklah di sana rosak dan karam
    Perbaiki na’am siang dan malam

    Ingati sungguh siang dan malam
    Lautnya deras bertambah dalam
    Angin pun keras ombaknya rencam
    Ingati perahu jangan tenggelam

    Jikalau engkau ingat sungguh
    Angin yang keras menjadi teguh
    Tambahan selebu tetap yang cabuh
    Selamat engkau ke pulau itu berlabuh

    Sampailah abad dengan masanya
    Datanglah angin dengan paksanya
    Belayar perahu sidang budimannya
    Belayar itu dengan kelengkapannya

    Wujud Allah nama perahunya
    Ilmu Allah akan dayungnya
    Iman Allah nama kemudinya
    Yakin Allah nama payungnya

    Taharah dan istinja nama lantainya
    Kufur dan maksiat air ruangnya
    Tawakal akan Allah jurubatunya
    Tauhid itu akan sauhnya

    La ilaha illa llah akan talinya
    Kamal Allah akan tiangnya
    Assalamualaikum akan tali lenggangnya
    Taat dan Ibadat anak dayungnya

    Solat akan Nabi tali buatannya
    Istighfar Allah akan layarnya
    Allah Akbar nama anginnya
    Subhan Allah akan lajunya

    Wallahu aklam nama rantaunya
    Iradat Allah nama bandarnya
    Kudrat Allah nama labuhannya
    Syurga jannatunnaim nama negerinya

    Rujukan: Asas Kesusasteraan Islam, Ismail Hamid.

  • 11 ilmu pengetahuan didorong oleh kitab suci al-Quran

    Berikut adalah cabang-cabang ilmu pengetahuan yang berkembang pada zaman Islam yang didorong oleh kitab suci al-Quran:

    1. Ilmu Nahu

    Ilmu nahu ialah ilmu mengenai tatabahasa Arab. Tujuan diciptakannya ialah untuk menjaga kesalahan-kesalahan dalam memperguna bahasa Arab dan bagi tujuan untuk mempelajari al-Quran dan al-hadis.

    2. Ilmu Saraf

    Bidang ilmu ini bertujuan untuk menghuraikan bentuk dan asal kata. Tujuannya ialah untuk memastikan pengucapan yang betul.

    3. Ilmu Arudh

    Ilmu ini membahaskan timbangan puisi Arab bagi tujuan untuk mengetahui perbezaan antara ayat-ayat al-Quran dengan syair.

    4. Ilmu Badi

    Ilmu ini bertujuan untuk mengetahui keindahan bahasa, bagi mencipta gaya bahasa yang baik dan berseni.

    5. Ilmu Bayan

    Ilmu ini membicarakan kemudahan makna yang terkandung dalam kalimat seperti digambarkan dalam kiasan dan simpulan.

    6. Ilmu Maani

    Ilmu ini ialah mempelajari kaedah dan pertuturan bagi menyesuaikan kata-kata dengan makna bagi memberi maksud yang tepat dan jitu.

    7. Ilmu Tafsir

    Ilmu ini membicarakan kaedah tafsir dan ulasan terhadap ayat-ayat al-Quran. Ilmu ini muncul sejak zaman Nabi dan berkembang menjadi pelbagai cabang ilmu lagi mengenai tafsir.

    8. Ilmu al-Hadis

    Ilmu ini mempelajari ucapan dan perbuatan Nabi Muhammad sebagai mentafsirkan segala yang terkandung dalam al-Quran.

    9. Ilmu al-Fiqh

    Sesudah Islam dijadikan sebagai satu sistem pemerintahan, maka masyarakat Islam perlu kepada peraturan dan undang-undang untuk menjatuhkan hukuman terhadap individu atau jemaah, maka untuk itu diciptakan ilmu al-fiqh yang didasarkan kepada al-Quran, al-hadis dan ijtihad ulama.

    10. Ilmu at-Tarikh

    Apabila umat Islam mengkaji al-Quran, mereka memerlukan maklumat mengenai tempat-tempat kejadian seperti tempat diturunkan ayat al-Quran dan perkara yang diterangkan oleh al-hadis. Maka, muncullah ilmu biografi (as-sirah) mengenai Nabi Muhammad. Bagi mengetahui kejujuran para perawi hadis, maka ditulis biografi perawi berkenaan. Atas dorongan itu, maka lahirlah kegiatan manusia biografi dan akhirnya berkembang menjadi ilmu sejarah.

    11. Ilmu Bumi

    Ilmu ini berkembang akibat daripada perjalanan dan pengembaraan para sarjana untuk menyelidik mengenai hadis, pengembaraan mereka untuk menunaikan haji ke Makkah, dan kajian mereka terhadap pelbagai daerah yang dikuasai oleh pemerintahan Islam. Di samping itu ilmu ini juga muncul daripada keinginan para sarjana Islam untuk mengetahui segala negeri yang terdapat di atas muka bumi ini.

    Rujukan: Asas Kesusasteraan Islam, Ismail Hamid, halaman 24-26.

  • Taubat nasuha tidak ulangi dosa seperti susu tak kembali ke puting

    “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga…” (Surah at-Tahrim, maksud ayat 8)

    Taubat nasuha ialah cara bertaubat dan meminta ampun yang sungguh-sungguh untuk membersihkan segala kekotoran dosa. (Tafsir Pimpinan ar-Rahman)

    Sayidina Umar al-Khattab dilaporkan berkata: “Taubat nasuha ialah bertaubat daripada dosa, kemudian tidak mengulangi lagi sebagaimana susu tidak kembali lagi masuk ke dalam putingnya.” (Riyadus Solihin)

  • Mengkafirkan sesama Muslim

    Hal tersebut amat berbahaya dan telah menjadi perhatian bagi orang Muslimin khususnya, kerana timbulnya fikiran yang terlampau ekstrem.

    Dalam hal ini saya sudah menyiapkan sebuah buku khusus mengenai masalah tersebut.

    Saya kemukakan perlunya pengkajian sebab-sebab timbulnya fikiran yang ekstrem dan cara menghadapinya sehingga dapat diatasi dengan saksama.

    Pertama, tiap-tiap fikiran atau pendapat harus dilawan dengan fikiran, pandangan dan diubati dengan keterangan serta dalil yang kuat, sehingga dapat dapat menghilangkan keraguan dan pandangan yang terkeliru itu.

    Jika kita menggunakan kekerasan sebagai satu-satunya alat, maka tentu tidak membawa faedah.

    Kedua, mereka itu (orang-orang yang berpandangan salah) umumnya adalah orang-orang baik, kuat agamanya dan tekun ibadatnya, tetapi mereka dapat digoncang oleh perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam dan yang timbul pada masyarakat Islam.

    Misalnya, akhlak buruk, kerosakan di segala bidang, kehancuran dan sebagainya.

    Mereka selalu menuntut dan mengajak kepada kebaikan dan mereka ingin masyarakatnya berjalan di garis yang telah ditentukan oleh Allah, walaupun jalan atau fikirannya menyimpang pada jalan yang salah dan sesat kerana mereka tidak mengerti.

    Maka, sebaiknya kita hormati niat mereka yang baik itu, lalu kita beri penerangan yang cukup, jangan mereka digambarkan atau dikatakan sebagai binatang yang buas, atau penjahat bagi masyarakat.

    Tetapi hendaknya diberi pengarahan dan bimbingan ke jalan yang benar, kerana tujuan mereka adalah baik, tetapi salah jalan.

    Mengenai sebab timbulnya fikiran tersebut adalah:

    1. Tersebarnya kebatilan, kemaksiatan dan kekufuran, yang secara terang-terangan dan terbuka di tengah masyarakat Islam tanpa ada usaha pencegahannya. Bahkan sebaliknya untuk meningkatkan kemungkaran dan kemaksiatan, dia menggunakan agama sebagai alat propaganda untuk menambah kerosakan akhlak dan sebagainya.

    2. Sikap para ulama yang amat lunak terhadap mereka yang secara terang-terangan menjalankan praktik orang-orang kafir dan memusuhi orang-orang Islam.

    3. Ditindaknya (diambil tindakan terhadap) gerakan-gerakan Islam yang sihat dan segala dakwah yang berasaskan al-Quran dan sunah. Maka, setiap perlawanan (pertentangan) bagi suatu fikiran yang bebas tentu akan melahirkan suatu tindakan ke arah yang menyimpang, yang nantinya akan melahirkan gerakan bawah tanah.

    4. Kurangnya pengetahuan mereka tentang agama dan tidak ada pendalaman ilmu dan hukum Islam secara keseluruhan. Oleh itu mereka hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, dengan faham yang keliru dan menyesatkan.

    Keikhlasan dan semangat sahaja tidak cukup sebagai bekalan diri sendiri, jika tidak disertai dasar yang kuat dan pemahaman yang mendalam mengenai hukum Islam. Terutama mengenai hukum syariat dan ilmu fiqih (fiqah), maka mereka ini akan mengalami nasib yang sama dengan para al-Khawarij di masa lampau, sepertimana keterangan Imam Ahmad.

    Oleh itu orang-orang soleh yang selalu menggalakkan untuk menuntut ilmu dan memperkuat diri dengan pengetahuan Islam sebelum melakukan ibadat dan perjuangan, agar teguh pendiriannya dan tidak kehilangan arah.

    Hasan al-Basri berkata: Segala amalan tanpa dasar ilmu, seperti orang yang berjalan tetapi tidak pada tempatnya berpijak.

    Setiap amalan tanpa ilmu akan menimbulkan kerosakan lebih banyak daripada kebaikannya.

    Tuntutlah ilmu sehingga tidak membawa mudarat pada ibadat dan tuntutlah (lakukanlah) ibadat yang tidak membawa mudarat pada ilmu.

    Maka, ada segolongan kaum yang melakukan ibadat dan meninggalkan ilmu, sehingga mereka mengangkat pedangnya untuk melawan umat Muhammad SAW, yang termasuk saudaranya sesama Muslim.

    Jika mereka memiliki ilmu, tentu ilmu tidak akan membawa ke arah perbuatan itu.

    Ruj: Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi