Tafsir

  • Surah al-Insyirah

    1. Bukankah Kami telah melapangkan bagimu; dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?

    2. Dan Kami telah meringankan daripadamu; bebanmu (menyiarkan Islam).

    3. Yang memberati tanggunganmu (dengan memberikan berbagai-bagai kemudahan dalam melaksanakannya).

    4. Dan Kami telah meninggikan bagimu; sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai-bagai kemulian)?

    5. Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

    6. (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesunggunya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

    7. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amalan soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (melakukan amalan soleh yang lain).

    8. Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah,mengandungi 8 ayat.

    Dinamakan surah al-Insyirah (Perihal Melapangkan Dada Nabi) kerana pada awal surah ini Allah menegaskan salah satu nikmat-Nya yang dikurniakan-Nya kepada Nabi Muhammad SAW ialah melapangkan dadanya (serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk).

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah adh-Dhuha

    1. Demi waktu Dhuha.

    2. Dan malam apabila ia sunyi sepi.

    3. (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci (kepadamu, sebagaimana dituduh oleh kaum musyrik).

    4. Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.

    5. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagian di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda — berpuas hati.

    6. Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan?

    7. Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu — al-Quran)?

    8. Dan didapatinya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan?

    9. Oleh itu, adapun anak yatim, maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.

    10. Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan), maka janganlah engkau tengking herdik.

    11. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya.

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 11 ayat.

    Dinamakan surah adh-Dhuha (Waktu Dhuha) kerana pada awal surah ini Allah bersumpah dengan waktu tersebut, dan dengan waktu malam, untuk menegaskan bahawa Dia tidak meninggalkan Nabi Muhammad dan tidak membencinya sebagaimana yang dikatakan oleh kaum musyrik.

    Sebelum turunnya surah ini, wahyu telah terhenti dalam satu peringkat masa yang singkat. Kejadian ini menyebabkan junjungan kita Nabi Muhammad SAW berdukacita, dan kaum musyrik yang menentang baginda mengambil kesempatan daripada peristiwa itu menuduh bahawa “Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan membencinya”.

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah al-Lail

    1. Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya)

    2. Dan siang apabila ia lahir terang-benderang.

    3. Demi Yang menciptakan (makhluk-makhluk-Nya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina).

    4. Sesungguhnya amalan usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. *

    5. Jelasnya – adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).

    6. Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. **

    7. Maka, sesungguhnya kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga).

    8. Sebaliknya – orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya.

    9. Serta dia mendustakan perkara yang baik. ***

    10. Maka, sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

    11. Dan apakah pertolongan yang dapat diberikan kepadanya oleh hartanya apabila dia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)?

    12. Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (mengenai yang benar dan yang salah).

    13. Dan sesungguhnya Kamilah yang menguasai hari akhirat dan alam dunia. ****

    14. Maka (serentak dengan memberi hidayah petunjuk) Aku juga telah memberi amaran mengingatkan kamu akan api neraka yang marak menjulang.

    15. Yang tidak akan menderita bakarannya melainkan orang yang sungguh celaka.

    16. Yang telah mendustakan (kebenaran) dan berpaling ingkar.

    17. Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertakwa.

    18. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta-bendanya.

    19. Sedang dia tidak menanggung budi sesiapa pun, yang patut dibalas.

    20. Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya Yang Maha Tinggi.

    21. Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkannya).

    NOTA

    * Yakni, ada yang membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya dan ada pula yang sebaliknya.

    ** Yakni kalimah tauhid dan segala perkara yang wajib diakui dan dipercayai.

    *** Lihat penjelasan pada *

    **** Yakni dengan aturan undang-undang Kami dan dengan melalui Kami, hendaknya dicari dan dipohonkan keselamatan dan kebahagiaan.

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 21 ayat.

    Dinamakan surah al-Lail (Malam), kerana pada awal surah ini Allah bersumpah dengan ‘malam’ dan siang, dan dengan diri-Nya, yang menciptakan makhluk-makhluk-Nya, bahawa sesungguhnya amalan usaha manusia adalah berbagai-bagai keadaannya. Yakni, ada yang membawa kebaikan kepada orang melakukannya dan ada pula yang sebaliknya.

    Intisari kandungan surah ini – Membentangkan soal manusia dan amalan usahanya. Bahawa orang yang memberikan apa yang ada padanya pada jalan kebaikan dan bertakwa — melakukan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya — serta dia mengaku dengan yakin akan perkara-perkara yang baik, (kalimah tauhid dan segala perkara yang wajib diakui dan dipercayai), maka sesungguhnya Allah akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga).

    Sebaliknya, orang yang bakhil — tidak berbuat kebajikan dan berasa cukup dengan kekayaannya dan kemewahannya serta dia mendustakan perkara baik (kalimat tauhid dan segala perkara yang wajib diakui dan dipercayai), maka sesungguhnya Allah akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.

    Kemudian ditegaskan bahawa Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk mengenai yang benar dan yang salah serta Dialah jua yang menguasai hari akhirat dan alam dunia.

    Sumber – Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah asy-Syams

    1. Demi matahari dan cahayanya yang terang benderang.

    2. Dan bulan apabila ia mengiringinya.

    3. Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata.

    4. Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap gelita).

    5. Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh — yang melambangkan kekuasaan-Nya).

    6. Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhluk-Nya).

    7. Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya).

    8. Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.

    9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya — yang sedia bersih — bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amalan kebajikan).

    10. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya — yang sedia bersih — itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

    11. (Ingatlah) kaum Tsamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas.

    12. Ketika orang yang sehabis-habis jahat antara mereka menerima perintah daripada mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat).

    13. Maka, berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka: “(Janganlah kamu ganggu) unta betina daripada Allah itu*, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab).”

    14. (Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Dia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya).

    15. Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu adalah balasan yang adil).

    NOTA

    * Yakni unta betina yang dijadikan mukjizat oleh Allah bagi Nabi Soleh Alaihissalam.

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 15 ayat.

    Dinamakan surah asy-Syams (Matahari) kerana pada awal surah ini dan ayat-ayat yang berikutnya Allah Taala bersumpah dengan matahari dan makhluk-makhluk yang lain, bahawa sesungguhnya berjayalah orang-orang yang menjadikan dirinya — yang sedia bersih — bertambah-tambah bersih dengan iman dan amalan kebajikan, dan hampalah orang yang menjadikan yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat.

    Intisari kandungannya — menegaskan perihal manusia yang telah diciptakan oleh Allah, yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (mengenal) – jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada bertakwa.

    Dengan yang demikian, terserahlah kepada manusia sendiri memilih dan bertanggungjawablah dia terhadap pilihannya itu. Jika dia memilih jalan yang membawanya kepada kebaikan – iman dan takwa, maka selamatlah dia di dunia dan di akhirat, dan jika sebaliknya maka buruklah akibatnya.

    Sebagai contoh, diceritakan perihal kaum Nabi Soleh yang telah memilih jalan yang membawa mereka kepada kejahatan, lalu mereka menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Akibatnya mereka dibinasakan oleh Allah sehingga punah-ranah semuanya.

    “Dan Allah tidak hiraukan kesudahan — mereka yang buruk — itu (kerana yang demikian ialah balasan yang adil).

    Sumber — Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Surah at-Takwir

    1. Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).

    2. Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak.

    3. Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)

    4. Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar.*

    5. Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan.

    6. Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.

    7. Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya.

    8. Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup; ditanya

    9. Dengan dosa apakah dia dibunuh?

    10. Dan apabila surat-surat amalan dibentangkan.

    11. Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya.

    12. Dan apabila neraka dinyalakan menjulang.

    13. Dan apabila syurga didekatkan.

    14. (Setelah semuanya itu berlaku) mengetahuilah tiap-tiap diri akan amalan yang telah disediakannya.

    15. Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul.

    16. Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya.

    17. Dan malam, apabila ia hampir habis.

    18. Dan siang, apabila ia mulai terang.

    19. Sebenarnya, al-Quran itu sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) utusan yang mulia.

    20. Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi, di sisi Allah yang mempunyai Arasy.

    21. Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.

    22. Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam) bukanlah dia seorang gila (seperti yang kamu tuduh).

    23. Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu daripada Tuhan, kerana) demi sesungguhnya Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

    24. Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh ditohmah dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.

    25. Dan sebenarnya al-Quran itu bukanlah perkataan syaitan yang kena rejam.

    26. (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (sekiranya kamu masih menyeleweng dari jalan al-Quran)?

    27. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam.

    28. Iaitu bagi sesiapa daripada kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.

    29. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam.

    NOTA

    * Dalam kehidupan bangsa Arab – semasa ayat ini diturunkan – unta sangat penting, dan kerana itu ia dijaga dan dipelihara dengan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi yang bunting dan sudah masuk bulannya yang kesepuluh. Apabila unta-unta yang bunting – yang sangat disayangi itu – terbiar dan tidak dijaga lagi, maka yang demikian adalah disebabkan berlakunya perkara-perkara yang sungguh mengerikan. Ini hanyalah sebagai misalan. Yakni kalaulah ada unta-unta yang demikian keadaannya semasa berlakunya kiamat, maka tuannya tidak akan menghiraukannya kerana tuannya pada saat itu hanya mementingkan keselamatan dirinya sendiri.

    KETERANGAN

    Surah ini diturunkan di Makkah, mengandungi 29 ayat.

    Dinamakan surah at-Takwir (Melingkari), kerana Allah menegaskan – pada awal surah ini – mengenai tanda berlakunya hari kiamat ialah ketika “matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).”

    Intisari kandungannya: Menggambarkan pelbagai peristiwa yang akan berlaku ketika datangnya hari kiamat. Pada waktu itu, mengetahuilah tiap-tiap diri akan amalan yang telah dilakukan. Jika baik, baiklah balasannya; jika jahat, buruklah balasannya. Dalam bahagian yang lain, ditegaskan mengenai kebenaran al-Quran Kalamullah, dan diterangkan mengenai sifat dan tugas malaikat Jibril (alaihissalam) yang menyampaikan wahyu – al-Quran – kepada Nabi Muhammad (sollallahu alaihi wasallam).

    Setelah menolak tuduhan-tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan oleh orang-orang kafir yang menentang Nabi yang mulia, maka pada akhir surah ini Allah memberi amaran kepada golongan kafir sambil menegaskan mengenai kebenaran apa yang diwahyukan-Nya kepada Rasul-Nya.

    “(Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (sekiranya kamu masih menyeleweng dari jalan al-Quran)?

    “Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam.

    “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”

    Sumber: Tafsir Pimpinan ar-Rahman