Iran

  • 8 maut, 15 cedera selepas bas terbalik di selatan Iran

    Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 15 yang lain cedera selepas sebuah bas terbalik di jalan antara bandar di wilayah Bushehr selatan Iran pada Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRCS).

    Enam pasukan penyelamat segera dihantar ke tempat kejadian, dan mereka yang cedera dipindahkan ke pusat perubatan berdekatan, kata IRCS dalam satu kenyataan diterbitkan di laman webnya, lapor Xinhua.

    Xinhua mengatakan, menurut agensi berita separa rasmi Fars, bas itu membawa pekerja Syarikat Gas South Pars.

  • Perang AS ke atas Iran menelan belanja $29 bilion – Pentagon

    Perang AS-Israel ke atas Iran menelan belanja $29 bilion setakat ini, kata seorang pegawai kanan Pentagon, menurut Al Jazeera.

    Jules Hurst, yang sedang menjalankan tugas pengawal kewangan, memberitahu penggubal undang-undang AS bahawa jumlah itu termasuk pembaikan dan penggantian peralatan dan kos operasi yang dikemas kini.

    Kos itu merupakan peningkatan sebanyak $4 bilion daripada anggaran yang diberikan lewat bulan lalu.

  • Iran bersedia beri ‘pengajaran tidak dapat dilupakan’ kepada sebarang pencerobohan

    Iran bersedia untuk memberi “pengajaran yang tidak dapat dilupakan” kepada sebarang pencerobohan, kata Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf, pada Isnin selepas Presiden AS Donald Trump menolak cadangan terbaru Tehran untuk menamatkan perang, lapor Anadolu.

    “Angkatan tentera kami bersedia untuk memberi pengajaran yang tidak dapat dilupakan kepada sebarang pencerobohan,” Qalibaf dilapor mencatatkan di X.

    “Strategi yang salah dan keputusan yang salah sentiasa menghasilkan hasil yang salah. Seluruh dunia telah pun memahami perkara ini,” katanya.

    Qalibaf juga memberi amaran bahawa Iran bersedia untuk “semua pilihan” dengan mengatakan pihak lawan “akan terkejut”.

    Amaran itu datang selepas Trump menolak respons terbaru Iran terhadap cadangan AS untuk menamatkan perang sebagai “tidak boleh diterima sama sekali”.

  • Pertahanan udara Iran dilapor tembak jatuh ‘dron musuh’

    Tentera Iran mengatakan awal Isnin, sistem pertahanan udaranya menembak jatuh sebuah “dron peninjau musuh” di wilayah barat daya negara itu, menurut berita Anadolu.

    Pejabat perhubungan awam tentera mengatakan dron itu dipintas dan dimusnahkan oleh rangkaian pertahanan udara bersepadu negara itu, lapor Anadolu memetik agensi berita rasmi Iran, IRNA.

    Dilaporkan, dron itu ditembak jatuh oleh unit yang beroperasi di bawah perintah ibu pejabat pertahanan udara bersama Iran di barat daya Iran.

    Insiden itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat selepas Presiden AS Donald Trump pada Ahad menolak respons terbaru Tehran terhadap rancangan damai Amerika, dengan menyifatkannya sebagai “tidak dapat diterima sama sekali”, lapor Anadolu.

  • ‘Setiap kali kami terpaksa lawan, kami akan lawan’ – jurucakap Kementerian Luar Iran

    “Setiap kali kami terpaksa lawan, kami akan lawan, dan setiap kali ada ruang untuk diplomasi, kami akan rebut peluang itu,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, menurut berita Al Jazeera.

    “Walau bagaimanapun, diplomasi mempunyai peraturannya sendiri,” kata Baghaei.

    “Keputusan itu akan berdasarkan kepentingan negara kami, dan Iran telah membuktikan bahawa kami bertekad untuk melindungi kepentingan rakyat kami.”

  • Iran dilapor hukum mati lelaki disabitkan kesalahan intip untuk CIA dan Mossad

    Iran menghukum mati seorang lelaki yang disabitkan kesalahan mengintip untuk perkhidmatan perisikan AS dan Israel, menurut berita Reuters yang memetik laporan saluran berita badan kehakiman Mizan pada Isnin.

    Menurut Reuters, Mizan mengenal pasti lelaki terbabit sebagai Erfan Shakourzadeh, mengatakan dia pernah bekerja di sebuah organisasi saintifik yang terlibat dalam aktiviti satelit dan telah berkongsi maklumat saintifik sulit dengan perkhidmatan perisikan asing.

    Reuters melaporkan, menurut kumpulan hak asasi manusia Iran Human Rights Society, Erfan seorang graduan kejuruteraan aeroangkasa berusia 29 tahun, ditangkap pada 2025 dan dipaksa mengaku.

  • Trump tidak suka representatif Iran

    Presiden Amerika Syarikat (AS) dilapor mengulas secara terus mengenai respons Iran terhadap cadangan AS untuk menamatkan perang.

    “Saya baru sahaja membaca respons daripada apa yang dipanggil ‘Representatif’ Iran. Saya tidak menyukainya — SAMA SEKALI TIDAK BOLEH DITERIMA! Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini. Presiden DONALD J. TRUMP,” tulis presiden itu di platform Truth Social, menurut berita Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, media Iran sebelum ini mengatakan bahawa respons telah disampaikan melalui pengantara Pakistan hari ini (Ahad).

  • Harga minyak AS meningkat kepada $97 setong selepas pertembungan tentera laut antara AS dan Iran

    Harga minyak AS melonjak sehingga 3 peratus awal Jumaat susulan tercetusnya konflik baharu antara Washington dan Tehran, dengan West Texas Intermediate (WTI) kemudiannya mengekalkan kenaikan sebanyak 2.58 peratus ($2.45) untuk diniagakan pada $97.26 setong pada 22:33 GMT, menurut berita Al Jazeera.

    Kenaikan itu susulan laporan pada Khamis mengenai pertempuran tentera AS dengan pasukan Iran, walaupun pegawai Iran menuduh AS melanggar gencatan senjata dengan menyerang dua kapal Iran di Selat Hormuz dan kemudian mengebom kawasan awam di pantai Iran.

  • Trump ancam mengebom Iran pada tahap jauh lebih tinggi jika perjanjian damai tidak dicapai

    Presiden AS Donald Trump berkata pada Rabu bahawa jika Tehran tidak bersetuju dengan perjanjian damai dengan Washington, pasukan AS akan menyambung semula pengeboman “pada tahap dan intensiti yang jauh lebih tinggi daripada sebelumnya”, lapor Xinhua.

    “Dengan mengandaikan Iran bersetuju untuk memberikan apa yang telah dipersetujui, yang mungkin merupakan andaian besar, Epic Fury yang sudah legenda akan berakhir, dan sekatan yang sangat berkesan akan membolehkan Selat Hormuz terbukan kepada semua, termasuk Iran,” tulis Trump dalam catatan di akaun Truth Social, menurut Xinhua.

    “Jika mereka tidak bersetuju, pengeboman akan bermula, dan malangnya, ia akan berada pada tahap dan intensiti yang jauh lebih tinggi daripada sebelumnya,” tambahnya.

    Pada Selasa di taklimat berita Rumah Putih, Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata operasi ketenteraan Epic Fury sudah berakhir, lapor Xinhua.

    “Operasi itu sudah berakhir. Epic Fury, seperti yang diberitahu oleh presiden kepada Kongres, kami sudah selesai dengan peringkat itu,” kata Rubio kepada pemberita, menurut Xinhua.

    Juga pada Selasa, Trump berkata tentera AS akan menghentikan usahanya untuk membimbing kapal melalui Selat Hormuz buat masa ini sambil mengekalkan sekatannya terhadap pelabuhan Iran, memandangkan “kemajuan besar telah dicapai ke arah perjanjian lengkap dan muktamad dengan wakil Iran.”

  • Tentera Israel dalam “berjaga-jaga tinggi” untuk kembali berperang menentang Iran – ketua tentera

    Ketua tentera Israel, Eyal Zamir, berkata pada Rabu, tentera kekal “berjaga-jaga tinggi untuk kembali ke kempen yang kuat dan luas” menentang Iran, lapor Xinhua.