Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan Israel di selatan Lubnan pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik laporan Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Dua orang terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan udara Israel di kampung Ebba di selatan Lubnan. Di daerah Bint Jbeil, dua orang terbunuh selepas serangan dron Israel menyasarkan kenderaan mereka di pekan Haris, dan seorang lagi terbunuh selepas dron Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pekan Yater.
Dalam serangan dron Israel di daerah Nabatieh, Yahya Ali Kobeissi, seorang pemungut bil di perbandaran Zebdine, dan Hussein Ahmad Kobeissi terbunuh semasa mengedarkan roti kepada penduduk, menurut Xinhua memetik NNA.
Dua paramedik dengan pasukan pertahanan awam Pertubuhan Kesihatan Islam cedera dalam serangan udara Israel ketika mereka menjalankan kerja bantuan.
Sementara itu, tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan segera kepada penduduk di beberapa pekan dan kampung di selatan dan timur Lubnan, mencetuskan gelombang perpindahan baharu, dengan ratusan keluarga melarikan diri ke kawasan selamat berdekatan.
Secara berasingan, Hizbullah berkata dalam kenyataan bahawa ia menyerang tentera Israel di beberapa kampung di selatan Lubnan pada Isnin, menggunakan dron bahan letupan dan serangan roket.
Juga pada Isnin, penghantaran bantuan kemanusiaan dan perubatan, yang disediakan oleh EU (Kesatuan Eropah) dan kerajaan Perancis, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut Rafic Hariri.