Sekurang-kurangnya 3,020 orang terbunuh dan 9,273 yang lain cedera dalam serangan Israel di seluruh Lubnan sejak 2 Mac lalu, menurut berita Al Jazeera memetik angka terkini daripada Kementerian Kesihatan Lubnan.
Lubnan
-
Komander Jihad Islam dilapor mati bersama anak perempuannya dalam serangan Israel di Lubnan
Serangan Israel membunuh tujuh orang di Lubnan pada Ahad, termasuk seorang komander Jihad Islam, kata pihak berkuasa Lubnan dan media kerajaan, menurut Arab News yang menyiarkan laporan AFP.
Kementerian kesihatan menerbitkan “jumlah awal” untuk serangan Israel pada Ahad, dengan tiga orang terbunuh di pekan Tayr Felsay, termasuk seorang kanak-kanak, dan dua terbunuh di pekan Tayr Debba, termasuk seorang lagi kanak-kanak.
Ia mengatakan 11 orang cedera dalam serangan terbabit dan empat lagi cedera dalam serangan di dua pekan selatan yang lain.
Menurutnya, kemudian, Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan berkata, serangan peluru berpandu Israel sekitar tengah malam di sebuah apartmen di pinggir bandar Baalbek di timur negara itu membunuh komander Jihad Islam, Wael Abdel Halim dan anak perempuannya berusia 17 tahun.
-
Suami isteri terbunuh dalam serangan Israel ke atas selatan Lubnan
Pesawat perang Israel dilaporkan melancarkan serangan ke atas kawasan kejiranan al-Saha di pekan Haboush di selatan Lubnan.
Serangan itu memusnahkan sebuah rumah dan membunuh seorang pemuda, Muhammad Hassan Jammoul, dan isterinya, Sakina Muhammad Abbas Makki, lapor Al Jazeera memetik Agensi Berita Nasional (NNA).
Serangan itu berlaku walaupun Israel dan Lubnan pada Jumaat bersetuju untuk melanjutkan “gencatan senjata” selama 45 hari lagi.
Kementerian Kesihatan Lubnan mengatakan 2,969 orang telah terbunuh dan 9,112 cedera sejak 2 Mac, lapor Al Jazeera.
-
2,969 orang terbunuh, 9,112 cedera sejak Mac dalam serangan Israel di Lubnan
Kementerian Kesihatan Awam Lubnan, dalam kemas kini terbarunya, berkata jumlah korban terkumpul daripada serangan berterusan oleh Israel antara 2 Mac dan 16 Mei telah mencecah 2,969 orang terbunuh dan 9,112 cedera, lapor Al Jazeera.
-
3 paramedik terbunuh akibat serangan Israel di selatan Lubnan
Tiga paramedik terbunuh dan seorang lagi parah pada Jumaat dalam serangan Israel di selatan Lubnan, ketika Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam menggesa sokongan Arab dan antarabangsa yang lebih kuat untuk usaha diplomatik Lubnan, memberi amaran bahawa negara itu menghadapi krisis paling teruk sejak penubuhannya, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata serangan itu melanda pusat pertahanan awam yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Islam di pekan Harouf dan memusnahkan sepenuhnya kemudahan itu.
Kementerian itu menuduh Israel melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa melalui serangan yang menyasarkan kakitangan perubatan dan penyelamat, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, Salam berkata pada Jumaat bahawa perang terbaru “dikenakan ke atas Lubnan” dan akibatnya Israel menduduki 68 pekan, kampung dan posisi.
Katanya, Lubnan tidak dapat pulih sementara golongan muda terus berhijrah, kelas menengah terhakis, dan sektor utama seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan bergelut untuk terus bertahan.
-
9 terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan
Serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang di selatan Lubnan pada Jumaat, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Serangan dron Israel ke atas sebuah kereta di bandar Nabatieh membunuh dua orang yang dilaporkan sedang mengumpul bantuan makanan dan mencederakan orang ketiga.
Serangan udara semalaman di pekan Harouf membunuh empat orang, diikuti dengan dua lagi serangan yang membunuh tiga orang dan mencederakan empat yang lain, lapor Xinhua memetik NNA.
Manakala Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan, menurut Xinhua, berkata bahawa serangan ke atas beberapa pekan di daerah Tyre mencederakan sekurang-kurangnya 37 orang, termasuk kakitangan perubatan, wanita dan kanak-kanak.
Tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan untuk beberapa pekan di selatan Lubnan.
Menurut Xinhua, Hizbullah berkata ia menyasarkan dron Israel, tentera, jentolak tentera dan kereta kebal Merkava di beberapa kawasan di selatan Lubnan.
Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan berkata, serangan Israel antara 2 Mac dan 15 Mei membunuh 2,951 orang dan mencederakan 8,988 orang, lapor Xinhua.
-
Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu – UNICEF
Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata, kata Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu, memberi amaran mengenai bahaya fizikal dan psikologi yang semakin mendalam dalam kalangan mangsa muda terselamat, menurut berita Xinhua.
Xinhua melaporkan, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak terbunuh dan 93 cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April, menjadikan jumlah korban kanak-kanak sejak 2 Mac lalu kepada 200 terbunuh dan 806 cedera.
Pada Rabu sahaja, sekurang-kurangnya 33 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam peningkatan serangan Israel di seluruh selatan dan tengah Lubnan, menurut Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan dan media tempatan, lapor Xinhua.
“Kanak-kanak terbunuh dan cedera ketika mereka sepatutnya kembali ke bilik darjah, bermain dengan rakan-rakan, dan pulih daripada ketakutan dan pergolakan selama berbulan-bulan,” kata Pengarah Wilayah UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder, lapor Xinhua.
Beigbeder menambah bahawa meskipun perjanjian itu bertujuan untuk menghentikan keganasan, kanak-kanak terus mengalami serangan dan trauma berulang yang boleh membawa akibat sepanjang hayat.
UNICEF juga memberi amaran bahawa lebih 770,000 kanak-kanak di Lubnan mengalami tekanan psikologi yang semakin meningkat akibat pendedahan berulang kepada keganasan, perpindahan, dan kehilangan. Gejala dalam kalangan kanak-kanak dan penjaga termasuk ketakutan, kebimbangan, mimpi ngeri, insomnia, dan keputusasaan.
-
Lima sekeluarga antara 9 terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan
Lima orang daripada satu keluarga terbunuh di pekan Arab Salim, di daerah Nabatieh, di selatan Lubnan, menurut berita Al Jazeera memetik laporan NNA.
Ihab Farhat, isterinya Hanan Ziour, dan anak-anak mereka Hassan, Zeinab dan Batoul Youssef Farhat terbunuh selepas sebuah jet Israel menyerang rumah mereka.
Dalam satu lagi serbuan di pekan al-Namiriya, juga di kawasan yang sama, empat orang terbunuh.
Amina Hashem dan saudara perempuannya Maryam Hashem, serta Saadallah Qubaisi dan isterinya Maryam, terbunuh dalam serangan ke atas pekan itu.
-
2 askar Israel cedera dalam letupan dron dekat sempadan Lubnan
Tentera Israel berkata pada Rabu, dua askar cedera apabila sebuah dron sarat dengan bahan letupan meletup di kawasan sempadan di utara Israel, lapor Anadolu.
Anadolu memetik penyiar awam Israel, tentera berkata bahawa “dua askar mengalami kecederaan sederhana dan ringan selepas sebuah dron letupan meletup dekat sempadan dengan Lubnan semalaman”.
Ia juga dilapor berkata, Tentera Udara Israel memintas “sasaran udara yang mencurigakan” yang dikesan di kawasan tempat pasukannya beroperasi di selatan Lubnan pada pagi Rabu.
Dron kumpulan Lubnan Hezbollah, terutama yang menggunakan teknologi gentian optik, semakin menimbulkan cabaran bagi Israel dan ancaman langsung kepada tentera dan penjajah Israel.
Pada akhir April, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilapor mengakui peluru berpandu dan dron Hezbollah merupakan “dua ancaman utama” dan menyeru komander tentera untuk menanganinya.
-
16 termasuk paramedik terbunuh dari malam tadi hingga Selasa di selatan Lubnan
Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 14 yang lain cedera dalam serangan Israel di seluruh selatan Lubnan semalaman dan hingga Selasa, lapor Xinhua memetik sumber keselamatan dan perubatan Lubnan.
Serangan udara semalaman ke atas sebuah rumah di kampung Kfardounine membunuh enam orang dan mencederakan tujuh orang, Xinhua memetik sumber tempatan.
Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan dilapor berkata, serangan yang menyasarkan pasukan pertahanan awam di bandar Nabatieh membunuh dua orang paramedik dan mencederakan seorang doktor wanita semasa mereka cuba menyelamatkan seorang yang cedera yang kemudiannya meninggal dunia.
Menurut Xinhua, Kementerian Kesihatan Awam Lubnan dalam satu kenyataan, menyifatkan serangan itu sebagai “bukti tambahan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel dan pengabaian norma antarabangsa”.
Dalam kejadian berasingan, serangan dron ke atas sebuah kenderaan di dataran pekan Doueir membunuh tiga penduduk yang sedang mengangkut seorang yang cedera dalam serangan terdahulu ke hospital, Xinhua memetik sumber tempatan.
Satu lagi serangan dron ke atas sebuah motosikal dekat Tyre membunuh seorang warga Syria dan mencederakan isterinya, menurut Xinhua memetik Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.
Serangan ke atas pekan Jibchit membunuh tiga orang lagi dan mencederakan empat yang lain, kata sumber tempatan, menurut Xinhua.
Kementerian itu dilapor berkata, jumlah kematian akibat serangan Israel di Lubnan sejak 2 Mac lalu telah meningkat kepada 2,882 orang, dengan 8,768 orang cedera setakat 12 Mei.
Di kampung Deir Mimas, sumber Lubnan melaporkan pasukan Israel menyusup masuk semalaman dan menanam bahan letupan di stesen pam air berkuasa solar. Kemudahan itu diletupkan pada waktu pagi, menyebabkan kerosakan teruk.
Pasukan Israel juga meletupkan beberapa buah rumah di bandar Bint Jbeil, Xinhua memetik sumber keselamatan Lubnan.
Sebagai tindak balas, Hizbullah dilapor berkata ia melancarkan roket dan dron yang menyasarkan askar Israel dekat sempadan.
Keganasan itu berlaku walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lubnan yang berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April, susulan pertempuran rentas sempadan yang semakin sengit selama berminggu-minggu terkait dengan konflik serantau yang lebih luas melibatkan Iran, lapor Xinhua.