Hizbullah

  • Tentera Israel dakwa ia bunuh lebih 220 pejuang Hizbullah di selatan Lubnan dalam seminggu lalu

    Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata pada Jumaat bahawa ia membunuh lebih 220 militan Hizbullah di selatan Lubnan sepanjang minggu lalu, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, IDF berkata dalam kenyataan, ia menyerang lebih 440 sasaran Hizbullah di selatan Lubnan dalam seminggu lalu, sambil menambah bahawa sasaran itu termasuk depot senjata Hizbullah yang menyimpan mortar dan peluru berpandu anti-kereta kebal, dan tapak dron.

    Xinhua melaporkan, IDF berkata dalam kenyataan berasingan, Hizbullah melancarkan projektil ke arah pasukan Israel di selatan Lubnan dan di utara Israel pada Jumaat, tanpa sebarang korban dilaporkan.

  • Hizbullah ikrar tidak benarkan kehadiran Israel di wilayah Lubnan

    Timbalan ketua majlis politik Hizbullah Mahmoud Qomati berkata pada Rabu bahawa kumpulan itu tidak akan membenarkan Israel kekal di wilayah Lubnan, menekankan bahawa Hizbullah menganggap dirinya bertanggungjawab untuk mempertahankan Lubnan, lapor Xinhua.

    Dalam temu bual dengan Al Jazeera Mubasher, rangkaian televisyen hal ehwal awam yang berpangkalan di Doha, Qomati menuduh Israel gagal memenuhi kewajipannya di bawah perjanjian gencatan senjata, dengan mengatakan bahawa serangan dan pelanggaran Israel yang berterusan membuktikan ia terus beroperasi melalui “logik kekerasan dan tekanan ketenteraan”.

    Dia mengimbas kembali pengunduran Israel dari selatan Lubnan pada 2000, yang katanya berada di bawah tekanan daripada pasukan penentangan, sambil menambah bahawa pilihan penentangan itu telah terbukti berkesan dalam menghadapi Israel dan menghalangnya daripada mengenakan realiti kekal di dalam wilayah Lubnan.

    Qomati menekankan “penentangan tidak bertanggungjawab atas kehadiran Israel di sempadan Lubnan” sambil menambah bahawa Hizbullah mempertahankan tanah dan kedaulatan Lubnan daripada “pencerobohan Israel yang berterusan”.

    Kenyataannya dibuat di tengah-tengah perdebatan domestik yang semakin meningkat di Lubnan mengenai masa depan senjata Hizbullah dan peranan penentangannya, ketika ketegangan berterusan di sepanjang sempadan selatan dan tekanan antarabangsa meningkat mengenai pelaksanaan gencatan senjata dan pengaturan pasca perang.

  • 16 termasuk paramedik terbunuh dari malam tadi hingga Selasa di selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 14 yang lain cedera dalam serangan Israel di seluruh selatan Lubnan semalaman dan hingga Selasa, lapor Xinhua memetik sumber keselamatan dan perubatan Lubnan.

    Serangan udara semalaman ke atas sebuah rumah di kampung Kfardounine membunuh enam orang dan mencederakan tujuh orang, Xinhua memetik sumber tempatan.

    Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan dilapor berkata, serangan yang menyasarkan pasukan pertahanan awam di bandar Nabatieh membunuh dua orang paramedik dan mencederakan seorang doktor wanita semasa mereka cuba menyelamatkan seorang yang cedera yang kemudiannya meninggal dunia.

    Menurut Xinhua, Kementerian Kesihatan Awam Lubnan dalam satu kenyataan, menyifatkan serangan itu sebagai “bukti tambahan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa oleh Israel dan pengabaian norma antarabangsa”.

    Dalam kejadian berasingan, serangan dron ke atas sebuah kenderaan di dataran pekan Doueir membunuh tiga penduduk yang sedang mengangkut seorang yang cedera dalam serangan terdahulu ke hospital, Xinhua memetik sumber tempatan.

    Satu lagi serangan dron ke atas sebuah motosikal dekat Tyre membunuh seorang warga Syria dan mencederakan isterinya, menurut Xinhua memetik Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.

    Serangan ke atas pekan Jibchit membunuh tiga orang lagi dan mencederakan empat yang lain, kata sumber tempatan, menurut Xinhua.

    Kementerian itu dilapor berkata, jumlah kematian akibat serangan Israel di Lubnan sejak 2 Mac lalu telah meningkat kepada 2,882 orang, dengan 8,768 orang cedera setakat 12 Mei.

    Di kampung Deir Mimas, sumber Lubnan melaporkan pasukan Israel menyusup masuk semalaman dan menanam bahan letupan di stesen pam air berkuasa solar. Kemudahan itu diletupkan pada waktu pagi, menyebabkan kerosakan teruk.

    Pasukan Israel juga meletupkan beberapa buah rumah di bandar Bint Jbeil, Xinhua memetik sumber keselamatan Lubnan.

    Sebagai tindak balas, Hizbullah dilapor berkata ia melancarkan roket dan dron yang menyasarkan askar Israel dekat sempadan.

    Keganasan itu berlaku walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lubnan yang berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April, susulan pertempuran rentas sempadan yang semakin sengit selama berminggu-minggu terkait dengan konflik serantau yang lebih luas melibatkan Iran, lapor Xinhua.

  • 7 terbunuh dalam serangan Israel ke atas selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan Israel di selatan Lubnan pada Isnin, menurut berita Xinhua memetik laporan Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.

    Dua orang terbunuh dan lima lagi cedera dalam serangan udara Israel di kampung Ebba di selatan Lubnan. Di daerah Bint Jbeil, dua orang terbunuh selepas serangan dron Israel menyasarkan kenderaan mereka di pekan Haris, dan seorang lagi terbunuh selepas dron Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pekan Yater.

    Dalam serangan dron Israel di daerah Nabatieh, Yahya Ali Kobeissi, seorang pemungut bil di perbandaran Zebdine, dan Hussein Ahmad Kobeissi terbunuh semasa mengedarkan roti kepada penduduk, menurut Xinhua memetik NNA.

    Dua paramedik dengan pasukan pertahanan awam Pertubuhan Kesihatan Islam cedera dalam serangan udara Israel ketika mereka menjalankan kerja bantuan.

    Sementara itu, tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan segera kepada penduduk di beberapa pekan dan kampung di selatan dan timur Lubnan, mencetuskan gelombang perpindahan baharu, dengan ratusan keluarga melarikan diri ke kawasan selamat berdekatan.

    Secara berasingan, Hizbullah berkata dalam kenyataan bahawa ia menyerang tentera Israel di beberapa kampung di selatan Lubnan pada Isnin, menggunakan dron bahan letupan dan serangan roket.

    Juga pada Isnin, penghantaran bantuan kemanusiaan dan perubatan, yang disediakan oleh EU (Kesatuan Eropah) dan kerajaan Perancis, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut Rafic Hariri.

  • 4 terbunuh, 3 cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan udara Israel pada Ahad di selatan Lubnan, meskipun gencatan senjata berkuat kuasa, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan, seorang penunggang motosikal terbunuh dalam serangan di pekan Haris, dan tiga lagi terbunuh dalam serangan di sebuah masjid di pekan Sammaaiyeh. Tiga lagi cedera di pekan Safad al-Battikh.

    Sementara itu, dua mayat ditemui pada Ahad dari kawasan Al-Maaliyeh di daerah Tyre susulan serangan udara Israel sehari sebelumnya, Xinhua memetik NNA.

    Pesawat perang Israel juga menjalankan serbuan di Nabatieh dan Tyre, memusnahkan beberapa rumah.

    Secara berasingan, ahli parlimen Hizbullah Hassan Fadlallah pada Ahad menolak sebarang langkah ke arah rundingan langsung dengan Israel, dengan mengatakan rundingan sedemikian “tidak akan menghasilkan keputusan” mahupun menjamin gencatan senjata yang komprehensif.

    Dia berikrar akan meneruskan operasi daripada Hizbullah terhadap tentera Israel.

    Terdahulu pada Ahad, tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk 11 kampung dan pekan di selatan Lubnan, termasuk beberapa yang terletak di luar kawasan pasukannya ditempatkan.

  • Pemimpin Hizbullah tolak kertas gencatan senjata diterbitkan oleh AS

    Naim Qassem, ketua kumpulan militan Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah, dalam satu kenyataan yang dibacakan di TV al-Manar kumpulan itu berkata sebuah kertas yang diterbitkan oleh Jabatan Negara AS yang digambarkannya sebagai teks perjanjian gencatan senjata antara Lubnan dan Israel “tidak bermakna apa-apa pada tahap praktikal, tetapi ia adalah satu penghinaan kepada negara kita”, lapor AP.

    “Semua orang tahu bahawa kerajaan Lubnan belum memenuhi atau meluluskan kenyataan ini,” dia dilapor berkata.

    Teks yang diterbitkan oleh AS menggambarkan gencatan senjata 10 hari itu sebagai isyarat oleh Israel “untuk membolehkan rundingan niat baik” ke arah perjanjian damai kekal dengan Lubnan.
    Teks itu memberi Israel “hak untuk mengambil semua langkah yang perlu dalam mempertahankan diri, pada bila-bila masa, terhadap serangan yang dirancang, akan datang, atau berterusan”.

    Ia tidak menyebut sebarang hak yang serupa untuk Lubnan atau Hizbullah, lapor AP.

    Qassem dilapor berkata, gencatan senjata itu harus melibatkan “penghentian sepenuhnya semua permusuhan” dan Hizbullah “akan bertindak balas terhadap pelanggaran musuh”.

  • Hizbullah kata gencatan senjata dengan Israel tidak boleh sebelah pihak, tangan pejuang pada picu

    Pemimpin Hizbullah, Naim Qassem, mengumumkan bahawa gencatan senjata 10 hari yang sedang berlangsung dengan Israel tidak boleh diteruskan melainkan kedua-dua pihak menegakkannya, lapor Al Jazeera.

    “Gencatan senjata bermaksud penghentian sepenuhnya semua permusuhan,” kata Qassem hari ini (Sabtu), menegaskan bahawa pejuangnya akan bertindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan.

    “Sebab kami tidak mempercayai musuh ini,” katanya, “pejuang penentangan akan kekal di medan perang dengan tangan mereka pada picu, dan mereka akan bertindak balas terhadap pelanggaran dengan sewajarnya.”

    “Tiada gencatan senjata dari pihak penentangan sahaja; ia mesti dari kedua-dua belah pihak,” kata Qassem.

  • Angka maut dalam perang Israel-Hizbullah di Lubnan meningkat melebihi 2,100

    Serangan Israel membunuh sejumlah 2,124 orang semasa perang enam minggu itu, kata kementerian kesihatan Lubnan, menurut berita AP, antaranya ialah 254 wanita, 168 kanak-kanak dan 88 petugas kesihatan. 6,921 lagi cedera.

  • Pemimpin Hizbullah gesa kerajaan Lubnan batalkan rundingan dengan Israel ketika pertempuran sedang berlangsung di pekan strategik

    Ketua Hizbullah Lubnan pada Isnin dilapor menggesa Lubnan untuk menarik diri daripada rundingan langsung dengan Israel yang dijadualkan berlangsung di Washington pada Selasa, rundingan pertama seumpamanya dalam beberapa dekad.

    Menurut berita AP, Naim Qassem berucap dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada malam pertemuan yang dijadualkan antara duta Lubnan dan Israel ke Amerika Syarikat, ketika kedua-dua pihak menetapkan rangka kerja untuk rundingan.

    Pusingan pertempuran terbaru dicetuskan oleh Hizbullah yang melepaskan roket ke utara Israel pada 2 Mac, selepas AS dan Israel menyerang Iran, penaung Hizbullah.

    Sekurang-kurangnya 2,055 orang telah terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan, kata Kementerian Kesihatan, antaranya 252 wanita, 165 kanak-kanak dan 87 pekerja perubatan, manakala 6,588 yang lain cedera, lapor AP, lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.

    Kerajaan Lubnan, yang mengatakan ia komited untuk melucutkan senjata Hizbullah, telah menyeru rundingan langsung pada awal perang. Minggu lalu, Israel mengumumkan kelulusan mereka terhadap rundingan itu, tetapi kedua-dua pihak nampaknya tidak sependapat.

    Lubnan berharap gencatan senjata sebagai prasyarat, sama seperti rundingan Iran dan AS yang diusahakan oleh Pakistan, lapor AP, walau bagaimanapun, Israel telah membingkaikan rundingan itu sebagai rundingan damai dengan perlucutan senjata Hizbullah sebagai keutamaan, tanpa menyebut gencatan senjata atau pengunduran tenteranya dari selatan Lubnan.

    “Kami menolak rundingan dengan entiti Israel. Rundingan ini tidak bermakna,” kata Naim dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, menyifatkannya sebagai “konsesi percuma” kepada Israel dan AS.

    “Peluang masih ada. Kami menyeru posisi bersejarah dan berani untuk membatalkan rundingan ini.”

    Dia menyeru agar gencatan senjata yang menghentikan perang terakhir Israel-Hizbullah pada tahun 2024 dikembalikan. Pada masa itu, rundingan dilakukan secara tidak langsung, dengan AS, Perancis dan misi pengaman PBB di selatan Lubnan menjadi perantara.

    Naim juga mengecam kerajaan Lubnan kerana menjenayahkan aktiviti ketenteraan Hizbullah dan pendekatan diplomatik yang berterusan dengan Israel, dengan mengatakan “ia tidak membawa kami sebarang langkah ke hadapan” serta keputusan kerajaan untuk mengusir duta Iran dari negara itu dan menjenayahkan kehadiran Pengawal Revolusi Iran.

    “Kami akan membiarkan barisan hadapan bersuara,” kata Naim.

  • Hizbullah dakwa serang 43 kedudukan Israel pada Ahad

    Kumpulan bersenjata Lubnan itu berkata ia melakukan 43 serangan ke atas kedudukan Israel di selatan Lubnan dan utara Israel pada Ahad, termasuk dengan roket dan dron, lapor Al Jazeera.

    Ini termasuk tentera Israel di dalam dan sekitar pekan Khiam, al-Bayyada, Bint Jbeil, Taybeh, dan Shama di selatan Lubnan dan kedudukan Israel di pekan Kiryat Shmnoa, Margaliot, Avivim, Metula dan Dataran Tinggi Golan Syria yang diduduki oleh Israel.

    Ia juga berkata ia menyasarkan beberapa berek dan pangkalan Israel, termasuk di Al-Aliqah, Beit Hillel, Gunung Neria, Filon, Yiftah dan Dishon.