Ukraine

  • Ibu negara Ukraine, Kyiv, dilanda serangan peluru berpandu dan dron

    Ibu negara Ukraine, Kyiv, dilanda serangan peluru berpandu dan dron besar-besaran awal pagi Ahad, sejurus selepas tentera udaranya memberi amaran bahawa Rusia mungkin melancarkan peluru berpandu balistik hipersonik Oreshnik, lapor Reuters.

    Letupan dilapor bergema di seluruh bandar sejurus selepas jam 1 pagi waktu tempatan selepas tentera udara mengumumkan ancaman pelancaran Oreshnik di saluran Telegramnya.
    Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dan beberapa bangunan kediaman rosak di seluruh bandar, kata Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, di Telegram, menurut Reuters.

  • 4 dilapor maut dalam serangan dron di Rusia

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam serangan dron Ukraine ke atas wilayah Rusia, termasuk Moscow, menurut berita Reuters.

    Tiga orang maut di wilayah Moscow dan seorang di wilayah Belgorod, lapor Reuters memetik pihak berkuasa pada Ahad.

  • Ukraine kata ia terima mayat 528 askar yang gugur dari Rusia

    Rusia menyerahkan mayat 528 askar yang gugur kepada Ukraine, Ibu Pejabat Penyelarasan Ukraine untuk Layanan Tahanan Perang mengumumkan pada Sabtu, menurut berita Anadolu.

    Anadolu melaporkan, menurut pihak berkuasa, mayat-mayat itu, yang menurut Rusia mungkin milik anggota tentera Ukraine, telah dikembalikan sebagai sebahagian daripada langkah penghantaran pulang.

    Menurut Anadolu, terdahulu pada Jumaat, agensi berita Tass melaporkan, memetik sumber, bahawa Rusia dan Ukraine telah menukar mayat askar yang gugur, dengan Rusia menyerahkan 526 dan menerima 41 mayat.

    Pada April, Rusia mengatakan ia menyerahkan 1,000 mayat askar yang gugur kepada Ukraine, manakala pihak Ukraine menyerahkan 41 mayat. Ukraine mengesahkan ia telah menerima 1,000 mayat tetapi tidak menyatakan berapa banyak mayat yang dipindahkan ke Rusia, lapor Anadolu.

    Pada 2 Februari 2026, Kementerian Luar Rusia berkata bahawa sejak Jun 2025, lebih daripada 12,000 mayat telah diserahkan kepada Ukraine, manakala Rusia telah menerima lebih daripada 200 mayat anggota tenteranya, menurut Anadolu.

    Menurut Anadolu, kementerian itu juga berkata bahawa 17 pusingan pertukaran tawanan perang dan tahanan antara Rusia dan Ukraine, yang dianjurkan dengan pengantaraan oleh UAE pada 2024 dan 2025, telah mengakibatkan pembebasan lebih daripada 4,000 orang.

  • Dron dari Rusia terhempas di Latvia, cetus amaran udara – tentera

    Beberapa dron memasuki ruang udara Latvia dari Rusia awal Khamis, dengan dua terhempas di wilayah timur Latgale, lapor Angkatan Tentera Nasional (NAF), menurut berita Xinhua.

    Amaran mudah alih telah dikeluarkan kepada penduduk di daerah Ludza, Balvi, dan Rezekne pada awal pagi, kata NAF, sambil menambah bahawa amaran udara kemudiannya ditarik balik dan unit pertahanan udara tambahan telah dikerahkan di sepanjang sempadan timur.

    Semua sekolah di Rezekne ditutup, di mana sekurang-kurangnya satu dron terhempas ke dalam kemudahan penyimpanan minyak, lapor agensi berita Latvia LETA. Pelajar di Ludza dan Balvi beralih kepada pembelajaran jarak jauh.

    Masih belum jelas sama ada dron itu berasal dari Rusia atau Ukraine, menurut Xinhua, (malah) baru-baru ini, dron Ukraine yang dilancarkan terhadap sasaran Rusia telah berulang kali menyimpang dari haluan dan terbang ke Latvia dan Estonia.

  • Rusia gesa negara asing pindah diplomat dari ibu negara Ukraine

    Rusia pada Rabu menggesa negara asing untuk memindahkan diplomat dan kakitangan mereka yang lain dari ibu negara Ukraine, Kyiv, kerana kemungkinan “serangan balas” jika Ukraine melakukan serangan di tengah-tengah sambutan Hari Kemenangan pada 9 Mei, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, dalam satu kenyataan, berkata satu nota telah dihantar kepada semua misi diplomatik asing dan pejabat perwakilan organisasi antarabangsa yang diiktiraf dengan kementerian.

  • Zelenskyy umum pembaharuan dalam tentera Ukraine, termasuk kenaikan gaji

    Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengumumkan pada Jumaat pelancaran “reformasi tentera” yang merangkumi kenaikan “ketara” dalam gaji tentera, menurut berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan di X, Zelenskyy berkata, bidang utama pembaharuan dipersetujui sejak bulan lalu dan semua butiran penting akan dimuktamadkan pada Mei.

    “Pada Jun, pembaharuan akan bermula – dan keputusan pertama mesti disampaikan pada Jun, terutama dalam bidang sokongan kewangan untuk askar, sarjan dan komander Angkatan Pertahanan Ukraine,” Zelenskyy dilapor sebagai berkata.

  • 2 maut dalam kemalangan tren dan trak kren di Ukraine

    Dua orang terbunuh pada Jumaat apabila sebuah tren penumpang berlanggar dengan sebuah trak kren di wilayah Lviv barat Ukraine, lapor syarikat kereta api Ukraine, Ukrzaliznytsia, menurut berita Xinhua.

    Dilaporkan, kereta api yang dalam perjalanan dari Kiev ke Uzhhorod di barat Ukraine berlanggar dengan trak di lintasan aras, mengorbankan pemandu tren di tempat kejadian.

    Pemandu trak kren dilaporkan cedera dan kemudian meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital, manakala pembantu pemandu tren parah dalam kemalangan itu.

    Kira-kira 400 penumpang dilaporkan berada di dalam tren pada masa kemalangan, dan tiada sesiapa cedera.

  • Angka maut akibat tembakan di Kyiv meningkat kepada tujuh

    Seorang lelaki yang terkena tembakan di daerah Kyiv pada Sabtu meninggal dunia di hospital, menjadikan jumlah korban dalam insiden itu kepada tujuh orang, kata Datuk Bandar Vitali Klitschko pada Isnin, menurut laporan Reuters.

    Seorang lelaki kelahiran Rusia dilaporkan menyerang orang yang lalu-lalang dengan senapang automatik pada Sabtu sebelum mengurung dirinya di sebuah pasar raya bersama tebusan, di mana dia ditembak mati oleh polis.

    “Mangsa berada dalam keadaan yang sangat parah. Doktor-doktor berjuang untuk nyawanya, tetapi malangnya mereka tidak dapat menyelamatkannya,” kata Klitschko di aplikasi pesanan Telegram, menurut Reuters.

  • 1 terbunuh dalam serangan dron Ukraine ke atas pelabuhan Rusia

    Seorang terbunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan dron Ukraine di bandar pelabuhan Laut Hitam Rusia, Tuapse, kata gabenor wilayah Veniamin Kondratyev pada Isnin, lapor Xinhua.

    “Tuapse mengalami satu lagi serangan dron besar-besaran malam tadi … seorang lelaki meninggal dunia di pelabuhan,” kata Kondratyev, sambil menambah bahawa orang yang cedera itu “menerima semua rawatan perubatan yang diperlukan”.

    Dia dilapor berkata, serangan itu juga mencetuskan kebakaran di pelabuhan Tuapse, merosakkan infrastruktur awam di bandar itu.

  • Sekurang-kurangnya 15 dilapor terbunuh, berpuluh-puluh cedera dalam serangan Rusia ke atas Ukraine

    Rusia dilapor menyerang Ukraine pada waktu malam antara Rabu dan Khamis dengan peluru berpandu dan dron, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.

    Di Kiev, empat orang terbunuh dan 54 yang lain cedera, termasuk pegawai polis, petugas kesihatan dan dua warga asing, kata Pejabat Pendakwa Raya Bandar Kiev, menurut berita Xinhua.

    Serangan itu menyebabkan kerosakan meluas, melanda 17 bangunan pangsapuri, 10 rumah persendirian, sebuah hotel, pusat pejabat, pengedar kereta, stesen minyak, dan pusat beli-belah.

    Di bandar selatan Odesa, pelbagai gelombang serangan mengorbankan lapan orang dan mencederakan 16 orang, kata Serhiy Lysak, ketua Pentadbiran Ketenteraan Bandar Odesa, menurut Xinhua, beberapa bangunan rosak, dan lebih 300 tingkap pecah.

    Di wilayah tengah Dnipropetrovsk, tiga orang terbunuh dan 34 orang cedera, menurut pentadbiran tentera serantau, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, tentera udara Ukraine melaporkan Rusia melancarkan 659 dron tempur dan 44 peluru berpandu dalam tempoh 24 jam lalu, dengan pertahanan udara memintas 636 dron dan 31 peluru berpandu.