Rusia dilapor menyerang Ukraine pada waktu malam antara Rabu dan Khamis dengan peluru berpandu dan dron, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Di Kiev, empat orang terbunuh dan 54 yang lain cedera, termasuk pegawai polis, petugas kesihatan dan dua warga asing, kata Pejabat Pendakwa Raya Bandar Kiev, menurut berita Xinhua.
Serangan itu menyebabkan kerosakan meluas, melanda 17 bangunan pangsapuri, 10 rumah persendirian, sebuah hotel, pusat pejabat, pengedar kereta, stesen minyak, dan pusat beli-belah.
Di bandar selatan Odesa, pelbagai gelombang serangan mengorbankan lapan orang dan mencederakan 16 orang, kata Serhiy Lysak, ketua Pentadbiran Ketenteraan Bandar Odesa, menurut Xinhua, beberapa bangunan rosak, dan lebih 300 tingkap pecah.
Di wilayah tengah Dnipropetrovsk, tiga orang terbunuh dan 34 orang cedera, menurut pentadbiran tentera serantau, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, tentera udara Ukraine melaporkan Rusia melancarkan 659 dron tempur dan 44 peluru berpandu dalam tempoh 24 jam lalu, dengan pertahanan udara memintas 636 dron dan 31 peluru berpandu.