Lubnan

  • Sekurang-kurangnya 7 terbunuh dalam serangan baharu Israel di selatan Lubnan

    Serangan baharu Israel membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang di selatan Lubnan pada Ahad meskipun gencatan senjata berterusan, menurut berita Anadolu memetik media Lubnan.

    Tiga orang terbunuh dalam serangan udara di pekan Safad al-Batikh, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) dikendalikan kerajaan.

    Satu lagi serangan udara dekat Tyre mengorbankan tiga orang – dua rakyat Syria dan seorang rakyat Mesir, Anadolu memetik NNA.

    Seorang lagi terbunuh apabila sebuah dron melanda sebuah motosikal di kawasan sama.

    Dilaporkan, pada 2 Mac lalu, tentera Israel telah melancarkan serangan yang diperluas di Lubnan, mengorbankan lebih 2,600 orang dan menyebabkan lebih 1.6 juta orang lain kehilangan tempat tinggal.

  • 4 terbunuh, 3 cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

    Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan udara Israel pada Ahad di selatan Lubnan, meskipun gencatan senjata berkuat kuasa, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan, seorang penunggang motosikal terbunuh dalam serangan di pekan Haris, dan tiga lagi terbunuh dalam serangan di sebuah masjid di pekan Sammaaiyeh. Tiga lagi cedera di pekan Safad al-Battikh.

    Sementara itu, dua mayat ditemui pada Ahad dari kawasan Al-Maaliyeh di daerah Tyre susulan serangan udara Israel sehari sebelumnya, Xinhua memetik NNA.

    Pesawat perang Israel juga menjalankan serbuan di Nabatieh dan Tyre, memusnahkan beberapa rumah.

    Secara berasingan, ahli parlimen Hizbullah Hassan Fadlallah pada Ahad menolak sebarang langkah ke arah rundingan langsung dengan Israel, dengan mengatakan rundingan sedemikian “tidak akan menghasilkan keputusan” mahupun menjamin gencatan senjata yang komprehensif.

    Dia berikrar akan meneruskan operasi daripada Hizbullah terhadap tentera Israel.

    Terdahulu pada Ahad, tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk 11 kampung dan pekan di selatan Lubnan, termasuk beberapa yang terletak di luar kawasan pasukannya ditempatkan.

  • Jumlah korban Lubnan dalam serangan terbaru Israel cecah 2,659

    Jumlah korban dalam serangan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac lalu mencecah 2,659, dengan 8,183 yang lain cedera, menurut berita Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Lubnan pada Sabtu.

    Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, 41 orang terbunuh dan 11 yang lain cedera dalam serbuan Israel sejak 24 jam lalu.

    Israel melancarkan serangan di Lubnan susulan tindakan balas Hizbullah yang dikaitkan dengan perang Iran.

    Selain mangsa terkorban, serangan itu telah menyebabkan lebih 1 juta orang kehilangan tempat tinggal.

    Gencatan senjata selama 10 hari bermula pada 17 April kemudiannya dilanjutkan sehingga pertengahan Mei, tetapi Israel terus melanggarnya setiap hari melalui serangan udara dan perobohan rumah.

  • 12 termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh akibat serangan Israel di selatan Lubnan

    Kementerian Kesihatan Lubnan berkata jumlah kematian akibat serangan Israel ke atas pekan Habboush di kawasan Nabatieh meningkat kepada lapan orang, menurut berita Al Jazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.

    Dilaporkan, mereka yang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dan dua wanita.

    Dua puluh satu orang cedera, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, kata kementerian itu.

    Serangan Israel ke atas pekan Zrarieh di daerah Sidon membunuh 4 orang, termasuk dua wanita, dan mencederakan empat orang, menurut Al Jazeera memetik NNA.

  • Angka maut di Lubnan sejak serangan Israel lebih 2,600

    Jumlah kematian akibat serangan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac mencecah 2,618 orang, dengan 8,094 orang cedera, lapor Anadolu memetik Kementerian Kesihatan Lubnan pada Jumaat.

    Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata 32 orang terbunuh dan 74 yang lain cedera akibat serbuan Israel sejak 24 jam lalu.

    Israel melancarkan serangan di Lubnan susulan tindakan balas Hizbullah yang dikaitkan dengan konflik Iran, menyebabkan lebih 1 juta orang kehilangan tempat tinggal.

    Gencatan senjata selama 10 hari yang bermula pada 17 April kemudiannya dilanjutkan sehingga 17 Mei, tetapi Israel terus melanggarnya setiap hari melalui serangan udara dan perobohan rumah, lapor Anadolu.

    Israel juga mengekalkan apa yang digambarkannya sebagai “zon penampan” di selatan Lubnan, dengan mengatakan ia bertujuan untuk mencegah serangan daripada Hizbullah. Gencatan senjata sebelumnya dicapai pada November 2024.

  • Tentera Israel dilapor roboh biara Kristian, sekolah biarawati di selatan Lubnan

    Tentera Israel merobohkan sebuah biara dan sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Sisters of the Holy Savior di pekan Yaroun di selatan Lubnan, menurut berita Anadolu memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA) pada Jumaat.

    Dilaporkan, sekolah itu dianggap sebagai salah satu institusi pendidikan paling terkemuka di rantau itu, setelah mendidik ribuan pelajar selama bertahun-tahun dari pelbagai pekan di daerah Bint Jbeil.

  • ‘Di mana gencatan senjata?’ tanya speaker parlimen Lubnan

    Nabih Berri, penggubal undang-undang tertinggi Lubnan, menyatakan keraguan mengenai rundingan langsung dengan Israel – satu dasar diketuai oleh Presiden Joseph Aoun dan Perdana Menteri Nawaf Salam, lapor Al Jazeera.

    Berri, sekutu Hizbullah, memberitahu akhbar Asharq Al-Awsat bahawa tiada gunanya mengadakan rundingan di bawah tekanan.

    Dia juga menekankan bahawa dakwaan “gencatan senjata” yang diumumkan oleh Trump di Lubnan hanya membenarkan Israel “meningkatkan pencerobohannya” tanpa sebarang campur tangan daripada pentadbiran AS.

    “Di manakah gencatan senjata ini? Dan adakah Israel telah menghentikan pemusnahan pekan-pekan, perobohan rumah, penumpahan darah kanak-kanak, wanita, dan warga emas secara kejam, dan halangannya terhadap pasukan ambulans yang cuba menyelamatkan mereka yang cedera dan mengangkut mereka ke hospital – atau untuk mendapatkan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan,” kata Berri.

  • Wanita dilapor terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

    Menurut berita Al Jazeera, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) melaporkan serangan udara Israel yang menyasarkan pekan Harouf di daerah Nabatieh di selatan Lubnan membunuh seorang wanita.

    Serangan itu juga menyebabkan tiga orang cedera, termasuk seorang kanak-kanak.

    Al Jazeera melaporkan, menurut NNA, jumlah kematian di seluruh Lubnan akibat serangan Israel hari ini (Khamis) mencecah 32 orang.

  • 2 lagi terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Serangan udara Israel di pekan Qana, selatan Lubnan mengorbankan dua orang, menurut berita Al Jazeera memetik media Lubnan.

    Dilaporkan sebelum ini 14 orang terbunuh akibat serangan Israel di selatan Lubnan.

  • 5 lagi termasuk 4 sekeluarga terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

    Satu serangan udara baharu Israel ke atas sebuah rumah di pekan selatan Jebchit mengorbankan empat sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak, menurut berita Al Jazeera memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.

    NNA dilapor berkata, serangan Israel melanda sebuah rumah berasingan di pekan Toul, membunuh seorang dan mencederakan dua orang.

    Kematian yang dilaporkan menambah jumlah kematian sebelum ini iaitu sembilan orang yang terbunuh dalam serangan Israel sebelumnya di selatan Lubnan walaupun gencatan senjata diisytiharkan.