9 terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

Serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang di selatan Lubnan pada Jumaat, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.

Serangan dron Israel ke atas sebuah kereta di bandar Nabatieh membunuh dua orang yang dilaporkan sedang mengumpul bantuan makanan dan mencederakan orang ketiga.

Serangan udara semalaman di pekan Harouf membunuh empat orang, diikuti dengan dua lagi serangan yang membunuh tiga orang dan mencederakan empat yang lain, lapor Xinhua memetik NNA.

Manakala Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan, menurut Xinhua, berkata bahawa serangan ke atas beberapa pekan di daerah Tyre mencederakan sekurang-kurangnya 37 orang, termasuk kakitangan perubatan, wanita dan kanak-kanak.

Tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan untuk beberapa pekan di selatan Lubnan.

Menurut Xinhua, Hizbullah berkata ia menyasarkan dron Israel, tentera, jentolak tentera dan kereta kebal Merkava di beberapa kawasan di selatan Lubnan.

Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan berkata, serangan Israel antara 2 Mac dan 15 Mei membunuh 2,951 orang dan mencederakan 8,988 orang, lapor Xinhua.