Sekurang-kurangnya 3 maut, 26 cedera dalam kebakaran besar di pusat beli-belah dekat ibu negara Iran

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 26 yang lain cedera dalam kebakaran besar yang meletus pada Selasa di sebuah pusat beli-belah kira-kira 30 km barat ibu negara Iran, Tehran, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi IRNA.

Pusat beli-belah itu, yang dinamakan Kompleks Komersial Arghavan, terletak di bandar Andisheh. Bangunan itu menempatkan lebih 250 unit komersial.

Menurut Xinhua, Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA) memetik Ali Paidaran, ketua jabatan bomba bandar Andisheh, sebagai berkata bahawa kebakaran itu dilaporkan pada jam 16:40 waktu tempatan (1310 GMT), selepas itu pasukan pemadam kebakaran segera dihantar.

Paidaran dilapor berkata, kebakaran itu merebak disebabkan oleh bahan komposit yang digunakan di bahagian hadapan bangunan.