Tiga rakyat Palestin terbunuh di Gaza dalam serangan Israel

Ketika perhatian global tertumpu pada perang di Iran, pasukan Israel meneruskan serangan mereka ke atas Jalur Gaza, menurut berita Aljazeera.

Seorang lelaki Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas pasukan Israel menyerang sebuah kenderaan awam di pintu masuk kem pelarian Maghazi, Aljazeera memetik agensi berita Palestin Wafa.

Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah.

Dalam serangan berasingan, dua orang terbunuh dalam serangan udara Israel di sebuah kawasan kejiranan di timur bandar Gaza, lapor Aljazeera.

Jumlah kematian akibat serangan Israel sejak apa yang dipanggil “gencatan senjata” tahun lalu telah mencecah 709, dengan sekurang-kurangnya 1,928 cedera.

Sejak Oktober 2023, jumlah rakyat Palestin yang terbunuh telah meningkat kepada 72,291, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, lapor Aljazeera memetik Wafa.