Gaza

  • Jihad Islam Palestin kata Israel sasar pejuangnya di Gaza, lima maut

    Kumpulan bersenjata Palestin itu berkata tentera Israel menyasarkan “sebilangan ahli pergerakan itu di Jalur Gaza”, mengakibatkan pembunuhan lima pejuang serta beberapa korban awam, lapor Al Jazeera.

    Serangan itu mengesahkan pelanggaran berterusan Israel terhadap ‘gencatan senjata’, kata satu kenyataan, dengan menyatakan serangan itu berlaku semasa rundingan damai berlangsung di Mesir.

    Tentera Israel berkata sebelum ini bahawa ia membunuh dua komander PIJ (Jihad Islam Palestin) dalam serangan pada Isnin di selatan Gaza.

    Rundingan Hamas-Israel di Kaherah bertujuan untuk menyelamatkan ‘gencatan senjata’ yang diusahakan oleh AS, ditandatangani pada Oktober 2025, yang telah berulang kali dilanggar oleh tentera Israel, dengan lebih daripada 900 rakyat Palestin terbunuh sejak itu.

  • Budak maut akibat serangan udara Israel sebelumnya ke atas Gaza

    Seorang kanak-kanak meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam serangan udara Israel ke atas bandar Gaza sebelum ini, lapor Al Jazeera memetik sumber di Hospital al-Shifa memberitahunya.

  • 3 termasuk budak maut dalam serangan Israel di Gaza

    Pesawat Israel membunuh tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, dalam serangan ke atas kem pelarian Jabalia di utara Gaza, lapor Al Jazeera.

    Menurut Al Jazeera, agensi berita WAFA melaporkan, serangan udara itu menghentam perhimpunan orang ramai di kem itu pada petang Isnin, membunuh tiga orang dan mencederakan beberapa orang lain yang tidak dikenali.

    Sembilan lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Jalur Gaza dalam 24 jam lalu.

  • 5 maut, 10 cedera apabila pesawat perang Israel tembak peluru berpandu ke atas pos polis di Gaza

    Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dan lebih 10 yang lain cedera pada Ahad dalam serangan udara Israel menyasarkan pos polis Hamas di kawasan al-Mawasi, barat Khan Younis di selatan Jalur Gaza, lapor Xinhua memetik sumber perubatan dan keselamatan Palestin.

    Menurut Xinhua, direktorat am polis dikendalikan oleh Hamas berkata dalam kenyataan akhbar bahawa pesawat Israel telah melepaskan dua peluru berpandu ke arah pos polis di kawasan itu, mengakibatkan korban.

    Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dilapor berkata dalam kenyataan akhbar bahawa krunya mengangkut mayat lima mangsa dan lebih 10 individu yang cedera dari lokasi serangan ke hospital medan persatuan di al-Mawasi.

    Menurut Xinhua, saksi mata berkata, mangsa membabitkan pegawai polis dan orang awam yang berada di kawasan itu.

  • 5 maut ketika hadir majlis perkahwinan di Gaza apabila khemah dibom Israel

    Menurut Al Jazeera, Hani Mahmoud melaporkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh ketika menghadiri majlis perkahwinan di bandar Gaza selepas Israel mengebom khemah perkahwinan terbabit.

    Serangan itu dilakukan oleh dua peluru berpandu, kata Hani, dan bilangan orang yang terbunuh dijangka meningkat.

    Menurut Al Jazeera, sumber di Hospital Al-Shifa memberitahu rakan sekerjanya di lapangan bahawa lebih sedozen orang cedera dalam serangan itu.

  • Tiga dilapor terbunuh di Khan Younis akibat dron Israel, lima cedera di bandar Gaza

    Menurut Al Jazeera, agensi berita Palestin WAFA melaporkan, tiga orang terbunuh awal pagi ini dalam serangan Israel ke atas bandar Khan Younis di selatan Gaza.

    Sebuah dron Israel menyasarkan mangsa di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis, Al Jazeera memetik WAFA, menyebabkan tiga orang terbunuh dan yang lain cedera.

    Bedilan berasingan Israel juga mencederakan rakyat Palestin di kawasan yang sama, lapor Al Jazeera memetik WAFA.

    Di utara jalur itu, lima orang cedera dalam serangan Israel di Jalan Yarmouk di bandar Gaza, lapor Al Jazeera memetik laporan itu.

  • 7 rakyat Palestin cedera dalam serangan Israel ke atas bangunan kediaman di tengah Gaza

    Tujuh rakyat Palestin cedera awal Jumaat dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman di tengah bandar Gaza tanpa amaran terlebih dahulu, lapor Anadolu memetik sumber perubatan.

    Menurut Anadolu, saksi berkata sebuah helikopter Israel menyerang gudang komersial yang terletak di bawah bangunan Haraz dekat Stadium Yarmouk di tengah bandar Gaza, menyebabkan kecederaan itu.

    Menurut Anadolu, Direktorat Pertahanan Awam Gaza dalam satu kenyataan berasingan berkata, krunya telah memadamkan kebakaran yang berlaku di lokasi terbabit susulan serangan dan memindahkan beberapa orang yang cedera.

    Dalam kejadian berasingan, sumber tempatan dilapor berkata pasukan tentera laut Israel melepaskan tembakan mesingan dan membedil bot nelayan dan pesisir pantai bandar Gaza.

    Artileri Israel juga membedil kawasan timur kawasan kejiranan Al-Tuffah di timur bandar Gaza, disertai dengan tembakan daripada kenderaan tentera, walaupun tiada korban jiwa dilaporkan serta-merta, menurut Anadolu.

  • 3 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron Israel di pusat pemeriksaan keselamatan di selatan Gaza

    Serangan dron Israel di pusat pemeriksaan keselamatan Palestin membunuh tiga rakyat Palestin dan mencederakan yang lain di kawasan Al-Mawasi di barat Khan Younis, kata sumber perubatan pada Khamis, lapor Anadolu.

    Terdahulu, tiga rakyat Palestin mengalami kecederaan ringan dalam serangan Israel yang menyasarkan gudang makanan dan tanah kosong di kawasan yang sama.

    Menurut Anadolu, saksi memberitahunya, serangan itu mencetuskan kebakaran di beberapa khemah yang melindungi rakyat Palestin terlantar berdekatan.

    Dalam pada itu, Anadolu melaporkan, di bandar Gaza, sumber perubatan berkata seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan orang awam berkumpul di belakang Masjid Imam Al-Shafi’i di kawasan kejiranan Zeitoun.

    Arteri Israel juga membedil kawasan dekat persimpangan Al-Sanafour di kawasan kejiranan Al-Tuffah di timur bandar Gaza, lapor Anadolu memetik saksi.

    Pada Rabu, hari pertama cuti Aidiladha, 10 rakyat Palestin terbunuh, termasuk dua kanak-kanak perempuan dan dua wanita, dan 18 yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah dekat Menara Al-Israa di Jalan Omar Al-Mukhtar di tengah bandar Gaza, lapor Anadolu.

  • 7 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Aidiladha di Gaza ketika Israel kata sasar tokoh Hamas

    Sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin terbunuh dan 18 yang lain cedera pada petang Rabu dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di tengah bandar Gaza, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, sementara tentera Israel berkata ia menyasarkan dua tokoh kanan Hamas di kawasan terbabit, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Persatuan Bulan Sabit Merah berkata dalam satu kenyataan akhbar, krunya memindahkan mayat sekurang-kurangnya tujuh mangsa dan 18 orang yang cedera susulan serangan udara Israel yang melanda sebuah rumah kediaman di tengah bandar Gaza.

    Mereka yang cedera dibawa ke Hospital Medan Al-Saraya persatuan itu, Xinhua memetik kenyataan itu.

    Menurut Xinhua, sumber tempatan dan saksi mata memberitahunya, pesawat perang Israel melepaskan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu ke arah rumah itu, menyebabkan letupan besar, kebakaran, dan serpihan terbang.

    Sumber itu dilapor berkata, jumlah kematian dan kecederaan boleh meningkat, sambil menambah bahawa serangan itu menyebabkan kemusnahan meluas di kawasan sekitarnya, di mana sebuah kem yang melindungi berpuluh-puluh keluarga kehilangan tempat tinggal berada, merosakkan banyak khemah di sana.

    Menurut Xinhua, tentera Israel dalam satu kenyataan ringkas mengesahkan melancarkan serangan itu, dengan mengatakan ia menyasarkan dua tokoh utama Hamas di Jalur Gaza tanpa memberikan butiran lanjut.

  • Hamas kata komander kanan Al-Qassam, Mohammed Awda, terbunuh dalam serangan Israel

    Hamas pada Rabu mengumumkan pembunuhan Mohammed Awda, seorang tokoh kanan dalam sayap bersenjatanya, Briged Al-Qassam, susulan serangan Israel di bandar Gaza, menurut berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan, Hamas berkata Awda terbunuh pada petang Selasa bersama isteri dan dua anak lelakinya dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman.

    Kumpulan itu menyifatkan Awda sebagai “komander kanan Qassam” dan berkata dia tergolong dalam “generasi pertama yang meletakkan asas untuk operasi penentangan bersenjata dan militan”.

    Menurut Anadolu, terdahulu pada Rabu, tentera Israel berkata ia telah membunuh Awda dalam serangan di utara Gaza, mendakwa bahawa dia baru-baru ini dipilih sebagai komander baharu sayap bersenjata Hamas.

    Menurut Anadolu, media Israel juga melaporkan spekulasi bahawa Awda telah dilantik ke jawatan itu susulan pembunuhan Izz al-Din al-Haddad baru-baru ini.

    Pada Selasa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel Katz juga dilapor berkata, tentera telah menyasarkan Awda dalam serangan udara di Bandar Gaza.

    Kenyataan Israel itu dilaporkan susulan pengeboman sengit di kawasan padat penduduk di tengah bandar Gaza menjelang Aidiladha.