Angola

  • 28 maut dalam runtuhan lombong di Bengo Angola

    Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh pada Sabtu dalam kejadian tanah runtuh di lombong emas haram di perbandaran Nambuangongo, wilayah Bengo utara Angola, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, jurucakap polis Gaspar Luis Inacio berkata, 13 daripada mangsa adalah ahli keluarga sama, sambil menambah bahawa dua orang masih hilang.

    Francisco Rodrigues, penyelia kesihatan di Hospital Pusat Bengo, dilapor berkata sekurang-kurangnya tiga orang yang cedera menerima rawatan di hospital.

  • Hujan lebat dilapor menyebabkan 15 orang maut di Angola

    Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 14 yang lain cedera di Angola dalam 24 jam lalu selepas hujan lebat melanda beberapa wilayah di negara itu, lapor Xinhua pada Ahad memetik media tempatan.

    Xinhua memetik Agora Aguenta dalam satu catatan media sosial, 12 daripada kematian direkodkan di Wilayah Benguela dan tiga di ibu negara, Luanda. Mereka yang cedera membabitkan 10 orang di Benguela, seorang di Huambo, dan tiga di Luanda.

    Lima orang juga dilaporkan hilang, membabitkan tiga di Luanda dan dua di Benguela.

    Di Luanda, pihak berkuasa berkata kira-kira 4,180 rumah telah ditenggelami air, dengan kerosakan yang ketara pada infrastruktur, termasuk dua pencawang elektrik. Jalan-jalan telah ditenggelami air dan rumah-rumah terjejas, manakala kerosakan alam sekitar termasuk pokok tumbang dan limpahan dua lembangan takungan.

    Pasukan kecemasan telah dikerahkan ke kawasan paling teruk terjejas, terutama di majlis perbandaran Mulenvos, Camama, dan Cacuaco di Wilayah Luanda, di mana mereka menjalankan penilaian kerosakan dan membantu penduduk terjejas.