Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 14 yang lain cedera di Angola dalam 24 jam lalu selepas hujan lebat melanda beberapa wilayah di negara itu, lapor Xinhua pada Ahad memetik media tempatan.
Xinhua memetik Agora Aguenta dalam satu catatan media sosial, 12 daripada kematian direkodkan di Wilayah Benguela dan tiga di ibu negara, Luanda. Mereka yang cedera membabitkan 10 orang di Benguela, seorang di Huambo, dan tiga di Luanda.
Lima orang juga dilaporkan hilang, membabitkan tiga di Luanda dan dua di Benguela.
Di Luanda, pihak berkuasa berkata kira-kira 4,180 rumah telah ditenggelami air, dengan kerosakan yang ketara pada infrastruktur, termasuk dua pencawang elektrik. Jalan-jalan telah ditenggelami air dan rumah-rumah terjejas, manakala kerosakan alam sekitar termasuk pokok tumbang dan limpahan dua lembangan takungan.
Pasukan kecemasan telah dikerahkan ke kawasan paling teruk terjejas, terutama di majlis perbandaran Mulenvos, Camama, dan Cacuaco di Wilayah Luanda, di mana mereka menjalankan penilaian kerosakan dan membantu penduduk terjejas.