Lombong runtuh, 9 maut di barat laut Pakistan

Sembilan pekerja terbunuh dan tiga lagi cedera selepas sebuah lombong marmar runtuh di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan pada Selasa, kata pegawai, menurut berita Xinhua.

Kejadian itu berlaku di kawasan Rustam di daerah Mardan, di mana pekerja terperangkap di bawah serpihan apabila lombong itu runtuh, kata jurucakap Rescue 1122.

Pasukan penyelamat menemui 12 pekerja dari tapak terbabit. Sembilan maut, manakala yang cedera telah dipindahkan ke hospital berdekatan.

Shafi Jan, pembantu khas ketua menteri di wilayah itu, mengucapkan takziah dan berkata usaha menyelamat sedang dijalankan bawah pihak berkuasa daerah.