Seorang bekas perdana menteri Israel mengakui pada Selasa, Israel telah menyeludup penerima internet Starlink ke Iran untuk membantu peserta protes anti-kerajaan, namun dia berkata kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu gagal melaksanakan rancangan itu, menurut berita Reuters.
Menurut Reuters, Naftali Bennett, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 2021 hingga 2022, memberitahu hadirin di Sidang Kemuncak Dasar Antarabangsa JNS di Jerusalem bahawa dia telah memulakan “proses memperoleh dan menyeludup ke Iran puluhan ribu reseptor Starlink yang akan membolehkan kesinambungan internet dan rangkaian sosial”.
Starlink, dimiliki oleh SpaceX milik Elon Musk, menyediakan sambungan internet satelit, menurut Reuters, Iran sebelum ini menuduh Israel dan Amerika Syarikat menyeludup masuk peranti itu untuk menjejaskan keselamatannya.
Starlink tidak dilesenkan untuk beroperasi di Iran tetapi Musk sebelum ini berkata perkhidmatan itu aktif di sana, menurut Reuters.
Bennett dilapor berkata, peranti itu bertujuan untuk membolehkan peserta protes menyelaras dan akhirnya menggulingkan kerajaan Iran.
“Malangnya, kerajaan Israel yang tidak cekap sekarang berhenti berbuat demikian,” katanya.
“Dan apabila protes itu berlaku, infrastruktur itu tidak ada di sana.”
Menurut Reuters, pejabat Netanyahu tidak segera menjawab soalan mengenai kenyataan Bennett dan SpaceX tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen di luar waktu perniagaan AS.
Pihak berkuasa Iran telah menutup akses orang ramai ke internet semasa tempoh pergolakan, termasuk semasa protes berdarah di seluruh negara pada Januari dan semasa perang AS dan Israel ke atas Iran yang bermula pada akhir Februari.
Menurut Reuters, ia sebelum ini melaporkan bahawa sesetengah rakyat Iran beralih kepada Starlink, semasa gangguan internet.
Bennett, ketua parti sayap kanan dan seorang daripada beberapa ahli politik pembangkang yang bertanding untuk menggantikan Netanyahu dalam pilihan raya yang dijadualkan menjelang Oktober, berkata jika dia kembali memegang jawatan, dia akan berusaha untuk melemahkan kerajaan Iran dengan tujuan untuk menggulingkannya, menurut Reuters.
Itu mungkin termasuk langkah selain serangan ketenteraan langsung seperti sabotaj ekonomi dan perindustrian, dia dilapor berkata.