PM Norway suarakan kebimbangan ancaman Trump terhadap Iran

Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store pada Selasa menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman terbaru Presiden AS Donald Trump terhadap Iran, dengan mengatakan konflik di Timur Tengah tidak dapat diselesaikan melalui cara ketenteraan, lapor Xinhua.

Perkembangan pada Selasa adalah “tanda-tanda yang membimbangkan” dan sebarang penyelesaian mestilah diplomatik dan bukannya ketenteraan, kata Store, berita Xinhua memetik penyiar Norway NRK.

“Kamu tidak akan mengeluarkan kapal dari Selat Hormuz dengan mengikuti jejak ketenteraan. Ini perlu beralih kepada sesuatu yang diplomatik,” kata Store dipetik.

Beliau menambah bahawa ancaman Trump membawa implikasi serius kepada orang awam dan menyatakan harapan bahawa kenyataan itu akan kekal sebagai kata-kata dan bukannya membawa kepada tindakan.

Trump dilapor berkata pada pagi Selasa bahawa “seluruh tamadun Iran akan mati malam ini” jika tiada perjanjian dicapai dalam tempoh masa ditetapkannya untuk Tehran, menandakan kemungkinan peningkatan ketegangan mendadak.

Menurut Xinhua, juga pada Selasa, Menteri Luar Norway Espen Barth Eide berkata dalam satu kenyataan bahawa Timur Tengah menghadapi “24 jam yang sangat dramatik dan berbahaya”.

Beliau berkata, ancaman Trump untuk meningkatkan lagi ketegangan, berserta amaran Iran bahawa ia akan bertindak balas dengan serangan yang sepadan terhadap negara-negara di rantau itu, adalah “sangat membimbangkan” dan memberi amaran bahawa keadaan itu boleh menjadi lebih buruk lagi.