5 maut, 10 cedera apabila pesawat perang Israel tembak peluru berpandu ke atas pos polis di Gaza

Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dan lebih 10 yang lain cedera pada Ahad dalam serangan udara Israel menyasarkan pos polis Hamas di kawasan al-Mawasi, barat Khan Younis di selatan Jalur Gaza, lapor Xinhua memetik sumber perubatan dan keselamatan Palestin.

Menurut Xinhua, direktorat am polis dikendalikan oleh Hamas berkata dalam kenyataan akhbar bahawa pesawat Israel telah melepaskan dua peluru berpandu ke arah pos polis di kawasan itu, mengakibatkan korban.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dilapor berkata dalam kenyataan akhbar bahawa krunya mengangkut mayat lima mangsa dan lebih 10 individu yang cedera dari lokasi serangan ke hospital medan persatuan di al-Mawasi.

Menurut Xinhua, saksi mata berkata, mangsa membabitkan pegawai polis dan orang awam yang berada di kawasan itu.