Serangan dron Israel di pusat pemeriksaan keselamatan Palestin membunuh tiga rakyat Palestin dan mencederakan yang lain di kawasan Al-Mawasi di barat Khan Younis, kata sumber perubatan pada Khamis, lapor Anadolu.
Terdahulu, tiga rakyat Palestin mengalami kecederaan ringan dalam serangan Israel yang menyasarkan gudang makanan dan tanah kosong di kawasan yang sama.
Menurut Anadolu, saksi memberitahunya, serangan itu mencetuskan kebakaran di beberapa khemah yang melindungi rakyat Palestin terlantar berdekatan.
Dalam pada itu, Anadolu melaporkan, di bandar Gaza, sumber perubatan berkata seorang rakyat Palestin terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam serangan dron Israel yang menyasarkan orang awam berkumpul di belakang Masjid Imam Al-Shafi’i di kawasan kejiranan Zeitoun.
Arteri Israel juga membedil kawasan dekat persimpangan Al-Sanafour di kawasan kejiranan Al-Tuffah di timur bandar Gaza, lapor Anadolu memetik saksi.
Pada Rabu, hari pertama cuti Aidiladha, 10 rakyat Palestin terbunuh, termasuk dua kanak-kanak perempuan dan dua wanita, dan 18 yang lain cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah dekat Menara Al-Israa di Jalan Omar Al-Mukhtar di tengah bandar Gaza, lapor Anadolu.