Beberapa maut, hilang dalam kejadian akibat hujan lebat di tengah China

Tiga orang terbunuh, dan empat lagi hilang selepas banjir kilat menyebabkan sebuah sungai melimpah ke sebuah kampung rendah di daerah Xuan’en, wilayah Hubei tengah China, kata pihak berkuasa tempatan pada Isnin, menurut berita Xinhua.

Dari Ahad hingga Isnin, hujan lebat melanda lembangan Sungai Youshui di daerah Xuan’en, Prefektur Enshi, mencetuskan banjir kilat dan menyebabkan sungai melimpah ke Kampung Baishuihe di kawasan rendah. Kerpasan di satu kawasan hulu mencecah 253.4 mm sepanjang dua hari itu.

Populasi penduduk tetap kampung itu ialah 800 orang. Pihak berkuasa tempatan telah mengatur pemindahan selepas banjir melanda pada awal pagi Isnin. Sejumlah 287 penduduk kampung dari 185 isi rumah telah dipindahkan untuk keselamatan.

Jalan raya, telekomunikasi dan bekalan elektrik di kawasan itu semuanya terganggu.

Lebih 200 penyelamat, termasuk pegawai polis, kakitangan pengurusan kecemasan, anggota bomba dan pekerja bekalan kuasa, telah dihantar ke kampung itu dengan telefon satelit, kayak dan peralatan bantuan kecemasan lain.

Lebih 150 penyelamat ini telah tiba selepas mendaki sejauh beberapa kilometer dari kampung lain untuk membantu usaha menyelamat.

Hujan lebat turut melanda Daerah Shimen di wilayah Hunan, tengah China dari jam 7 pagi Ahad, menyebabkan seorang maut dan dua lagi hilang setakat petang Isnin, kata pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

Pihak berkuasa di daerah Shimen telah melancarkan pemindahan, operasi menyelamat dan pembaikan infrastruktur, dengan sejumlah 18,406 penduduk dipindahkan.