Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dan yang lain cedera pada petang Sabtu dalam serangan udara Israel menyasarkan kawasan kejiranan Sheikh Radwan, utara Bandar Gaza, lapor agensi berita Palestin WAFA.
Menurut WAFA, korespondenya melaporkan sebuah dron Israel menyerang kawasan sekitar Sekolah Al-Dahyan, mengakibatkan berbilang mangsa.
Hospital Al-Shifa mengesahkan menerima mayat tiga mangsa bersama beberapa orang yang cedera susulan serangan maut itu, menurut WAFA.
Menurut WAFA, sebelumnya, seorang rakyat Palestin terbunuh selepas ditembak oleh tentera Israel di kem pelarian Jabalia. Mangsa dilaporkan terbunuh selepas ditembak di kepala di kawasan Al-Houja.
WAFA, dalam berita disiarkan secara berasingan sebelum itu, melaporkan, seorang lagi lelaki Palestin, terbunuh selepas mengalami luka yang dialami dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan Projek Beit Lahia di utara Gaza.
Menurut agensi berita itu, awal Sabtu, kanak-kanak Duaa Muhammad Suleiman Rahim meninggal dunia akibat luka dialami apabila dia ditembak oleh tentera Israel di barat Deir al-Balah di tengah Jalur Gaza.