Sepanyol akan mengemukakan cadangan kepada Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa untuk menamatkan Perjanjian Persatuan dengan Israel, kata Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Ahad, sambil menambah bahawa “mereka yang melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip serta nilai Kesatuan Eropah tidak boleh menjadi rakan kongsi EU”, lapor berita Xinhua.
Sanchez membuat kenyataan itu pada perhimpunan kempen di Gibraleon, di wilayah selatan Huelva, menjelang pilihan raya serantau di Andalusia.
“Kami akan berbuat demikian bukan kerana kami mempunyai apa-apa terhadap rakyat Israel, sebaliknya, kami adalah rakyat yang merupakan rakan rakyat Israel, tetapi kerana kami tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh kerajaannya,” dia dilapor berkata.
Pada acara kempen itu, dia juga mengulangi penentangan Sepanyol terhadap konflik berterusan yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel menentang Iran, menyifatkannya sebagai satu kesilapan besar.
Sepanyol dalam beberapa bulan kebelakangan ini mengambil pendirian lebih tegas mengenai isu-isu Timur Tengah, menyeru pematuhan lebih besar kepada undang-undang antarabangsa dan prinsip pelbagai hala dalam hubungan luar EU.
Perjanjian Persatuan telah berkuat kuasa sejak tahun 2000 untuk menyediakan asas perundangan bagi hubungan perdagangan EU dengan Israel.