Ketua Hizbullah Lubnan pada Isnin dilapor menggesa Lubnan untuk menarik diri daripada rundingan langsung dengan Israel yang dijadualkan berlangsung di Washington pada Selasa, rundingan pertama seumpamanya dalam beberapa dekad.
Menurut berita AP, Naim Qassem berucap dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada malam pertemuan yang dijadualkan antara duta Lubnan dan Israel ke Amerika Syarikat, ketika kedua-dua pihak menetapkan rangka kerja untuk rundingan.
Pusingan pertempuran terbaru dicetuskan oleh Hizbullah yang melepaskan roket ke utara Israel pada 2 Mac, selepas AS dan Israel menyerang Iran, penaung Hizbullah.
Sekurang-kurangnya 2,055 orang telah terbunuh dalam serangan Israel di Lubnan, kata Kementerian Kesihatan, antaranya 252 wanita, 165 kanak-kanak dan 87 pekerja perubatan, manakala 6,588 yang lain cedera, lapor AP, lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal.
Kerajaan Lubnan, yang mengatakan ia komited untuk melucutkan senjata Hizbullah, telah menyeru rundingan langsung pada awal perang. Minggu lalu, Israel mengumumkan kelulusan mereka terhadap rundingan itu, tetapi kedua-dua pihak nampaknya tidak sependapat.
Lubnan berharap gencatan senjata sebagai prasyarat, sama seperti rundingan Iran dan AS yang diusahakan oleh Pakistan, lapor AP, walau bagaimanapun, Israel telah membingkaikan rundingan itu sebagai rundingan damai dengan perlucutan senjata Hizbullah sebagai keutamaan, tanpa menyebut gencatan senjata atau pengunduran tenteranya dari selatan Lubnan.
“Kami menolak rundingan dengan entiti Israel. Rundingan ini tidak bermakna,” kata Naim dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, menyifatkannya sebagai “konsesi percuma” kepada Israel dan AS.
“Peluang masih ada. Kami menyeru posisi bersejarah dan berani untuk membatalkan rundingan ini.”
Dia menyeru agar gencatan senjata yang menghentikan perang terakhir Israel-Hizbullah pada tahun 2024 dikembalikan. Pada masa itu, rundingan dilakukan secara tidak langsung, dengan AS, Perancis dan misi pengaman PBB di selatan Lubnan menjadi perantara.
Naim juga mengecam kerajaan Lubnan kerana menjenayahkan aktiviti ketenteraan Hizbullah dan pendekatan diplomatik yang berterusan dengan Israel, dengan mengatakan “ia tidak membawa kami sebarang langkah ke hadapan” serta keputusan kerajaan untuk mengusir duta Iran dari negara itu dan menjenayahkan kehadiran Pengawal Revolusi Iran.
“Kami akan membiarkan barisan hadapan bersuara,” kata Naim.