7 maut, 3 cedera dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

Tujuh orang terbunuh dan tiga lagi cedera pada Khamis dalam serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di selatan Lubnan ketika serangan yang sedang berlangsung memasuki bulan kedua, lapor Anadolu.

Menurut Anadolu, Kementerian Kesihatan Lubnan berkata empat orang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam serangan di pekan Ramadiyeh di daerah Tyre.

Dalam serangan lain, Anadolu memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) yang dikendalikan oleh kerajaan melaporkan tiga orang terbunuh selepas sebuah bangunan dua tingkat dihentam di pekan Kfarsir.

Pesawat perang Israel juga melakukan beberapa siri serangan ke atas pekan Yater, Harouf, dan Zebdine, memusnahkan beberapa rumah, menurut berita Anadolu memetik agensi itu.

Bedilan artileri Israel menyasarkan beberapa kawasan, termasuk Siddiqine, Jabal al-Batam, dan Zebqine, serta pinggir pekan Shaqra, Wadi al-Slouqi, Mansouri, Majdal Zoun, Wadi al-Hamra, dan Hamoul, serta sekitar Qalaat Dabiya. Tiada korban jiwa dilaporkan.

Menurut Anadolu, pada Rabu Kementerian Kesihatan Lubnan berkata serangan Israel yang berterusan sejak 2 Mac lalu telah mengorbankan 1,318 orang dan mencederakan 3,935 yang lain.