15 termasuk 10 wanita dilapor maut apabila lombong emas runtuh di barat laut Kenya

Sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk 10 wanita, disahkan maut selepas sebuah lombong emas runtuh di Rumos Hills di West Pokot County, Kenya, kira-kira 400 kilometer (248 batu) barat laut ibu negara Nairobi, lapor berita Anadolu memetik pihak berkuasa tempatan pada Jumaat.

Runtuhan itu berlaku lewat Khamis ketika pelombong bekerja di dalam tapak perlombongan emas tidak formal itu, memerangkap berpuluh-puluh orang di bawah tanah, lapor Anadolu memetik penduduk dan pegawai penyelamat.

Isaac Lomwai, seorang pegawai pentadbiran kerajaan tempatan yang bertanggungjawab menyelaras keselamatan dan fungsi negeri di kawasan itu, memberitahu media tempatan bahawa 15 mayat setakat ini telah ditemui dari tapak itu, lapor Anadolu.

“Kami sedang meneruskan operasi menyelamat. Seketul batu jatuh di bahagian yang mereka sedang bekerja sebelum lombong itu runtuh, menyebabkan mereka terperangkap,” kata Lomwai.