Unicef

  • Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu – UNICEF

    Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata, kata Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu, memberi amaran mengenai bahaya fizikal dan psikologi yang semakin mendalam dalam kalangan mangsa muda terselamat, menurut berita Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak terbunuh dan 93 cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April, menjadikan jumlah korban kanak-kanak sejak 2 Mac lalu kepada 200 terbunuh dan 806 cedera.

    Pada Rabu sahaja, sekurang-kurangnya 33 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam peningkatan serangan Israel di seluruh selatan dan tengah Lubnan, menurut Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan dan media tempatan, lapor Xinhua.

    “Kanak-kanak terbunuh dan cedera ketika mereka sepatutnya kembali ke bilik darjah, bermain dengan rakan-rakan, dan pulih daripada ketakutan dan pergolakan selama berbulan-bulan,” kata Pengarah Wilayah UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder, lapor Xinhua.

    Beigbeder menambah bahawa meskipun perjanjian itu bertujuan untuk menghentikan keganasan, kanak-kanak terus mengalami serangan dan trauma berulang yang boleh membawa akibat sepanjang hayat.

    UNICEF juga memberi amaran bahawa lebih 770,000 kanak-kanak di Lubnan mengalami tekanan psikologi yang semakin meningkat akibat pendedahan berulang kepada keganasan, perpindahan, dan kehilangan. Gejala dalam kalangan kanak-kanak dan penjaga termasuk ketakutan, kebimbangan, mimpi ngeri, insomnia, dan keputusasaan.