Perintah Selatan AS berkata pada Rabu bahawa ia telah membunuh tiga orang dalam serangan ke atas apa yang digambarkannya sebagai vesel penyeludupan dadah di timur Pasifik, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, perintah itu dalam satu catatan di X, berkata pasukan petugas bersama Southern Spear, yang bertindak di bawah arahan komander Jeneral Francis L Donovan, telah menjalankan serangan kinetik maut ke atas vesel yang didakwa dikendalikan oleh organisasi pengganas yang ditetapkan.
“Risikan mengesahkan vesel itu sedang transit di sepanjang laluan penyeludupan dadah yang diketahui di Pasifik Timur dan terbabit dalam operasi penyeludupan dadah. Tiga pengganas dadah lelaki terbunuh semasa tindakan ini. Tiada pasukan tentera AS yang cedera,” ia dilapor sebagai berkata.
Serangan itu menandakan hari ketiga berturut-turut operasi AS yang menyasarkan vesel yang disyaki mengedar dadah di rantau itu.
Tentera berkata, ia membunuh empat orang dalam serangan berasingan pada Selasa dan dua yang lain dalam operasi lain pada Isnin.
Sejak awal September, tentera AS telah menjalankan kira-kira 50 serangan udara yang diketahui ke atas bot disyaki mengedar dadah, meragut sekurang-kurangnya 174 nyawa, lapor Xinhua.