sekolah

  • Pelajar tembak mati 4 orang di sekolah di Turkiye

    Seorang pelajar menembak mati sekurang-kurangnya empat orang, termasuk rakan sekelasnya, dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 orang di sebuah sekolah menengah di selatan-tengah Turkiye, menurut gabenornya – berita Al Jazeera melaporkan.

    Gabenor Mukerrem Unluer memberitahu pemberita bahawa tiga pelajar dan seorang guru terbunuh dalam serangan pada Rabu di wilayah ‌Kahramanmaras, yang katanya dilakukan oleh seorang pelajar di gred lapan, menurut berita Al Jazeera, penyerang itu juga mati.

    “Dia menembak dirinya sendiri. Belum jelas sama ada ini bunuh diri atau berlaku di tengah-tengah kekacauan,” Unluer dilapor berkata.

    Penembakan itu merupakan serangan sekolah kedua di negara itu dalam tempoh dua hari, selepas kejadian tembakan pada Selasa di sebuah sekolah menengah di wilayah Sanliurfa di tenggara yang dilakukan oleh seorang bekas pelajar yang membunuh diri dalam pertempuran dengan polis selepas mencederakan 16 orang.

    Unluer berkata, pelajar yang melakukan tembakan pada Rabu dipercayai telah menggunakan senjata milik bapanya, seorang bekas pegawai polis.

    Pelajar itu menyembunyikan senjata di dalam beg galas, memasuki dua bilik darjah dan melepaskan tembakan “secara rawak”, kata Unluer.