Nigeria

  • 20 dilapor maut dalam serangan bersenjata di Plateau, tengah Nigeria

    Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang penduduk sebuah komuniti di negeri Plateau tengah Nigeria awal minggu ini, kata polis pada Selasa, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, Alfred Alabo, jurucakap polis di negeri Plateau, memberitahunya melalui telefon bahawa penyerang menyerang komuniti Kawel di Kawasan Kerajaan Tempatan Bokkos pada pagi Ahad, melepaskan tembakan dan menyerang penduduk dengan parang sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

    Alabo berkata, 18 orang disahkan mati di tempat kejadian, manakala tiga yang lain cedera, lapor Xinhua, dua daripada yang cedera kemudian meninggal dunia di hospital, menjadikan jumlah kematian kepada sekurang-kurangnya 20 orang.

    Motif serangan itu masih tidak diketahui dan polis melancarkan siasatan terhadap kejadian itu.

    Negeri Plateau terletak di Jalur Tengah Nigeria, sebuah kawasan yang menghubungkan utara negara yang majoritinya beragama Islam dan selatan yang majoritinya beragama Kristian.

    Negeri ini telah mengalami keganasan berulang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sering membabitkan pertikaian mengenai tanah dan sumber antara komuniti yang berbeza, menurut Xinhua.

  • 17 orang dilapor dibunuh oleh penyamun bersenjata di barat laut Nigeria

    Lelaki-lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 17 orang petani dan mencederakan sekurang-kurangnya 13 orang lain ketika mereka bekerja di ladang mereka di barat laut Nigeria, kata seorang pegawai tempatan dan seorang penduduk, menurut berita AP.

    Serangan itu dilapor berlaku pada Jumaat di pekan Goron Namaye di kawasan Maradun di negeri Zamfara.

    Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab tetapi serangan oleh kumpulan bersenjata telah meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    “Para petani sedang mengusahakan tanah mereka apabila penyamun tiba-tiba menyerang dan membunuh 17 daripada mereka,” kata Shehu Musa, seorang penduduk Maradun, kepada AP pada Sabtu.

    Serangan itu adalah akibat keengganan kerajaan negeri Zamfara untuk berunding dengan lelaki-lelaki bersenjata itu, kata Sanusi Dosara, pengerusi kerajaan tempatan Maradun, dalam satu kenyataan, menurut AP.

    Sanusi dilapor merayu kepada pasukan kerajaan untuk memusnahkan kawasan Bayan-Ruwa di hutan Maradun, tempat lelaki-lelaki bersenjata itu bersembunyi.

    Pada Khamis, lelaki-lelaki bersenjata menculik 39 orang di Magamin Diddi, sebuah komuniti di Maradun, ketika penduduk bertemu dengan ibu bapa seorang ketua penyamun yang disyaki dalam usaha untuk merundingkan keamanan dan menangani penculikan.

    Pemberontakan di timur laut Nigeria, ditambah pula dengan penculikan wang tebusan, telah membunuh beribu-ribu orang dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal selama ini, AP memetik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meskipun terdapat janji berulang kali oleh Presiden Bola Tinubu untuk membendung krisis itu.

  • 14 dilapor terbunuh dalam serangan tengah malam ke atas komuniti Ngbra Zongo Nigeria

    Sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk tiga wanita hamil, terbunuh dalam serangan tengah malam oleh lelaki-lelaki bersenjata ke atas komuniti Ngbra Zongo di daerah Kwall, Kawasan Kerajaan Tempatan Bassa di negeri Plateau Nigeria, menurut berita Anadolu memetik penduduk yang memberitahunya pada Jumaat.

    Penyerang dilaporkan menyerbu komuniti itu sekitar tengah malam ketika penduduk tidur, melepaskan tembakan tanpa pandang bulu dan memaksa ramai orang meninggalkan rumah mereka.

    Negeri Plateau mengalami keganasan berulang kali yang dikaitkan dengan konflik petani-gembala, ketegangan kaum, dan serangan balas dendam yang telah menyebabkan ratusan orang terbunuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

    Menurut Anadolu, penduduk Raphael Ebi, yang melarikan diri melalui semak berdekatan, memberitahunya, bahawa penyerang memasuki komuniti sekitar jam 12 pagi Jumaat dan mula menembak secara sporadis.

    “Mereka bergerak dari satu rumah ke rumah lain menyerang orang yang tidak bersalah,” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Chigoji Ameh, berkata tiga wanita hamil adalah antara mereka yang terbunuh dalam serangan itu, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan.

    Menurut Anadolu, jurucakap Perintah Polis Negeri Plateau, SP Alabo Alfred memberitahunya, keadaan sudah terkawal.

    “Pegawai kami sedang bekerjasama dengan penduduk komuniti yang terjejas.”