Israel

  • 2 maut selepas Israel dilapor hentam jambatan kereta api di Kashan Iran

    Menurut laporan Al Jazeera, agensi berita Mehr Iran melaporkan serangan Israel melanda jambatan kereta api Yahya Abad di bandar Kashan, di tengah Iran.

    Agensi berita itu memetik Timbalan Gabenor Isfahan sebagai berkata, serangan itu telah membunuh dua orang.

    Serangan itu berlaku selepas tentera Israel mengeluarkan amaran kepada rakyat Iran agar tidak menggunakan kereta api untuk “keselamatan” mereka sehingga jam 9 malam waktu tempatan (17:30 GMT).

  • Tiga suspek dilapor terbunuh dalam berbalas tembak dekat konsulat Israel di Istanbul

    Menurut berita Al Jazeera, media Turki melaporkan kejadian tembakan dekat Konsulat Israel di daerah Besiktas, Istanbul telah berlaku.

    Al jazeera melaporkan CNN Turk, memetik kenyataan daripada jabatan polis Istanbul, tiga suspek terbunuh selepas tindak balas keselamatan segera.

    Menurut laporan itu, kejadian berbalas tembak itu menyebabkan dua pegawai polis cedera.

  • Iran seru UNESCO kutuk ancaman Israel untuk serang sistem kereta api

    Menteri Warisan Budaya Iran menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah UNESCO, menyeru agensi PBB untuk mengutuk ancaman Israel untuk menyerang sistem kereta api negara itu, lapor Aljazeera memetik agensi berita ISNA.

    Landasan kereta api trans-Iran sepanjang 1,394 kilometer yang menghubungkan Laut Kaspia di timur laut dengan Teluk Parsi di barat daya telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 2021 “atas skalanya dan kerja-kerja kejuruteraan yang diperlukan untuk mengatasi laluan curam dan kesukaran lain,” menurut Al Jazeera memetik laman web UNESCO.

    Menteri itu menyifatkan ancaman terbabit sebagai serangan terhadap warisan bersama manusia dan menyeru agensi PBB untuk segera mengambil pendirian jelas untuk menghalang tindakan ketenteraan Israel, Al Jazeera memetik ISNA.

  • Israel dakwa serangan udara ke atas kemudahan petrokimia Shiraz

    Tentera Israel dilapor berkata, ia menyerang kawasan petrokimia tambahan di Shiraz di barat daya Iran.

    Menurut Al Jazeera, tentera itu dalam satu kenyataan, berkata ia “menyerang kemudahan petrokimia di mana asid nitrik dihasilkan untuk angkatan tentera rejim pengganas Iran”.

    “Kemudahan itu merupakan salah satu kawasan terakhir yang menghasilkan komponen kimia kritikal untuk bahan letupan dan bahan untuk membangunkan peluru berpandu balistik di Iran,” dakwanya, tanpa memberikan bukti.

  • Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dalam serangan semalaman ke atas Iran

    Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam serangan semalaman AS-Israel di seluruh Iran, lapor Al Jazeera memetik laporan media tempatan.

    Enam mayat telah ditemui dari bawah runtuhan bangunan di bandar Pardis, timur Tehran, Al Jazeera memetik laporan agensi berita Mehr separa rasmi Iran.

    Pegawai tempatan berkata sembilan orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan kejiranan kediaman di Shahriar, di barat wilayah Tehran.

  • Lima maut di selatan Lubnan susulan serangan udara Israel

    Dua serangan udara Israel yang berasingan di selatan Lubnan telah membunuh lima orang dan mencederakan beberapa orang, menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA) negara itu, lapor Al Jazeera.

    Dua orang terbunuh apabila rumah mereka di pekan Maarakeh diserang, Al Jazeera memetik NNA.

    Serangan itu turut menyebabkan ramai yang lain cedera.

    Dalam serangan udara berasingan di pekan Tayr Debba semalaman, tiga orang terbunuh dan dua cedera, menurut laporan itu.

  • Israel tahan 4 askar kerana disyaki intip untuk Iran

    Israel menahan empat askar tetapnya kerana disyaki mengintip untuk Iran dan mengambil gambar tapak sensitif, menurut berita Anadolu memetik laporan media Israel pada Isnin.

    Menurut Anadolu, Channel 15 berkata empat askar, yang berkhidmat dalam unit tempur tetap, ditahan dalam apa yang digambarkannya sebagai “kes pengintipan baharu dan membimbangkan” mendakwa mereka terbabit dalam aktiviti pengintipan kolektif untuk Iran, termasuk semasa perang.

    Laporan itu berkata beberapa suspek telah dinafikan akses kepada penasihat undang-undang, manakala penahanan keempat-empat mereka telah dilanjutkan.

    Ia menambah bahawa perisikan Iran telah menugaskan askar-askar terbabit untuk menjalankan misi, termasuk mengambil gambar kemudahan sensitif, tanpa memberikan butiran lanjut.

  • Serangan Israel membunuh 3 orang di selatan Lubnan

    Menurut Aljazeera, Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan melaporkan, tiga orang terbunuh dalam serangan ke atas Tayr Debba di daerah Tyre, ketika pasukan Israel mara melalui selatan Lubnan.

    Sekurang-kurangnya dua orang juga cedera apabila jet pejuang Israel mengebom sebuah rumah di Maarakah, juga di daerah Tyre, dengan penyelamat masih mencari mangsa yang terselamat, Aljazeera memetik laporan NNA.

  • Angka kecederaan semasa perang Israel meningkat kepada 7,142

    Kementerian Kesihatan Israel mengatakan 7,142 orang telah cedera dan dibawa ke hospital semasa perang ke atas Iran, lapor Aljazeera.

    Pada masa ini, 114 orang dimasukkan ke hospital, termasuk dua orang dalam keadaan kritikal, katanya.

  • Tentera Israel kata ia menjalankan serangan ‘besar-besaran’ di seluruh Iran, termasuk di 3 lapangan terbang

    Dalam kemas kini terbarunya, tentera Israel mengatakan ia telah menjalankan siri serangan baharu di Tehran dan di seluruh negara, lapor Aljazeera.

    Dalam kemas kini berasingan, tentera Israel mengenal pasti tiga lapangan terbang di Iran sebagai sasaran serangan udara semalaman, yang didakwa menyasarkan infrastruktur ketenteraan. Ia mengenal pasti lapangan terbang terbabit sebagai “Lapangan Terbang Bahram, Lapangan Terbang Mehrabad dan Lapangan Terbang Azmayesh”.