Menurut Al Jazeera, Press TV Iran melaporkan susulan pertempuran sebelum ini antara pasukan Tentera Laut AS dan Iran, keadaan di kepulauan Iran dan di bandar-bandar pesisir di sepanjang Selat Hormuz kini kembali normal.
hormuz
-
Kapal Perancis diserang di Selat Hormuz, kru cedera
Syarikat perkapalan Perancis CMA CGM mengesahkan pada Rabu, satu daripada kapalnya disasarkan dalam serangan pada Selasa semasa transit melalui Selat Hormuz, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Kapal itu, bernama San Antonio, diserang semasa laluannya melalui laluan air strategik itu, menurut harian Perancis Le Figaro, lapor Xinhua.
Dilaporkan, kru yang cedera dalam kejadian itu telah dipindahkan dan kini menerima rawatan perubatan, manakala kapal itu mengalami kerosakan.
Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran pada Selasa mengulangi amarannya kepada semua kapal yang ingin transit di Selat Hormuz untuk hanya mengambil koridor yang diumumkan sebelum ini oleh negara itu.
-
AS dilapor serang kapal kargo di Selat Hormuz, bunuh lima orang
Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan AS ke atas dua kapal kargo di Selat Hormuz, menurut berita TASS memetik laporan agensi berita Tasnim Iran memetik sumber tentera sebagai berkata.
Menurut sumber itu, kapal-kapal yang membawa kargo awam sedang dalam perjalanan dari pelabuhan Khasab di Oman ke pantai Iran. Insiden itu diketahui selepas menyemak laporan bahawa AS telah menenggelamkan beberapa bot Iran.
Menurut TASS, terdahulu, agensi Associated Press (AP) memetik komander Perintah Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper sebagai berkata bahawa helikopter tentera AS telah menenggelamkan enam bot kecil Iran di Selat Hormuz. Iran menafikannya, dengan mengatakan bahawa tiada satu pun vesel Tentera Laut Iran yang ditenggelamkan oleh AS padaIsnin.
-
Iran kata Selat Hormuz akan ditutup sehingga AS tarik balik sekatan tentera laut
Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran berkata pada Sabtu, Selat Hormuz akan ditutup mulai petang sehingga Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan tentera lautnya ke atas kapal dan pelabuhan Iran, lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, dalam satu kenyataan disiarkan oleh Press TV, Tentera Laut IRGC berkata kenyataan Presiden AS Donald Trump mengenai selat itu “tidak mempunyai kredibiliti”.
Ia berkata bahawa susulan pengumuman Iran sebelum ini yang membenarkan kapal awam transit di laluan air itu, beberapa kapal melaluinya “dengan penyelarasan Tentera Laut IRGC”.
“Walau bagaimanapun, dalam pelanggaran perjanjian gencatan senjata, musuh Amerika belum menarik balik sekatan tentera laut ke atas kapal dan pelabuhan Iran, jadi Selat Hormuz akan ditutup mulai petang ini sehingga sekatan itu ditarik balik,” kata kenyataan itu.
IRGC memberi amaran bahawa “tiada kapal dalam apa jua bentuk harus bergerak dari tempat berlabuhnya di Teluk Parsi dan Laut Oman,” sambil menambah bahawa menghampiri selat itu akan dianggap sebagai “kerjasama dengan musuh”.
Ia juga memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melanggar arahan itu “akan disasarkan”.
-
Tentera AS dakwa kejayaan sekatan
Tentera AS mendakwa ia berjaya menguatkuasakan sekatan pelabuhan Iran, walaupun sekurang-kurangnya sebuah kapal yang mempunyai hubungan jelas dengan Tehran telah melalui Selat Hormuz, menurut berita AP.
Perintah Pusat AS, yang menyelia Timur Tengah, berkata bahawa “semasa 24 jam pertama, tiada kapal yang berjaya melepasi sekatan AS dan 6 kapal dagang mematuhi arahan daripada tentera AS untuk berpatah balik bagi memasuki semula pelabuhan Iran di Teluk Oman”.
Walaupun beberapa kapal tangki yang menghampiri selat itu pada Isnin berpatah balik sejurus selepas sekatan itu berkuat kuasa, kapal tangki Rich Starry berbalik arah sekali lagi dan melalui laluan air itu awal Selasa.
-
Pengawal Iran akan anggap kapal tentera hampiri selat sebagai pelanggaran gencatan senjata
Pengawal Revolusi Iran berkata pada Ahad, mana-mana kapal tentera yang cuba menghampiri Selat Hormuz akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata AS selama dua minggu dan akan ditangani dengan keras dan tegas, lapor Reuters.
Selat itu berada di bawah kawalan dan ‘pengurusan pintar’ Tentera Laut Iran, kata Pengawal dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh media kerajaan Iran, sambil menambah ia “terbuka untuk laluan selamat kapal bukan tentera mengikut peraturan tertentu”.
-
Trump kata tentera laut akan sekat semua kapal cuba menyeberangi Selat Hormuz
Presiden AS Donald Trump berkata pada Ahad bahawa Tentera Laut AS akan mula menyekat kapal yang cuba memasuki atau meninggalkan Selat Hormuz, lapor Xinhua.
Dia berkata dalam catatan Truth Social bahawa langkah itu akan berkuat kuasa “dengan serta-merta”.
-
UAE ‘amat kesal’ dengan ‘kegagalan’ Majlis Keselamatan luluskan draf resolusi Hormuz
Misi UAE ke PBB berkata ia “amat kesal” dengan “kegagalan” majlis itu untuk “menyokong rangka kerja yang jelas untuk kerjasama antarabangsa dalam menamatkan serangan haram dan ancaman Iran terhadap ekonomi global”, lapor Al Jazeera.
“Selat Hormuz mesti kekal terbuka kepada semua, dan kebebasan navigasi mesti dipelihara. Tiada negara yang sepatutnya mempunyai kuasa untuk menutup arteri perdagangan global dan membawa dunia ke ambang bencana ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di X.
“Kegagalan Majlis Keselamatan untuk bertindak tidak mengurangkan kesegeraan krisis ini atau keazaman UAE,” sambungnya, sambil menambah bahawa UAE akan terus mendesak usaha antarabangsa untuk menjamin keselamatan navigasi di selat terbabit.
-
China, Rusia memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai Selat Hormuz
Menurut berita Al Jazeera, resolusi itu gagal dengan:
Dua undi menentang – Rusia dan China; 11 menyokong; dua berkecuali.
-
Menteri Luar Bahrain kata Iran ‘tiada hak’ untuk tutup Hormuz
Abdullatif Bin Rashid Al Zayani berucap di Majlis Keselamatan PBB sebelum ia mengundi resolusi berkaitan Selat Hormuz, lapor Al Jazeera.
Menteri Luar Bahrain berkata resolusi itu bertujuan untuk bertindak balas terhadap “perkembangan serius” yang menjejaskan laluan air Teluk yang kritikal, yang melaluinya satu perlima daripada transit bekalan minyak dan gas dunia.
“Negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk mewakili sumber utama bekalan tenaga global. Ini menjadikan keselamatan Selat Hormuz sebagai tanggungjawab antarabangsa bersama,” kata Al Zayani.
“Oleh itu, kami mengisytiharkan dengan lantang dan tegas, bahawa Republik Islam Iran tiada hak untuk menutup laluan air ini kepada navigasi antarabangsa, mahupun menghalang penduduk dunia daripada sumber-sumber ini, yang penting untuk kehidupan.”