Ebola

  • Sejumlah 956 kes Ebola disahkan, 247 kematian dilaporkan di Congo

    Bilangan kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat kepada 956, termasuk 247 kematian, menurut laporan situasi terkini yang dikeluarkan pada Sabtu oleh pihak berkuasa kesihatan negara itu, lapor Xinhua.

    Menurutnya, 23 kes baharu yang disahkan, termasuk dua kematian, telah dilaporkan pada Jumaat di wilayah Ituri dan Kivu Utara. Ituri kekal sebagai pusat wabak, dengan 874 kes yang disahkan dan 201 kematian, menyumbang lebih daripada 91 peratus daripada kes yang disahkan di negara itu.

    Sejumlah 92 pesakit telah pulih, manakala 361 pesakit telah diasingkan atau dimasukkan ke hospital.

    Wabak yang disebabkan oleh virus Ebola Bundibugyo telah diisytiharkan oleh pihak berkuasa DRC pada 15 Mei lalu.

  • Kes Ebola di Congo meningkat kepada 689, jumlah kematian cecah 139

    Bilangan kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat kepada 689, termasuk 139 kematian, lapor Xinhua memetik laporan situasi terkini dikeluarkan pada Jumaat oleh pihak berkuasa kesihatan negara itu.

    Sebanyak 17 kes baharu disahkan, termasuk lima kematian, dilaporkan pada Khamis, semuanya di wilayah timur di Ituri, Xinhua memetik laporan itu.

    Wabak itu, yang disebabkan oleh strain Bundibugyo daripada virus Ebola, telah menjejaskan 29 zon kesihatan di tiga wilayah timur, iaitu Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan, lapor Xinhua.

    Sebanyak 168 kes disyaki, termasuk 64 kematian, dilaporkan setakat Khamis.