Sekurang-kurangnya 12 orang disahkan maut dan empat yang lain cedera selepas gempa bumi berukuran 5.8 magnitud melanda sebahagian Afghanistan pada malam Jumaat, kata timbalan jurucakap kerajaan Hamdullah Fitrat pada Sabtu, lapor Xinhua.
Gempa bumi itu menjejaskan komuniti di ibu negara Kabul dan wilayah timur Panjshir, Logar, Nangarhar, Laghman dan Nuristan.
Selain korban jiwa, ia merosakkan 38 buah rumah dan menjejaskan sejumlah 40 keluarga, kata Fitrat dalam satu catatan di X, menurut Xinhua.
Pusat gempa, pada kedalaman 186.4 km dan terletak 35 km di selatan daerah Jurm di utara wilayah Badakhshan, pada mulanya ditentukan berada pada 36.55 darjah latitud utara dan 70.85 darjah longitud timur.
Gegaran kuat dirasai di Kabul dan wilayah bersebelahan.
Afghanistan sering dilanda gempa bumi, terutama di kawasan pergunungan Hindu Kush yang aktif secara geologi.
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda kawasan yang sama pada November tahun lalu, membunuh lebih dua dozen orang dan mencederakan hampir 1,000 di wilayah Samangan dan Balkh.