global

  • Tiga dilapor maut dalam tembakan di Linz, Austria

    Tiga orang maut dalam kejadian tembakan pada Khamis di bandar Linz, Austria, menurut berita Xinhua memetik media tempatan.

    Menurut Xinhua, akhbar Austria, Kronen Zeitung, melaporkan kejadian tembakan itu berlaku di hadapan sebuah restoran di bandar itu, dan membabitkan seorang lelaki yang membunuh dua wanita dan kemudian dirinya sendiri.

  • Rusia tembak jatuh 28 dron di atas Moscow

    Pasukan pertahanan udara Rusia menembak jatuh sekurang-kurangnya 28 dron yang terbang ke arah Moscow pada Khamis, kata Datuk Bandar Sergei Sobyanin, menurut berita Xinhua.

    Perkhidmatan kecemasan beroperasi di lokasi di mana serpihan dron dipintas jatuh, Sobyanin dilapor berkata di Telegram.

    Sekatan penerbangan sementara telah diperkenalkan pada Khamis di lapangan terbang Vnukovo dan Domodedovo di Moscow, menurut agensi penerbangan persekutuan Rusia, Rosaviatsiya, lapor Xinhua.

  • Dron dari Rusia terhempas di Latvia, cetus amaran udara – tentera

    Beberapa dron memasuki ruang udara Latvia dari Rusia awal Khamis, dengan dua terhempas di wilayah timur Latgale, lapor Angkatan Tentera Nasional (NAF), menurut berita Xinhua.

    Amaran mudah alih telah dikeluarkan kepada penduduk di daerah Ludza, Balvi, dan Rezekne pada awal pagi, kata NAF, sambil menambah bahawa amaran udara kemudiannya ditarik balik dan unit pertahanan udara tambahan telah dikerahkan di sepanjang sempadan timur.

    Semua sekolah di Rezekne ditutup, di mana sekurang-kurangnya satu dron terhempas ke dalam kemudahan penyimpanan minyak, lapor agensi berita Latvia LETA. Pelajar di Ludza dan Balvi beralih kepada pembelajaran jarak jauh.

    Masih belum jelas sama ada dron itu berasal dari Rusia atau Ukraine, menurut Xinhua, (malah) baru-baru ini, dron Ukraine yang dilancarkan terhadap sasaran Rusia telah berulang kali menyimpang dari haluan dan terbang ke Latvia dan Estonia.

  • Seorang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Nabatieh, Lubnan

    Serangan Israel ke atas bandar Nabatieh di selatan Lubnan dan kawasan pinggirnya membunuh seorang dan mencederakan beberapa orang lagi, menurut berita Al Jazeera memetik laporan Agensi Berita Kebangsaan (NNA).

  • Pegawai Hamas sahkan anak lelaki pemimpinnya terbunuh di bandar Gaza

    Pegawai Hamas Basim Naim mengesahkan pembunuhan Azzam al-Hayya, anak lelaki Khalil al-Hayya, dalam serangan udara Israel di bandar Gaza, lapor Al Jazeera.

    Mangsa merupakan anak lelaki keempat ketua Hamas di Gaza yang hidup dalam buangan yang terbunuh dalam serangan Israel. Al-Hayya, yang mempunyai tujuh orang anak, telah terselamat daripada pelbagai percubaan Israel untuk membunuhnya (sebelum ini).

    Serangan Israel di ibu negara Qatar, Doha, tahun lalu, yang menyasarkan kepimpinan Hamas, telah membunuh salah seorang anak lelakinya, walaupun al-Hayya terselamat. Dua anak lelaki lain telah terbunuh dalam percubaan Israel yang lalu untuk membunuhnya dalam serangan Gaza pada 2008 dan 2014, menurut Al Jazeera.

  • Tentera Israel dakwa bunuh ketua Unit Radwan Hizbullah

    Tentera Israel mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka telah membunuh Ahmad Balut, komander Unit Radwan elit Hizbullah, dalam serangan di pinggir bandar selatan Beirut pada Rabu, lapor Al Jazeera.

    Ia juga mendakwa telah membunuh Muhammad Ali Bazi, ketua jabatan perisikan Unit Nasser, dan Hussein Hassan Romani, pegawai pemerhatian pertahanan udara Hizbullah.

    Kekuatan Hizbullah telah mendapat manfaat daripada sokongan kewangan dan ketenteraan yang besar daripada sekutunya, Iran, yang, selain memainkan peranan formatif dalam penubuhan kumpulan itu pada tahun 1982, terus bertindak bersama-sama dengannya selama beberapa dekad sejak itu, lapor Al Jazeera.

  • 16 terbunuh, 21 cedera dalam serangan Israel di Lubnan

    Serangan dron dan udara Israel di selatan dan timur Lubnan membunuh 16 orang dan mencederakan 21 yang lain, termasuk paramedik, dan merosakkan sebuah sekolah, kata pegawai Lubnan pada Rabu, dalam pelanggaran gencatan senjata terbaru, menurut berita Anadolu.

  • Ahli majlis perbandaran mati ditembak di Ecuador

    Seorang ahli majlis perbandaran di wilayah Guayas, barat daya Ecuador, mati ditembak pada malam Selasa ketika mengambil bahagian dalam perlawanan bola tampar, menurut berita Xinhua memetik media tempatan pada Rabu.

    Antonio Cool, seorang ahli majlis di perbandaran El Empalme, diserang di sebuah gelanggang dekat komuniti luar bandar El Limon. Tiga orang lagi cedera.

    Saksi berkata, lelaki-lelaki bersenjata yang menaiki motosikal tiba di tempat kejadian dan melepaskan tembakan tepat ke arah Cool, menyebabkan panik dalam kalangan mereka yang hadir.

    Cool telah berkhidmat sebagai ahli majlis sejak 2023 dan merupakan ahli Gerakan Revolusi Warga.

    Datuk Bandar El Empalme, Rodolfo Cantos, mengucapkan takziah dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial.

    Ecuador mencatatkan 9,216 pembunuhan yang disengajakan pada tahun 2025, angka tahunan tertinggi dalam sejarahnya, Xinhua memetik data rasmi.

  • 9 maut sejak fajar Rabu di Gaza

    Satu serangan Israel pada petang Rabu membunuh seorang lagi rakyat Palestin dan mencederakan beberapa orang lain di kawasan kejiranan Al-Daraj di tengah bandar Gaza, menurut agensi berita WAFA.

    Dilaporkan, pesawat Israel menyasarkan sekumpulan orang awam dekat lot parkir Jabalia di Jalan Al-Wehda di kawasan kejiranan itu, meragut nyawa seorang awam dan mencederakan beberapa yang lain.

    Menurut WAFA, sumber perubatan melaporkan jumlah kematian di Jalur Gaza sejak fajar hari ini (Rabu) meningkat kepada sembilan orang.

    Ini termasuk empat kematian di utara Jalur Gaza dan seorang di selatan, manakala yang lain meninggal dunia akibat kecederaan dialami sebelum ini.

  • Dua warga Palestin di Israel terbunuh dalam tembakan di Qalansawe

    Dua warga Palestin di Israel terbunuh pada Rabu dalam kejadian tembakan di bandar Qalansawe di Wilayah 1948, lapor WAFA.

    Dua mangsa yang maut, berusia 20-an, dikenal pasti sebagai Mohammed Samir Zbarqa dan sepupunya, Abdul Karim Abdul-Aziz Zbarqa. Seorang lagi pemuda parah dalam kejadian tembakan itu.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan warga Palestin di Israel yang terbunuh sejak awal 2026 kepada 98 orang, termasuk lebih 50 orang di bawah umur 30 tahun, lapan wanita, dan tiga orang terbunuh akibat tembakan polis Israel.

    Lonjakan ini berlaku selepas 2025 yang mencatat rekod tertinggi, apabila 252 orang terbunuh dalam 218 insiden berasingan, menurut Abraham Initiatives, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memantau keganasan dalam kalangan warga Palestin di Israel, lapor WAFA.