global

  • Sekurang-kurangnya 15 terbunuh dalam serangan semalaman ke atas Iran

    Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam serangan semalaman AS-Israel di seluruh Iran, lapor Al Jazeera memetik laporan media tempatan.

    Enam mayat telah ditemui dari bawah runtuhan bangunan di bandar Pardis, timur Tehran, Al Jazeera memetik laporan agensi berita Mehr separa rasmi Iran.

    Pegawai tempatan berkata sembilan orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan kejiranan kediaman di Shahriar, di barat wilayah Tehran.

  • Lima maut di selatan Lubnan susulan serangan udara Israel

    Dua serangan udara Israel yang berasingan di selatan Lubnan telah membunuh lima orang dan mencederakan beberapa orang, menurut Agensi Berita Kebangsaan (NNA) negara itu, lapor Al Jazeera.

    Dua orang terbunuh apabila rumah mereka di pekan Maarakeh diserang, Al Jazeera memetik NNA.

    Serangan itu turut menyebabkan ramai yang lain cedera.

    Dalam serangan udara berasingan di pekan Tayr Debba semalaman, tiga orang terbunuh dan dua cedera, menurut laporan itu.

  • Lebih lanjut mengenai kemusnahan sinagog Tehran dalam serangan AS-Israel

    Menurut Aljazeera ia melaporkan sebelum ini sebuah sinagog di Tehran telah musnah susulan serangan AS-Israel.

    Aljazeera melaporkan, menurut agensi berita separa rasmi Iran, Mehr, sebuah bangunan kediaman di tengah Tehran telah disasarkan dalam salah satu serangan terbaru dan sebuah sinagog bersebelahan dengan bangunan kediaman itu juga musnah.

    Laporan itu mengatakan bahawa disebabkan oleh kesempitan jalan-jalan di sekitar bangunan yang disasarkan, bahagian luar dan dalam bangunan berdekatan juga “rosak teruk”.

    Tiada laporan segera mengenai korban.

    Video berasingan yang diterbitkan oleh saluran berita Iran berbahasa Inggeris, Press TV, menunjukkan tahap kemusnahan ketika pekerja penyelamat mencari melalui runtuhan.

    Orang Yahudi telah tinggal di Iran selama ribuan tahun, dengan anggaran 20,000 orang Yahudi masih tinggal di negara itu hari ini, menurut Kumpulan Hak Minoriti, lapor Aljazeera.

    Satu kerusi dalam parlimen Iran juga dikhaskan untuk wakil Yahudi.

  • Israel tahan 4 askar kerana disyaki intip untuk Iran

    Israel menahan empat askar tetapnya kerana disyaki mengintip untuk Iran dan mengambil gambar tapak sensitif, menurut berita Anadolu memetik laporan media Israel pada Isnin.

    Menurut Anadolu, Channel 15 berkata empat askar, yang berkhidmat dalam unit tempur tetap, ditahan dalam apa yang digambarkannya sebagai “kes pengintipan baharu dan membimbangkan” mendakwa mereka terbabit dalam aktiviti pengintipan kolektif untuk Iran, termasuk semasa perang.

    Laporan itu berkata beberapa suspek telah dinafikan akses kepada penasihat undang-undang, manakala penahanan keempat-empat mereka telah dilanjutkan.

    Ia menambah bahawa perisikan Iran telah menugaskan askar-askar terbabit untuk menjalankan misi, termasuk mengambil gambar kemudahan sensitif, tanpa memberikan butiran lanjut.

  • Wanita Filipina dan suami antara 4 dilapor terbunuh susulan serangan peluru berpandu ke atas Haifa, Israel

    Seorang warga Filipina yang tinggal di bandar pelabuhan Haifa, Israel disahkan terbunuh susulan serangan peluru berpandu pada Ahad, kata Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, menurut berita Aljazeera.

    Menurut Aljazeera, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan disiarkan di Facebook dan laman web jabatan itu, berkata wanita terbabit terbunuh bersama suami Israel dan ibu bapa mertuanya yang sudah tua.

    “Kedutaan Filipina di Tel Aviv telah memaklumkan keluarga itu dan menyediakan semua bantuan diperlukan, termasuk pengaturan untuk penghantaran pulang jenazahnya seawal mungkin walaupun situasi perjalanan semasa di rantau ini,” kata kementerian itu.

    “Jabatan itu juga sedang berusaha untuk menyokong keluarga itu dalam masa yang sukar ini,” tambahnya.

    Empat orang terbunuh selepas apa yang dikatakan media Israel sebagai serangan peluru berpandu Iran menghentam sebuah bangunan kediaman lewat Ahad, menurut laporan Aljazeera.

    Mayat empat orang itu ditemui dari bawah runtuhan selepas operasi mencari dan menyelamat intensif selama berjam-jam, kata tentera Israel pada Isnin, lapor Aljazeera.

  • 5 maut selepas kereta jatuh sungai di Fujian China

    Lima orang maut selepas sebuah kereta jatuh ke sungai dari sebuah jambatan di wilayah Fujian, timur China pada Isnin, kata pihak berkuasa tempatan pada Selasa, menurut Xinhua.

    Kemalangan itu dilaporkan berlaku pada malam Isnin di Perbandaran Xinqiao, Daerah Changting di bandar Longyan, dan semua di dalam kereta itu terbunuh.

  • Pasangan suami isteri dilapor terbunuh dalam serangan dron di utara Iraq

    Sekurang-kurangnya dua orang awam membabitkan pasangan suami isteri di wilayah Erbil, Iraq dilaporkan terbunuh oleh serangan dron.

    Menurut Al Jazeera, gabenor Erbil, Omid Khoshnaw, mengutuk serangan itu sebagai “pelanggaran undang-undang antarabangsa dan jenayah perang”.

    Berdasarkan laporan Al Jazeera, perkhidmatan keselamatan tempatan mendakwa sebuah dron sarat dengan bahan letupan itu dihantar dari Iran terhempas ke sebuah rumah awam di kampung Zarka Zoy, di daerah Darashakran di wilayah Erbil, sejurus selepas tengah malam waktu tempatan. Mangsa terbabit adalah pasangan suami isteri.

  • ‘Lima belas rakyat Amerika cedera’ dalam serangan Iran ke atas pangkalan udara Kuwait

    Menurut Aljazeera, saluran berita AS CBS melaporkan “15 rakyat Amerika” cedera dalam serangan dron Iran ke atas pangkalan udara Ali Al Salem di Kuwait semalaman, memetik dua pegawai AS.

    Ia berkata kebanyakan mereka telah kembali bertugas.

  • Arab Saudi tembak jatuh 4 peluru berpandu

    Kementerian Pertahanan kerajaan itu berkata empat peluru berpandu balistik telah dipintas di wilayah timur, tanpa memberikan butiran lanjut, lapor Aljazeera.

    Pengumuman itu dibuat beberapa minit selepas Pertahanan Awam Saudi berkata Platform Amaran Awal Kebangsaan mengeluarkan amaran mengenai potensi bahaya di Wilayah Timur.

  • Hizbullah dakwa serangan ke atas tentera dan pekan Israel

    Kumpulan Lubnan itu berkata pejuangnya telah menyasarkan askar dan kereta kebal Israel dengan roket dan dron pengeboman junam di pekan Aainata dan Markaba di Lubnan, lapor Aljazeera.

    Kumpulan itu juga berkata ia menyasarkan askar Israel di dalam dan sekitar pekan Kiryat Shmona dan Sasa di Israel.