global

  • Wanita terbunuh akibat tembakan Israel di selatan Khan Younis

    Seorang wanita Palestin ditembak dan terbunuh pada Ahad oleh pasukan pendudukan Israel di selatan Khan Younis di selatan Jalur Gaza, lapor WAFA memetik sumber perubatan.

    Sumber melaporkan bahawa Huda Juma Ramadan Al-Attar, 40, telah ditembak dan terbunuh oleh tentera Israel di kawasan rumah sembelih Turki di selatan bandar itu.

  • Dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron Israel di Gaza

    Dua rakyat Palestin terbunuh pada pagi Ahad dalam serangan dron yang dilakukan oleh pasukan pendudukan Israel di kawasan kejiranan Al-Zaytoun, tenggara bandar Gaza, menurut berita WAFA.

    Dua lelaki terbabit dilaporkan terbunuh apabila sebuah dron menyasarkan sekumpulan orang awam dekat Bulatan Kuwait di kawasan Al-Zaytoun.

  • Angka maut di Gaza meningkat kepada 72,587 sejak Oktober 2023

    Jumlah kematian akibat pencerobohan Israel yang berterusan di Jalur Gaza meningkat kepada 72,587, dengan 172,381 orang cedera sejak bermulanya perang pada Oktober 2023, lapor WAFA memetik sumber perubatan pada Ahad.

  • Tembakan tiba-tiba di majlis makan malam koresponden Rumah Putih

    Presiden AS, Donald Trump bergegas keluar dari majlis makan malam koresponden Rumah Putih di sebuah hotel di Washington, DC, selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dan cuba menceroboh keselamatan, menurut berita Al Jazeera.

    Presiden AS, Wanita Pertama Melania Trump, Naib Presiden JD Vance dan ahli kabinet dilaporkan tidak cedera susulan kejadian tembakan di hotel Washington Hilton itu.

    Menurut berita Al Jazeera, seorang ejen perkhidmatan keselamatan kena – tetapi dilindungi oleh jaket kalis peluru. Trump berkata, dia berada dalam ‘keadaan yang baik’.

    Menurut berita Al Jazeera, Rumah Putih berkata suspek, yang dikenal pasti sebagai Cole Tomas Allen, 31 tahun, dari California, sedang ditahan.

    Trump berkata dia bersenjata lengkap dan kelihatan bertindak sendirian.

    Presiden itu menganjurkan majlis makan malam Persatuan Koresponden Rumah Putih di hotel Washington Hilton pada malam Sabtu.

    Makan malam itu merupakan tradisi tahunan. Tetapi acara gala itu terganggu oleh bunyi tembakan yang tiba-tiba.

    Melaporkan dari Washington DC, Chris Sheridan dari Al Jazeera berkata, semua orang sedang makan dan bersosial, dan tiba-tiba, tembakan kedengaran.

    Makan malam koresponden Rumah Putih akan dijadualkan semula dalam masa 30 hari, lapor Al Jazeera.

  • 6 rakyat Palestin terbunuh pada Sabtu akibat serangan Israel di Gaza

    Tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dan yang lain cedera pada petang Sabtu dalam serangan udara Israel menyasarkan kawasan kejiranan Sheikh Radwan, utara Bandar Gaza, lapor agensi berita Palestin WAFA.

    Menurut WAFA, korespondenya melaporkan sebuah dron Israel menyerang kawasan sekitar Sekolah Al-Dahyan, mengakibatkan berbilang mangsa.

    Hospital Al-Shifa mengesahkan menerima mayat tiga mangsa bersama beberapa orang yang cedera susulan serangan maut itu, menurut WAFA.

    Menurut WAFA, sebelumnya, seorang rakyat Palestin terbunuh selepas ditembak oleh tentera Israel di kem pelarian Jabalia. Mangsa dilaporkan terbunuh selepas ditembak di kepala di kawasan Al-Houja.

    WAFA, dalam berita disiarkan secara berasingan sebelum itu, melaporkan, seorang lagi lelaki Palestin, terbunuh selepas mengalami luka yang dialami dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan Projek Beit Lahia di utara Gaza.

    Menurut agensi berita itu, awal Sabtu, kanak-kanak Duaa Muhammad Suleiman Rahim meninggal dunia akibat luka dialami apabila dia ditembak oleh tentera Israel di barat Deir al-Balah di tengah Jalur Gaza.

  • Canselor Jerman sifatkan perang AS-Israel ke atas Iran ‘tidak perlu sama sekali’, beri amaran gelombang kejutan global

    Canselor Jerman Friedrich Merz pada Sabtu menyifatkan perang AS-Israel dengan Iran sebagai “tidak perlu sama sekali”, memberi amaran bahawa “gelombang kejutan geopolitik” telah pun dirasai di seluruh pasaran tenaga global, menurut berita Anadolu.

    Bercakap selepas sidang kemuncak EU tidak rasmi di Cyprus yang ditadbir oleh Greece, Merz berkata perang itu menyumbang kepada peningkatan ketidakstabilan yang menjejaskan Eropah, Asia dan AS.

    Dia menekankan bahawa hanya Eropah yang bersatu padu dapat bertindak balas dengan berkesan terhadap cabaran yang muncul.

    “Kami telah menghabiskan dua hari bertemu dengan 27 ketua negara dan kerajaan Kesatuan Eropah untuk membincangkan cara menangani cabaran utama yang bakal dihadapi, termasuk konflik Iran, dan perang yang sama sekali tidak perlu ini di sana, serta banyak cabaran lain yang kita hadapi.”

    Menurutnya, Eropah mesti menyesuaikan diri dengan keadaan global yang berubah-ubah.

    “Kita mesti menerima realiti ekonomi baharu ini, walau betapa sukarnya.”

  • Pengiraan undi pilihan raya tempatan diteruskan di Tebing Barat dan Deir al-Balah, keputusan dijangka pada Ahad

    Pengiraan undi diteruskan pada petang Sabtu dalam pilihan raya tempatan di seluruh Tebing Barat yang diduduki dan bandar Deir al-Balah di tengah Jalur Gaza, beberapa jam selepas pusat pengundian ditutup, dengan pegawai menekankan proses yang ditandai dengan “ketepatan dan ketelusan”, lapor Anadolu.

    Menurut data rasmi, pengiraan bermula selepas pusat pengundian ditutup pada jam 7 malam waktu tempatan (1600GMT) di Tebing Barat dan 6 petang di Deir al-Balah, di mana pengundian telah dilanjutkan selama sejam.

    Terdahulu pada Sabtu, 491 pusat pengundian dengan 1,922 stesen dibuka pada jam 7 pagi untuk menerima 1.03 juta pengundi yang memilih wakil untuk 183 badan tempatan.

    Ia termasuk 90 majlis perbandaran – antaranya Deir al-Balah – yang dipertandingkan oleh 321 senarai yang terdiri daripada 3,773 calon, serta 93 majlis kampung yang dipertandingkan oleh 1,358 calon.

    Jamil al-Khaldi, pengarah wilayah Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat di Gaza, memberitahu Anadolu bahawa keputusan awal dijangka “pada awal pagi Ahad”, dengan keputusan rasmi akan diumumkan pada sidang akhbar di Ramallah sebelum tengah hari.

    Di Deir al-Balah, al-Khaldi berkata, jumlah keluar mengundi mencapai kira-kira 25%, menyifatkannya sebagai “lebih rendah daripada yang dijangkakan”.

    Dia merujuk kepada “beberapa faktor yang mempengaruhi penyertaan pengundi” tanpa mengulas lanjut, tetapi menekankan bahawa mengadakan pilihan raya dalam keadaan semasa kekal sebagai “langkah penting ke arah memperkukuhkan proses demokrasi”.

    “Majlis perbandaran yang dipilih secara bebas dan demokratik menghantar mesej kepada masyarakat Palestin bahawa pilihan raya adalah satu-satunya cara untuk pemindahan kuasa secara aman,” katanya.

    Al-Khaldi menambah bahawa undian itu juga memberi isyarat kepada masyarakat antarabangsa bahawa rakyat Palestin “bersedia untuk menjalankan kehidupan politik demokratik dan memilih institusi mereka melalui kehendak bebas mereka”.

    Menurut Anadolu, dalam kenyataan sebelumnya, suruhanjaya itu berkata semua 12 pusat pengundian di Deir al-Balah telah ditutup, dan pengiraan bermula di hadapan pemerhati, ejen senarai dan wartawan bertauliah.

    Ia berkata 15,962 pengundi membuang undi daripada 70,449 pengundi yang layak di bandar itu.

    Pengundian di Deir al-Balah menandakan proses pertama seumpamanya dalam tempoh 22 tahun, dengan penduduk menyertainya kerana bandar itu agak kurang rosak berbanding bahagian lain di Gaza susulan genosid Israel.

    Gencatan senjata dicapai selepas dua tahun perang yang bermula pada Oktober 2023, membunuh lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000 orang, sambil memusnahkan 90% infrastruktur Gaza, lapor Anadolu.

    Menurut Anadolu, pemerhati memberitahunya bahawa undian itu merupakan langkah awal ke arah membina semula institusi tempatan dan mengukuhkan perpaduan pentadbiran antara Gaza dan Tebing Barat, meskipun terdapat perpecahan politik sejak 2007.

    Dalam kenyataan berasingan, Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat berkata, jumlah keluar mengundi akhir di Tebing Barat mencapai 53.44%, dengan 512,510 pengundi membuang undi.

    Ia berkata pasukan pengiraan mula mengira undi di pusat pengundian di hadapan wakil senarai, calon, pemerhati dan wartawan.

    Suruhanjaya itu berkata, keputusan dari setiap pusat pengundian akan diterbitkan, kemudian disatukan dan disahkan di ibu pejabat pusatnya di Al-Bireh sebelum diumumkan secara rasmi pada Ahad di sebuah pusat media di bandar itu.

    Pilihan raya itu diadakan di tengah-tengah perpecahan politik Palestin yang berpanjangan sejak 2007, menonjolkan kepentingannya untuk tadbir urus tempatan walaupun tiada pilihan raya perundangan dan presiden.

  • Iran dilapor mengenakan kerosakan ‘luas’ kepada pangkalan AS berbanding yang didedahkan sebelum ini

    Iran telah mengenakan kerosakan ‘luas’ kepada pangkalan dan peralatan AS di Timur Tengah sejak permulaan serangan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari, menurut berita Anadolu memetik laporan NBC News pada Sabtu, yang memetik sumber.

    Laporan itu mengatakan kerosakan akibat serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera AS di tujuh negara Timur Tengah adalah “jauh lebih teruk daripada yang diakui secara terbuka dan dijangka menelan belanja berbilion dolar untuk dibaiki”.

    Iran telah menyerang berpuluh-puluh sasaran, termasuk gudang, ibu pejabat arahan, hangar pesawat, infrastruktur komunikasi satelit, landasan, sistem radar mewah dan berpuluh-puluh pesawat, kata laporan itu.

    Pentagon tidak memperincikan secara terbuka tahap kerosakan pangkalan tentera AS, menurut laporan itu, dengan Perintah Pusat AS enggan mengulas mengenai penilaian kerosakan pertempuran.

    Menurut laporan itu, beberapa penggubal undang-undang Republikan secara peribadi meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pegawai kanan Pentagon kerana enggan memberikan maklumat mengenai tahap kerosakan atau anggaran kos untuk pembaikan.

    “Tiada siapa yang tahu apa-apa. Dan ini bukan kerana tidak bertanya,” kata seorang pembantu kongres yang dipetik oleh NBC News.

    “Kami telah meminta selama berminggu-minggu dan tidak mendapat butiran khusus, walaupun Pentagon meminta bajet tertinggi.”

    Laporan itu menyebut bahawa kerosakan dan kos pembaikan pangkalan boleh mencetuskan semula perdebatan mengenai kebaikan mengekalkan pangkalan AS yang begitu dekat dengan musuh seperti Iran.

  • Perdana Menteri Israel arah serangan ke atas sasaran Hizbullah di Lubnan

    Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera untuk menjalankan serangan ke atas sasaran Hizbullah di Lubnan, lapor Anadolu memetik satu laporan pada Sabtu.

    Keputusan itu dibuat sebagai tindak balas kepada apa yang digambarkan oleh pejabatnya sebagai ‘banyak pelanggaran gencatan senjata’ oleh Hizbullah, Anadolu memetik laporan oleh Yedioth Ahronoth.

    Netanyahu mengarahkan tentera untuk bertindak dengan tegas (forcefully), tambah kenyataan itu.

    Langkah itu dibuat di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dan Lubnan. Pada 17 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari, kemudian melanjutkannya selama tiga minggu.

    Sejak 2 Mac lalu, Israel terus melanggar gencatan senjata, mengakibatkan 2,496 kematian dan 7,725 kecederaan sejak 2 Mac, manakala Hizbullah telah bertindak balas dengan menyasarkan kedudukan tentera Israel di selatan Lubnan dan komuniti Israel.

  • “Saya rasa dikhianati” – wartawan Amerika Tucker Carlson kritik perang Iran oleh Trump

    Pengulas politik dan bekas pengacara Fox News, Tucker Carlson dilapor berkata dia rasa “dikhianati”, mengkritik perang Iran oleh Presiden AS Donald Trump.

    Menurut berita Anadolu, dalam satu temu bual dengan The Wall Street Journal, Carlson berkata: “Saya tidak membenci Trump. Saya benci perang ini dan hala tuju yang diambil oleh kerajaan AS”, sambil menambah bahawa “saya rasa dikhianati”.

    Laporan itu mengatakan bahawa Carlson telah menentang operasi AS pada 3 Januari ke atas Venezuela yang membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro, sambil menambah bahawa dia kini merupakan “penentang paling terkemuka dalam perang Iran” yang dimulakan oleh serangan AS dan Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari.

    “Mengapa kerajaan AS tidak boleh bertindak bagi pihak rakyatnya sendiri?” tanya Carlson sebelum menambah, “ini adalah masalah generasi yang tidak bermula dengan Trump”.

    “Jika ada, Trump baru sahaja membuktikan sistem itu lebih kuat daripadanya,” katanya.

    Awal bulan ini, Trump berkata dalam catatan Truth Social bahawa Carlson adalah “orang yang IQ rendah” yang “sentiasa mudah ditewaskan” dan “sangat dinilai berlebihan”.

    Carlson sebelum ini merupakan salah seorang sekutu media Trump yang paling terkemuka. Pada Konvensyen Kebangsaan Republikan 2024, dia berkata bahawa kemandirian Trump daripada percubaan pembunuhan semasa kempen adalah bersamaan dengan “campur tangan Tuhan” menunjukkan bahawa Tuhan telah memeliharanya untuk suatu tujuan.