Serangan Israel ke atas selatan Lubnan mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang, menurut berita Al Jazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) negara itu, meskipun terdapat lanjutan tiga minggu kepada “gencatan senjata” dimediasi Amerika Syarikat diumumkan minggu lalu.
Di perbandaran Jebchit, tiga orang terbunuh dan tujuh cedera dalam serangan yang memusnahkan sebuah bangunan kediaman. Di perbandaran Toul, empat orang terbunuh dan enam cedera. Sementara di perbandaran Harouf, dua orang terbunuh, dan serangan itu juga memusnahkan sebuah rumah.
Pasukan Israel meningkatkan serangan mereka di selatan Lubnan sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan bedilan artileri dilaporkan di pekan Zawtar al-Sharqiyah, Yohmor al-Shaqif, dan Bayt al-Sayyad, menurut Al Jazeera.
Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, serangan udara Israel telah membunuh lebih 20 orang, termasuk dua keluarga, dua askar tentera Lubnan, dan tiga paramedik, lapor Al Jazeera, lebih 70 orang lain, termasuk kanak-kanak, cedera dalam serangan itu.
Menurut laporan Al Jazeera, tentera Israel juga baru sahaja mengeluarkan lebih banyak ancaman pengusiran paksa untuk 15 pekan dan kampung selatan Lubnan, termasuk Jebchit, Toul, al-Samanieh, Sahel al-Hnieh, Qlailah, Wadi Jilo, al-Kanisa, Kafr Jouz, Majdal Zoun, dan Seddiqine.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berjanji bahawa nasib selatan Lubnan akan seperti Gaza, meskipun terdapat perjanjian “gencatan senjata” sementara dimediasi AS dipersetujui antara Israel dan Hizbullah hampir dua minggu lalu yang telah dilanjutkan selama tiga minggu, lapor Al Jazeera.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengecam “pelanggaran berterusan Israel” di selatan Lubnan pada Khamis, dengan mengatakan bahawa ia berlaku “walaupun gencatan senjata, begitu juga perobohan rumah dan tempat ibadat, sementara bilangan korban dan cedera meningkat dari hari ke hari”.