global

  • Dua terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan

    Pesawat perang Israel melancarkan beberapa serangan ke atas pekan Deir Kifa di daerah Bint Jbeil di selatan Lubnan, mengorbankan dua orang dan mencederakan seorang, lapor berita Al Jazeera memetik Agensi Berita Kebangsaan (NNA) Lubnan.

    Serangan udara juga dilaporkan menyasarkan Jabal al-Hamdani di Nabatieh.

  • UAE dilapor diserang Iran sekali lagi

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) “sedang terlibat secara aktif” dengan serangan peluru berpandu dan dron dari Iran, kata kementerian pertahanan negara itu pada petang Selasa di X, menurut laporan AP.

    Ia dilapor berkata, bunyi yang kedengaran di beberapa bahagian persekutuan Teluk berkaitan dengan pemintasan peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron.

  • Jumlah kematian di Lubnan cecah 2,702 sejak perang Israel-Hizbullah bermula – AP

    Kementerian Kesihatan di Beirut berkata pada Selasa bahawa 8,311 orang cedera dalam tempoh yang sama, menurut AP.

    Perang Israel-Hizbullah terkini bermula pada 2 Mac lalu, apabila Hizbullah melepaskan roket ke Israel susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran.

    Gencatan senjata telah dilaksanakan sejak 17 April tetapi kedua-dua Israel dan Hizbullah telah melakukan serangan setiap hari sejak itu.

  • AS dilapor serang kapal kargo di Selat Hormuz, bunuh lima orang

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan AS ke atas dua kapal kargo di Selat Hormuz, menurut berita TASS memetik laporan agensi berita Tasnim Iran memetik sumber tentera sebagai berkata.

    Menurut sumber itu, kapal-kapal yang membawa kargo awam sedang dalam perjalanan dari pelabuhan Khasab di Oman ke pantai Iran. Insiden itu diketahui selepas menyemak laporan bahawa AS telah menenggelamkan beberapa bot Iran.

    Menurut TASS, terdahulu, agensi Associated Press (AP) memetik komander Perintah Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper sebagai berkata bahawa helikopter tentera AS telah menenggelamkan enam bot kecil Iran di Selat Hormuz. Iran menafikannya, dengan mengatakan bahawa tiada satu pun vesel Tentera Laut Iran yang ditenggelamkan oleh AS padaIsnin.

  • Israel akui bom 500 kawasan di Lubnan semasa gencatan senjata, 5 askar terbunuh

    Tentera Israel mengakui pada Selasa bahawa ia menyerang kira-kira 500 kawasan di Lubnan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 17 April, dan lima askar Israel terbunuh dan 33 yang lain cedera akibat tembakan Hizbullah, lapor Anadolu.

    “Lima askar dari tentera dan pasukan keselamatan terbunuh dan 33 yang lain cedera sejak gencatan senjata,” kata Radio Tentera Darat, di tengah-tengah apa yang digambarkannya sebagai penapisan ketat terhadap jumlah kerugian sepenuhnya, menurut Anadolu.

    Menurut Anadolu, penyiar itu menjelaskan tiga askar terbunuh akibat dron sarat bahan letupan, dua akibat alat letupan buatan sendiri, 31 cedera akibat alat letupan dan dua dalam pertempuran dengan pejuang Hizbullah.

    Menurut berita Anadolu, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dron Hizbullah telah menjadi kebimbangan yang semakin meningkat di Israel, dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menggambarkannya sebagai “ancaman utama”.

    Menurut radio itu, lapor Anadolu, pesawat Israel melakukan serangan ke atas kira-kira 500 kawasan sejak gencatan senjata, semuanya di selatan Lubnan kecuali satu sasaran di wilayah Bekaa.

    “Angka-angka ini menunjukkan bahawa tiada gencatan senjata di selatan Lubnan,” kata Radio Tentera, menurut Anadolu.

    Walaupun gencatan senjata telah diumumkan pada 17 April dan dilanjutkan sehingga 17 Mei, tentera Israel terus melancarkan serangan harian di Lubnan dan perobohan rumah secara meluas di berpuluh-puluh kampung.

    Kementerian Kesihatan Lubnan berkata pada Isnin bahawa 17 orang terbunuh dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian akibat serangan Israel sejak 2 Mac kepada 2,696, dengan 8,264 cedera, lapor Anadolu.

  • Gunung berapi Kanlaon di Filipina meletus, muntah abu setinggi 800 meter

    Sebuah gunung berapi di tengah Filipina meletus awal Selasa, memuntahkan kepulan abu setinggi kira-kira 800 meter (2,624 kaki) ke langit dan mendorong pihak berkuasa untuk mengekalkan tahap amaran, lapor Anadolu.

    Menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), letusan dari Gunung Berapi Kanlaon berlaku sejurus selepas fajar, dengan abu hanyut ke arah barat, sementara tahap amaran 2 kekal, menandakan pergolakan gunung berapi yang semakin meningkat, Anadolu memetik laporan saluran media tempatan Inquirer.

    Dalam 24 jam lalu, gunung berapi itu mencatatkan pelbagai pelepasan abu dan gempa bumi gunung berapi, bersama-sama dengan paras sulfur dioksida yang tinggi dan pembengkakan tanah yang berterusan.

    Pegawai telah memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memasuki zon bahaya kekal sepanjang 4 kilometer (2.4 batu) kerana risiko letusan secara tiba-tiba.

  • Dron Israel sasar orang awam, bunuh seorang di utara Gaza

    Seorang lelaki Palestin terbunuh awal pagi Selasa apabila sebuah dron Israel menyasarkan sekumpulan orang awam dekat bulatan al-Jalaa di kawasan al-Ayoun, utara bandar Gaza, menurut berita WAFA.

    Menurut WAFA, sumber perubatan melaporkan serangan itu juga mengakibatkan kecederaan, sesetengahnya parah.

  • Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh pada Ahad di Gaza

    Sekurang-kurangnya tiga dilaporkan terbunuh pada Ahad di Jalur Gaza termasuk kanak-kanak, akibat tindakan kejam tentera Israel.

    Menurut berita WAFA, pada petang Ahad, seorang pemuda Palestin mati ditembak oleh tentera Israel di kem pelarian Jabalia, utara Jalur Gaza.

    Sumber perubatan dilapor berkata mangsa, Ahmad Ramadan al-Harsh, terbunuh akibat tembakan Israel di kawasan kem Jalan al-Hoja.

    WAFA sebelumnya melaporkan, seorang warga Palestin terbunuh akibat tembakan Israel di timur Khan Younis di selatan Jalur Gaza.

    Sumber perubatan mengatakan mangsa yang tidak dikenali itu mati ditembak oleh pasukan pendudukan Israel dekat bulatan Bani Suheila di timur Khan Younis.

    Terdahulu pada hari itu, WAFA melaporkan, budak lelaki, Riyad Naji Abu Nimer, 15, terbunuh dalam serangan dron Israel di kawasan sama.

    Dia dilaporkan terkena serpihan selepas sebuah dron menjatuhkan bom ke atas sekumpulan orang awam di kawasan Qizan Abu Rashwan, selatan Khan Younis.

    Dia meninggal dunia akibat kecederaannya sebelum sampai ke hospital, manakala yang lain cedera dalam serangan itu, lapor WAFA.

  • Kesatuan akhbar Palestin lapor 300 pelanggaran Israel pada 2026

    Sindiket Wartawan Palestin berkata pada Ahad, ia merekodkan kira-kira 300 pelanggaran dan serangan terhadap wartawan Palestin sejak awal 2026, di tengah-tengah peningkatan penyasaran pekerja media, menurut berita Anadolu.

    Pengumuman itu dibuat semasa perhimpunan dianjurkan oleh sindiket itu di luar ibu pejabatnya di bandar al-Bireh di Tebing Barat yang diduduki, memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia dan membantah serangan berterusan terhadap wartawan.

    Peserta mengangkat sepanduk menuntut penghentian pembunuhan pekerja media dan akauntabiliti untuk Israel.

    “Aktiviti yang dianjurkan pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia bertujuan untuk menonjolkan keadaan luar biasa dan belum pernah terjadi sebelumnya di mana wartawan Palestin beroperasi,” Omar Nazzal, timbalan ketua sindiket itu, berucap kepada orang ramai, lapor Anadolu.

    Wartawan sedang menghadapi “jentera perang Israel yang paling garang,” tambahnya, sambil menyatakan lebih daripada 4,000 pelanggaran telah direkodkan terhadap mereka sejak permulaan perang di Gaza pada Oktober 2023.

    “Bilangan wartawan yang terbunuh mencecah 262 wartawan lelaki dan wanita sejak tarikh itu, termasuk 261 di Jalur Gaza, di samping enam wartawan yang terbunuh sejak awal tahun 2026,” kata Mohammad al-Lahham, ketua jawatankuasa kebebasan sindiket itu, menurut Anadolu.

    Menurutnta, tahun semasa juga telah menyaksikan 10 kecederaan langsung, 22 tangkapan, 120 kes penahanan atau pencegahan daripada liputan, dan 12 serangan yang dilakukan oleh penjajah Israel.

    Lahham berkata, jumlah pelanggaran sejak Oktober 2023 mencecah 3,983, membabitkan 1,072 pada 2023, 1,325 pada 2024, 1,286 pada 2025, dan 300 pada 2026.

    Pelanggaran ini termasuk 240 kes tembakan terus ke arah kru media dan 352 kes melibatkan gas pemedih mata dan bom tangan pegun, serta pemukulan, perampasan peralatan, dan larangan perjalanan, katanya.

    Sindiket itu berkata dalam laporan yang dibacakan di acara itu bahawa ia telah mendokumentasikan 188 tangkapan sejak Oktober 2023, bersama-sama dengan pemusnahan 187 institusi dan pejabat media dan 140 rumah milik wartawan.

    Sindiket itu melaporkan pembunuhan 713 ahli keluarga wartawan, menunjukkan bahawa penyasaran itu melangkaui pekerja media hinggalah persekitaran sosial mereka.

    Sindiket itu berkata penyasaran wartawan “bukanlah tingkah laku individu” tetapi sebahagian daripada “dasar sistematik” yang bertujuan untuk menyekat kewartawanan dan membungkam naratif Palestin, terutama di tengah-tengah liputan lapangan peristiwa.

    Ia menyeru PBB dan organisasi antarabangsa untuk menyediakan perlindungan segera untuk wartawan Palestin, membuka siasatan bebas terhadap pelanggaran, dan memastikan akauntabiliti.

  • Angka maut di Lubnan akibat serangan Israel cecah 2,679

    Kementerian Kesihatan Awam Lubnan memberikan angka korban terkini sejak permulaan serangan Israel ke atas Lubnan lebih dua bulan lalu.

    Antara 2 Mac dan 3 Mei, serangan Israel di seluruh Lubnan telah mengorbankan 2,679 orang dan mencederakan 8,229 orang, kata kementerian itu, menurut berita Al Jazeera.