FIQAH

  • Memanfaatkan kulit bangkai, tulangnya dan rambutnya

    Yang dimaksudkan daripada pengharaman bangkai ialah pengharaman memakan dagingnya.

    Adapun memanfaatkan kulitnya atau tanduknya ataupun tulangnya atau rambutnya tidak ada salahnya. Bahkan ia memang digalakkan, kerana barangnya boleh mendatangkan wang dan boleh dimanfaatkan oleh manusia, lantaran itu tidak patut disia-siakan begitu saja.

    Ada suatu riwayat daripada Ibn Abbas: Sekali peristiwa ada orang yang menyedekahkan kepada jariah (hamba perempuan) Ummil Mukminin Maimunah dengan seekor kambing, lalu kambing itu mati dan dibuang. Kemudian datang Rasulullah, melihat kambing itu, lalu berkata: Mengapa kamu tidak mengambil kulitnya, kemudian kamu menyamaknya dan dapat memanfaatkannya? Baginda dijawab: Binatang itu adalah bangkai. Jawab Nabi pula: Hanya yang diharamkan itu ialah memakan dagingnya saja.

    Rasulullah juga menunjukkan cara bagaimana hendak membersihkan kulit bangkai, iaitu dengan menyamaknya.

    Baginda bersabda: Menyamak kulit binatang itu samalah dengan menyembelihnya. (Riwayat Abu Daud dan Nasai)

    Yakni menyamak kulit binatang itu dalam segi pembersihannya adalah sama dengan menyembelihnya untuk menghalalkan binatang itu dimakan dan sebagainya.

    Dan dalam riwayat lain: Menyamak kulit binatang itu dapat menghilangkan kotorannya. (Riwayat Hakim)

    Yakni menjadikannya bersih dan suci.

    Dalam Sahih Muslim dan di tempat lain juga, tersebut sabda Nabi yang lain: Kulit apa saja kalau sudah disamak, maka sungguh ia sudah menjadi suci. (Riwayat Muslim)

    Hukumnya umum, yakni apa saja kulit, meskipun kulit anjing dan babi sekalipun. Kata (Pendapat) ini dikeluarkan oleh Ahluz-Zahir, yakni dipelopori oleh Daud az-Zahiri dan disebut juga oleh Abu Yusuf, pendukung Abu Hanifah serta diperteguhkan oleh as-Syaukani. (Kata kuat dari Imam Syafie bahawa yang demikian itu adalah haram seperti memakan dagingnya)

    Suatu riwayat daripada Ummul Mukminin Saudah, dia berkata: Sekali peristiwa telah mati seekor kambing kita, lalu kami menyamak kulitnya, kemudian kami letakkan padanya korma agar dimaniskan air padanya, sehinggalah ia menjadi tempat simpan air yang kekal. (Riwayat al-Bukhari)

    Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi

  • Hikmah menyebut bismillah ketika penyembelihan

    Adapun tuntutan menyebut nama Allah (bismillah) ketika menyembelih, maka yang demikian itu ada rahsianya yang halus, yang sepatutnya diperhatikan dan direnungkan dengan sebaik-baiknya.

    Pertama – dibuat begitu untuk menentang apa yang biasanya dibuat oleh orang-orang watsani yakni penyembah berhala yang selalunya menyebut nama-nama tuhan mereka yang ditujukannya ketika penyembelihan itu.

    Kalau orang musyrik yakni orang kafir menyebut nama tuhannya atau sembahannya ketika penyembelihannya, mengapa pula orang Mukmin tidak menyebut nama Tuhan Allah ketika penyembelihan itu?

    Kedua – bahawa semua binatang ini adalah sama belaka dengan manusia dalam hal ia salah satu makhluk Allah dan ia juga termasuk yang diwujudkan oleh Allah sebagai makhluk yang bernyawa.

    Maka, apa sebabnya manusia diberikan kuasa untuk membuat sesuatu ke atasnya serta mencabut nyawanya, kalau tidak dengan izin dan kebenaran daripada Penciptanya, yakni Allah yang menciptakan segala sesuatu di atas muka bumi ini semata-mata kerana makhluk manusia itu.

    Jadi, menyebut nama Allah di sini adalah semacam pengisytiharan kepada ramai mengenai keizinan Tuhan Pencipta.

    Seolah-olahnya manusia itu mengatakan: Sesungguhnya aku tiada membuat begitu kerana tujuan memusuhi atau menganiaya terhadap makhluk Allah ini dan tidak juga kerana mempersendakannya, tetapi aku membuatnya dengan menyebut nama Allah yang membenarkan aku menyembelihanya dan dengan menyebut nama Allah yang membenarkan aku memburunya dan dengan menyebut nama Allah yang membenarkan aku memakan dagingnya.

    Sumber: Halal dan haram dalam Islam, Yusuf Qardhawi 

  • Penyembelihan ahli kitab – Yahudi dan Nasrani

    Kita telah melihat betapa Islam telah memberatkan perkara penyembelihan itu serta mengambil berat terhadap perkaranya. Sebab kaum musyrikin Arab dan selain mereka daripada penganut agama-agama yang lain menganggap perkara penyembelihan itu semacam upacara agama dan peribadatan mereka dan mereka menjadikannya terkira daripada urusan akidah dan kepercayaan mereka.

    Sebab itu mereka menjadikannya semacam ibadat untuk menyembelih sesuatu penyembelihan kepada tuhan-tuhan mereka.

    Maka, disembelihkannya binatang itu di hadapan berhala ataupun disebutkannya nama satu-satu berhala ketika menjalankan upacara penyembelihan itu.

    Apabila datang Islam, maka ia membatalkan semua upacara itu dan menetapkan bahawa tidak boleh lagi menyebut selain nama Allah dalam mana-mana penyembelihan.

    Dengan itu menjadi haramlah cara lama penyembelihan di hadapan berhala ataupun yang disembelih dengan menyebut selain daripada nama Allah.

    Ahli kitab, yakni Yahudi dan Nasrani asalnya ahli tauhid yakni daripada kaum yang mengesakan Allah. Kemudian telah menyerap ke dalam kepercayaan mereka dorongan syirik daripada orang-orang yang memeluk agama mereka daripada kaum musyrikin yang belum terkikis daripada hati mereka karat-karat syirik yang lama, sehingga perkara ini menjadi sangkaan pada sesetengah kaum Muslimin bahawa muamalah (urusan) ahli kitab itu dalam masalah penyembelihan sama dengan kaum penyembah berhala, maka ketika itu turun firman Allah yang membenarkan kaum Muslimin untuk memakan penyembelihan ahli kitab serta membolehkan juga mengikat tali persemendaan dengan mereka, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Maidah, dan ayat ini adalah antara ayat yang turun akhir sekali daripada al-Quran (maksudnya):

    “Pada hari ini dihalalkan bagi kamu semua yang baik-baik, dan begitu pula daripada makanan orang-orang yang diberikan kitab (ahli kitab) itu menjadi halal bagi kamu, dan makanan kamu juga menjadi halal bagi mereka.” (Al-Maidah, 5)

    (Nota penterjemah kepada sumber tulisan ini: Dalam masalah ini terdapat khilaf [perbezaan] antara ulama mazhab; ada yang tetap mengharamkan binatang yang disembelih ahli kitab, kerana [berpandangan] tiada ahli kitab yang tulen sekarang, yang masih berdiri atas kepercayaan kitab mereka yang asli, melainkan semuanya telah tercampur aduk dengan anasir kufur dan syirik dalam kepercayaan mereka, yang tinggal hanya nama dan lambang semata-mata.)

    Makna ayat ini secara ringkas bahawa pada hari ini telah dihalalkan bagi kamu makanan yang baik-baik, maka tidak ada lagi Bahiirah (anak unta yang dipotong telinganya), tidak Sa’ibah (unta betina yang dibiarkan berternak sendiri, tidak boleh diganggu), dan tidak Washilah (kambing betina yang telah beranak tujuh kali) dan tidak Haam (unta pembaka), dan makanan orang-orang ahli kitab daripada kaum Yahudi dan Nasrani, semuanya memang daripada asalnya halal, tidak pernah diharamkan oleh Allah sama sekali dan begitu pula makanan kamu adalah halal juga buat mereka. Maka, kamu bebas boleh memakan daripada daging-daging yang disembelih mereka daripada binatang-binatang, dan kamu juga boleh memberi mereka makan daripada daging-daging binatang yang kamu menyembelihnya atau yang kamu memburunya.

    Hanya yang diberatkan Islam atas kaum musyrikin Arab saja, manakala kaum ahli kitab diringankan, kerana mereka lebih dekat kepada kepercayaan kaum Mukminin, disebabkan mereka mengakui daripada hal wahyu dan kenabian serta asal-usul keagamaan secara total.

    Islam menyuruh kita berbuat baik kepada mereka dengan makan-makan dengan mereka, bersemenda dengan mereka dan melakukan segala yang bagus-bagus kepada mereka.

    Sebab dengan bercampur gaulnya mereka dengan kita, mereka akan mengenal Islam lebih dekat dari hal kedudukan usrah dan kekeluargaannya secara ilmi, amali dan budi pekerti.

    Ketika itu akan terbukti kepada mereka, bahawa agama yang kita anuti semestinya menjadi agamanya juga dari segi ketinggian lambangnya, kesempurnaan gambarannya dan kesucian kepercayaannya, yang terjauh dari segala macam bidaah, kebatilan dan keberhalaan.

    Dan ayat ‘makanan orang-orang yang diberikan kitab’ dalam al-Quran itu adalah umum, yakni boleh kepada semua makanan apa pun, termasuk penyembelihan mereka dan makanan-makanan yang lain juga, semuanya itu adalah halal, selagi tidak dipandang haram pada zatnya oleh Islam, seperti bangkai, darah yang mengalir, daging babi, maka semua ini tidak boleh dimakan oleh kaum Muslimin secara ijmak, yakni sepakat semua ulama, sama ada makanan itu daripada seorang ahli kitab mahupun daripada seorang Muslim sendiri.

    Sumber: Halal dan Haram dalam Islam, Yusuf Qardhawi