Rusia usir diplomat British atas “aktiviti perisikan”

Rusia membatalkan akreditasi seorang diplomat British atas “perisikan dan aktiviti subversif,” kata Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) pada Isnin, lapor Xinhua.

Diplomat itu, yang dikenal pasti sebagai setiausaha kedua Kedutaan British Janse Van Rensburg, telah diarahkan meninggalkan negara itu dalam tempoh dua minggu, menurut kenyataan FSB.

Perkhidmatan keselamatan itu berkata ia telah mendokumentasikan percubaan diplomat itu untuk mendapatkan maklumat sensitif semasa pertemuan tidak rasmi dengan pakar ekonomi Rusia.

Ia juga berkata diplomat British itu memberikan maklumat palsu semasa memasuki Rusia dan terbabit dalam aktiviti mengancam keselamatan negara.