Dua orang terbunuh dan 12 lagi cedera selepas sebahagian bangunan kediaman runtuh susulan serangan dron Ukraine di bandar Syzran di wilayah Samara, Rusia, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu, berita Xinhua melaporkan.
Gabenor Samara, Vyacheslav Fedorishchev dilapor berkata dron menyerang dua bangunan pangsapuri di Syzran pada pagi Rabu, menyebabkan pintu masuk salah satu bangunan runtuh.
Menurutnya, tiga daripada mereka yang cedera dimasukkan ke hospital, manakala yang lain menerima rawatan perubatan pesakit luar.
Mayat dua mangsa yang maut telah ditemui dari runtuhan, lapor Xinhua memetik Kementerian Situasi Kecemasan Rusia.