5 anggota keselamatan terbunuh dalam serangan dron di Libya

Pihak Anti-Ancaman Keselamatan Libya yang bersekutu dengan Kerajaan Perpaduan Nasional berkata pada Ahad, lima anggotanya terbunuh dalam serangan dron di bandar barat Zawiya, lapor Xinhua.

Menurut Xinhua, agensi itu dalam satu kenyataan, berkata mereka terbunuh pada Jumaat semasa menjalankan operasi keselamatan bersama yang dilancarkan di bawah arahan daripada Dewan Keselamatan Bersama dan Direktorat Keselamatan Zawiya, dengan sokongan Pejabat Pendakwa Raya dan pihak berkuasa kehakiman berkaitan, untuk mengejar penjenayah dikehendaki atas jenayah yang mengancam keselamatan dan kestabilan sosial.

Pasukan keselamatan diserang secara langsung oleh dron bersenjata “ketepatan tinggi”, mengakibatkan kematian beberapa anggota yang terlibat dalam operasi dan kecederaan kepada yang lain, lapor Xinhua memetik kenyataan itu.

Terletak kira-kira 60 km di barat ibu negara Tripoli, Zawiya menjadi tuan rumah kepada kilang penapisan minyak terbesar di Libya, dengan kapasiti pengeluaran 120,000 tong produk petroleum sehari.